Pages

Wednesday, September 29, 2010

Pucuk nipah sumber rezeki





MINAH Awang, 70, mengelamun sendirian di sebuah bangsal usang yang terletak bersebelahan rumahnya. Sudah menjadi rutinnya duduk di situ sambil memikirkan juadah tengah hari sebagai santapan bersama suami. Hidangan kampung seperti gulai nangka muda, jantung pisang celur dan ulam-ulaman bermain-main di benak fikirannya pada pagi itu.
Minah bukan sekadar berehat di bawah bangsal beratap genting tersebut, pada masa yang sama tangannya ligat melurut pucuk nipah dengan pisau bagi mengasingkannya daripada lidi.
Beliau sedar daun nipah itulah yang menjadi sumber rezeki bersama suaminya, Musa Hamad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Da.
Lamunan Minah tiba-tiba terhenti saat disapa. Wanita yang berbaju kurung Kedah berbunga biru dan berkain batik lusuh itu tidak terkejut dengan kehadiran penulis.
Dibantu oleh jirannya, Gayah Mohamad, 65, yang mesra disapa Mak Yah, penulis bertemu Minah setelah meredah kawasan kampung yang agak jauh dari jalan utama.

MAK DA (kiri) dan Mak Yah mengasingkan selupat dan lidi daripada pucuk daun nipah.


Meskipun agak malu untuk ditemu bual, namun Minah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Da membuka cerita.
Menurut Mak Da, aktiviti yang dilakukan berseorangan itu adalah rutin hariannya sejak beberapa tahun lalu. Daun nipah yang menjadi punca pendapatan sampingan keluarganya itu kini dijual sebagai daun rokok.
"Dahulu masa zaman remaja mak cik sudah bekerja menghasilkan atap daripada daun nipah. Lepas kahwin pun mak cik masih melakukan kerja yang sama bagi membantu suami meringankan beban mencari rezeki," ujarnya ketika ditemui di Kampung Che Deris, Kota Bharu, Kelantan.
Namun, arus pemodenan telah merubah segala-galanya. Atap nipah kini tidak lagi menjanjikan rezeki kepadanya. Jika dahulu daun-daun matang yang sudah dikeringkan itu mampu membesarkan ketiga-tiga cahaya matanya, kini ia seakan-akan tidak bernilai lagi apatah lagi untuk menjadi sumber rezeki.
Tidak kesal dan menyalahkan kepada perubahan yang berlaku, wanita berbadan gempal itu berpegang kepada peribahasa, ada hari, ada nasi. Dia meyakini bahawa jika rajin melakukan apa-apa pekerjaan pasti rezeki akan menjadi miliknya.
"Peredaran masa yang berlaku memang tidak dapat dihentikan, perubahan pasti berlaku. Kini atap daripada daun nipah sudah tiada tempat di hati masyarakat moden. Fungsinya sudah jauh daripada kehidupan anak-anak muda sekarang," ujarnya dalam loghat Kelantan.
Atas faktor tersebut, sejak sedekad lalu, Mak Da telah berhenti daripada mengutip daun-daun nipah matang, menjemur dan menjahitnya untuk dijadikan kepingan atap.
Dalam tempoh itu juga beliau bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah selain bantuan daripada anak-anak mereka.

ROKOK gulung turut menyumbang bahaya sama seperti rokok-rokok lain yang ada di pasaran.


