Pages

Saturday, September 18, 2010

Selebriti turut tanding pilihan raya Afghanistan


Robina Jalali (kiri) memberi arahan kepada seorang pekerja kempennya di pejabat beliau di Kabul, kelmarin. - AFP


KABUL 17 Sept. - Robina Jalali ialah bekas pelari pecut Sukan Olimpik, Zabihullah Jawanmard merupakan legenda pop yang dikenali sebagai 'Elvis Afghanistan' manakala Zamir Kabuli ialah pelawak yang menjadi terkenal kerana mempersendakan pegawai Afghanistan yang korup.
Ketiga-tiga mereka adalah antara calon yang mewarnai pilihan raya Parlimen di Afghanistan esok, pilihan raya kedua sejak rejim Taliban digulingkan dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2001.
Rakyat Afghan akan mengundi esok untuk memilih 249 anggota ke dewan rendah Parlimen atau Wolesi Jirga.
Lebih 2,500 calon bertanding, sekalipun timbul kebimbangan pejuang Taliban akan melaksanakan ugutan untuk menggendalakan pengundian dengan melakukan keganasan.
Jika calon seperti Jalali, Jawanmard dan Kabuli memenangi kerusi, mereka akan membawa sedikit unsur glamor dan pendekatan berbeza dalam arena politik di negara yang sudah lama diperintah mengikut tradisi kabilah zaman-berzaman.
Di negara ini yang dilanda perang sejak 30 tahun lalu, golongan muda dikehendaki akur dengan kehendak orang tua, menyebabkan Parlimen didominasi oleh lelaki berumur yang berjanggut dan berserban.
Institusi Parlimen telah dikecam kerana didakwa menjadi forum untuk sekutu-sekutu Presiden Hamid Karzai yang mendapat kerusi sebagai ganjaran bagi sokongan mereka.
Namun, Parlimen sejak beberapa tahun lalu juga telah memeranjatkan para pengkritik dengan memperlihatkan 'taringnya', dengan menolak calon-calon Kabinet yang dipilih Karzai atau tidak meluluskan perintah Presiden secara automatik.
Sungguhpun kebanyakan penduduk negara ini terdiri daripada golongan muda dan ramai lelaki dewasa menjadi mangsa perang, suara golongan muda dan kaum wanita masih jarang kedengaran dalam proses membuat keputusan.
Kelompok calon muda yang bertanding esok turut menjadi sasaran pengkritik yang meramalkan sesetengahnya akan memenangi kerusi semata-mata kerana mereka dikenali ramai.
Calon muda itu juga didakwa sebagai oportunis yang tidak mampu memberi banyak sumbangan sebagai ahli Parlimen yang serius, andainya mereka menang. - AFP

No comments:

Post a Comment