Pages

Wednesday, October 6, 2010

20 calon PMR jalani peperiksaan di hospital




KOTA BHARU - Seramai 36,887 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai semalam sehingga 12 Oktober ini di 335 pusat yang disediakan. 

Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut 30, 455 adalah calon dari Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan dan selebihnya dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan calon persendirian. 

Menurutnya, pada tahun ini seramai 20 calon menduduki PMR di pusat peperiksaan sementara di beberapa buah hospital kerana kesihatan tidak mengizinkan dan kini masih menjalani rawatan. 

Hussain berkata, selain tiga calon Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II manakala enam lagi pelajar menduduki PMR di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan selebihnya di hospital daerah termasuk swasta di jajahan masing-masing. 

“Selain itu, di Machang pula seramai 15 calon di Pusat Pemulihan Akhlak Machang turut menduduki peperiksaan PMR. 

“Kali ini juga seramai 144 calon dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) bertempat di sekolah masing-masing turut menduduki peperiksaan sama,” katanya kepada media semalam selepas melawat tiga calon peperiksaan yang menerima rawatan di HRPZ II, semalam. 

Sementara itu, seorang calon, Wan Mohamad Hakimi Wan Maliki, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu, Pasir Mas, bersyukur kerana masih mampu menduduki PMR walaupun dimasukkan ke hospital sejak dua hari lepas. 

Anak bongsu daripada lima adik-beradik dan berasal dari Kampung Binjai Manis, Pasir Mas itu menghidap penyakit darah tinggi dan salah satu organ penapisan (protein) bocor sejak berumur 8 tahun menyebabkan dia sering mengalami kembung perut dan cepat penat. 

“Saya bergantung kepada beberapa jenis ubat yang perlu dimakan setiap hari namun tidak ia sedikit pun melemahkan semangat saya dan tidak mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan. 

“Saya juga sangat berharap mampu mengulangi kejayaan seperti dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun lalu apabila memperoleh 4A dan 1B,” katanya.

No comments:

Post a Comment