Menurut Mak Da, atas faktor usia sejak dua tahun lalu, suaminya bersara sebagai tukang rumah. Pasangan itu kini bersama-sama mengusahakan rokok daun nipah untuk menghabiskan sisa-sisa usia mereka.
Pajakan daun nipah
"Pak Da akan mengutip pucuk daun nipah. Suami saya akan ke kawasan paya itu setiap dua hari untuk mendapatkan daun-daun muda.
"Kawasan itu terletak di kampung sebelah kira-kira dua kilometer (km) dari sini," jelas Mak Da mengenai rutin suaminya yang berbasikal untuk mendapatkan bekalan daun nipah.
Daun-daun nipah daripada spesies Nypa fruticans itu tidak diperoleh secara percuma, sebaliknya mereka perlu membayar sebanyak RM50 setahun kepada pemiliknya menerusi perjanjian pajakan.
Bagaimanakah rutin beliau menghasilkan rokok daun?
Cabaran membuat rokok daun bermula untuk mendapatkan daunnya dari kawasan berpaya.
"Selupat iaitu lapisan nipis pada daun nipah akan dicarik daripada permukaannya. Ia lebih rumit berbanding mengasingkannya daripada lidi.
Sambil menunjukkan cara-cara mengasingkan selupat dan lidi daripada daun tersebut, Mak Da mengikat setiap tiga helai daun menjadi satu set yang disebut sebagai sejambak. Setiap jambak tersebut akan dijual pada harga 10 sen.
"Bagaimanapun ia akan dijual sepuluh jambak pada harga RM1 kepada pembeli. Mereka akan datang ke sini untuk mendapatkannya," katanya.
PAK DA akan berbasikal sejauh dua kilometer untuk mendapatkan daun nipah.


Berpendapatan sebanyak RM30 seminggu, wanita itu akur dengan rezeki yang diperolehnya. Pendapatannya juga bergantung pada musim.
"Ketika musim tengkujuh pendapatan kami merudum kerana daun-daun nipah susah untuk dikeringkan dan keadaan kawasan paya sedikit bahaya kerana ancaman seperti ular, biawak, kayu hanyut dan sebagainya," jelasnya.
Sementara itu, menurut Mak Yah, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, penghasilan daun rokok itu juga akan terbantut.
"Setelah selesai memproses daun-daun ini, ia akan dijemur sehingga ke petang. Setelah dikutip selepas waktu Asar, ia sedia untuk dijual.
"Jika benar-benar mahir, pisau tidak diperlukan untuk mengasingkan selupat. Menggunakan mulut adalah lebih mudah dan tidak melenguhkan," kata ibu kepada sembilan anak itu.
Cabaran tanah selut
Daripada cerita dan cara Mak Yah melakukan kerja-kerja mengasingkan selupat, nyata beliau seorang yang berpengalaman. Lebih separuh abad masanya dihabiskan melakukan kerja-kerja menghasilkan rokok daun nipah.
Sedang rancak berbual, Pak Da, 72, muncul dari celah denai di kawasan perkampungan di pinggir kawasan pantai yang terletak 10 kilometer (km) dari bandar Kota Bharu.
Lelaki yang sedikit bongkok itu sebenarnya baru sahaja selesai menjemur daun-daun nipah yang siap diproses oleh Mak Da sejak matahari terbit.
"Saya akan berbasikal ke Kampung Pulau Pasir kira-kira dua km dari sini. Di sana terdapat kawasan paya yang luas dengan pokok-pokok nipah. Saya perlu berperahu untuk sampai ke kawasan itu.
"Keadaan tanah yang berselut menjadi cabaran utama. Bagaimanapun sepanjang saya mencari daun-daun ini saya tidak diganggu oleh haiwan-haiwan seperti ular, biawak dan yang mendiami kawasan itu," ujarnya yang kelihatan masih gagah.
Tidakkah dengan menjual daun rokok nipah secara tidak langsung mereka menggalakkan orang ramai merokok?
"Kami tidak berniat menggalakkan orang merokok, sebaliknya kami hanya mahu meneruskan hidup," kata Mak Da.
Sementara itu, pakar tembakau dari University College London, Professor Martin Jarvis menjelaskan, permintaan rokok jenis gulung adalah tinggi kerana ia menawarkan harga yang lebih rendah.
PAK DA menyusun pucuk nipah untuk proses mengering.


"Sama ada rokok gulung mahupun rokok keretek, kedua-duanya tetap meningkatkan risiko penyakit kanser paru-paru. Dua jenis kimia penyebab kanser iaitupolycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) dantobacco-specific N-nitrosamines (TSNA) terkandung dalam tembakau dengan kesan yang hampir sama bagi kedua-dua jenis rokok.
"Walaupun lebih murah dan semula jadi, pengguna rokok gulung tetap tidak boleh menganggap bahawa kerana ia semula jadi dan kurang toksik kerana kedua-duanya mempunyai kesan yang sama," jelas profesor psikologi kesihatan di Jabatan Epidemiologi dan kesihatan Awam itu.

No comments:

Post a Comment