Pages

Tuesday, September 14, 2010

Tahanan di Iraq hadapi penderaan - Amnesty


Gambar fail bertarikh 29 April 2010 merakamkan seorang askar Iraq sedang mengawasi beberapa orang tahanan sebelum mereka dibebaskan dari Pusat Tahanan Al-Rusafa di Baghdad. - AFP


BAGHDAD 13 Sept. - Berpuluh ribu tahanan yang ditahan di penjara Iraq tanpa perbicaraan, berhadapan dengan kekerasan, penderaan psikologi dan juga penganiayaan dalam bentuk lain, kata Amnesty International, semalam.
Pemerhati hak asasi manusia yang berpangkalan di London itu menganggarkan 30,000 ditahan di penjara Iraq dan beberapa orang diketahui telah mati semasa dalam tahanan, sementara yang lain disenaraikan mengalami penderaan fizikal dan psikologi.
"Pasukan keselamatan Iraq bertanggungjawab secara sistematik mencabul hak-hak tahanan dan mereka dibenarkan berbuat demikian tanpa dikenakan sebarang hukuman.
"Pihak berkuasa Iraq perlu bertegas dan mengambil tindakan sekarang... bagi memperlihatkan kemahuan politik untuk mendukung hak asasi manusia seluruh rakyat Iraq, selaras dengan kewajipan antarabangsa dan menghentikan penyeksaan serta penganiayaan melampau ke atas tahanan," kata Pengarah Amnesty Asia Barat dan Afrika Utara, Malcom Smart.
Laporan Amnesty bertajuk New Order, Same Abuses: Unlawful detentions and torture in Iraqsetebal 59 muka surat, menyenaraikan beberapa individu yang disiksa atau yang mati semasa di dalam penjara.
Mereka termasuk Riad Mohammed Saleh al-Oqaibi yang ditangkap pada September tahun lalu dan ditahan di sebuah pusat tahanan di Zon Hijau, Baghdad sebelum dipindahkan ke pusat tahanan rahsia di ibu negara ini.
"Semasa penyiasatan, dia dikatakan dipukul dengan teruk pada bahagian dada menyebabkan tulang rusuknya patah dan mengalami kerosakan hati," kata laporan itu.
Menurut kumpulan hak asasi manusia itu, kaedah penyiksaan yang digunakan termasuk memukul dengan kabel dan batang paip, mematahkan anggota badan, menggerudi tubuh badan dan penyiksaan psikologi dalam bentuk ancaman rogol.
Katanya, pasukan keselamatan di kawasan autonomi Kurdistan juga melakukan kesalahan di mana dicatatkan dalam satu kes, seorang tahanan ditahan lebih 10 tahun tanpa sebarang tuduhan atau perbicaraan dan didakwa disiksa oleh polis keselamatan Kurdistan.
Kerapuhan sistem hukuman di Iraq beerti kementerian keadilan, dalam negeri dan pertahanan menguruskan penjara mereka mengikut cara masing-masing dan laporan mengenai penyiksaan serta penganiayaan bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. - AFP

No comments:

Post a Comment