Pages

Saturday, September 25, 2010

Ucapan Presiden Iran diboikot




BEBERAPA diplomat bertindak keluar semasa Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad kelmarin mencetuskan kemarahan perwakilan Barat apabila 27 anggota Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dewan pada satu mesyuarat PBB di New York kerana tidak puas hati dengan ucapannya yang mendakwa ramai orang percaya pemerintah Amerika Syarikat (AS) yang merancang serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS.
Perwakilan AS turut bertindak keluar selepas Mahmoud membuat komen mengenai serangan pengganas itu yang dipercayai Washington dilakukan oleh anggota-anggota kumpulan Al-Qaeda di bangunan World Trade Centre (WTC) di New York yang kini musnah dan terletak enam kilometer dari ibu pejabat PBB.
Presiden Iran itu menyatakan terdapat teori bahawa beberapa pihak di dalam pentadbiran AS merancang serangan itu bagi memulihkan kemerosotan ekonomi Amerika dan meletakkan cengkaman ke atas Asia Barat sebagai usaha untuk menyelamatkan rejim Zionis yang memerintah Israel.
"Majoriti penduduk Amerika sama seperti ahli-ahli politik dan negara lain bersetuju dengan pandangan ini (AS merancang serangan pengganas pada 11 September 2001)," kata Presiden Iran itu.
Kira-kira 3,000 orang terbunuh dalam serangan yang berlaku di New York apabila anggota-anggota Al-Qaeda merampas dua buah jet dan merempuh dua bangunan WTC pada 11 September 2001.
Dua pesawat lagi merempuh bangunan Jabatan Pertahanan (Pentagon) di Washington dan di sebuah padang di Pennsylvania.
Perwakilan AS membidas pemimpin Iran itu menerusi satu kenyataan sebelum ucapan Mahmoud berakhir.
"Berbanding mewakili aspirasi dan muhibah penduduk Iran, Mahmoud memilih untuk menyampaikan teori kontroversi dan kenyataan anti-Semitik yang sama seperti kebencian serta kepercayaan palsu," kata jurucakap perwakilan AS, Mark Kornblau.
Presiden AS, Barack Obama tidak membuat sebarang komen tetapi seorang pegawai kanan AS berkata: "Presiden (Obama) mendapati komen itu menjadi sangat mengejutkan dan mengaibkan terutamanya apabila mengambil kira betapa dekatnya kita dengan Ground Zero (panggilan untuk tapak bangunan WTC yang musnah diserang pengganas)."
Perdana Menteri Kanada, Lawrence Cannon menganggap komen Mahmoud itu sebagai satu perlanggaran standard antarabangsa secara terang-terangan semangat PBB. - AFP

No comments:

Post a Comment