Pages

Monday, September 6, 2010

Salah lontar, dua jari putus

KUANTAN - Akibat tersalah lontar mercun botol yang dimainkannya, seorang lelaki di Kampung Kubur, Beserah terpaksa tanggung derita putus dua jari kanannya.

Kejadian malam raya yang berlaku tujuh tahun lalu, bukan sahaja memberi kesan terhadap, Wan Rosli Abdul Rahman, 40, malah menjadikan dia fobia untuk bermain mercun lagi.

Menurutnya, untuk dia menyesal sudah terlambat memandangkan jarinya kini sudah kekurangan sifat hingga menyebabkan segala kerja yang dilakukan tidak sempurna.

“Jari telunjuk dan jari hantu saya terputus menyebabkan saya tidak selesa sehingga sekarang ini kerana untuk makan pun sudah tidak seperti dahulu lagi.

“Kejadian pada malam raya itu berlaku ketika saya membonceng motosikal bersama abang ipar saya mencari buluh lemang pada waktu malam.

“Sedang saya membonceng, saya turut menyediakan stok mercun botol dalam poket saya. Satu demi satu mercun saya cucuh dengan pemetik api sehingga ke mercun yang seterusnya saya tersalah lontar, bukan mercun yang saya lontar sebaliknya pemetik api yang saya pegang menyebabkan dia meletup di tangan saya,” katanya.

Sebelum itu, dia agak hairan kenapa ‘mercun’ (pemetik api) yang dilontarnya tidak meletup sehingga ia meletup di tapak tangan menyebabkan telinga berdesing seketika dan tangan kanan berasa kebas.

“Pada awalnya saya hanya berasa kebas di tangan sahaja sebelum ada cecair (darah) mengalir lalu apabila terpandang tangan saya, ianya sudah nampak tulang sahaja.

“Abang ipar saya turut tercedera di belakang badannya dan ada serpihan daging saya melekat di belakangnya sehingga kini,” katanya yang merupakan seorang nelayan.

Seterusnya, Wan Rosli terpaksa berhari raya di hospital selama dua hari.

Menurutnya, dia kini menyesal dan tidak mahu kejadian seumpama ini berlaku kepada ahli keluarganya dan selalu menasihati anaknya agar tidak bermain mercun kerana ia sememangnya bahaya.

“Kenangan ini akan terpahat dalam hati saya setiap kali bulan Ramadan dan hari raya memandang dua jari saya yang sudah tiada.

“Harapan saya, kepada mereka yang masih belum terkenan bahana main mercun ini agar tidak main lagi kerana saya sudah dapat akibatnya. Sebelum terlambat, jangan main mercun,” katanya.

No comments:

Post a Comment