Pages

Friday, September 17, 2010

Pelombong diselamat lebih awal


Nelly Burgueno ibu kepada Victor Zamora, salah seorang daripada 33 pelombong yang terperangkap di bawah lombong emas dekat Copiapo 800 kilometer ke utara Santiago membawa kotak bekalan makanan sementara menunggu kerja-kerja menyelamat mangsa, kelmarin. - AFP


COPIAPO, Chile 16 Sept. - Pasukan penyelamat yakin dapat menyelamatkan 33 pelombong yang masih terperangkap di bawah sebuah lombong di sini pada awal November ini, lebih awal daripada jangkaan iaitu pada Krismas ini, demikian menurut ketua jurutera semalam ketika penggalian terus dilakukan.
Dua gerudi yang sedang menggali laluan selamat melepasi aras 300 meter daripada 700 meter kedalaman yang perlu digali untuk menyelamatkan kumpulan pelombong itu, yang terperangkap di bawah tanah sejak 5 Ogos lalu.
"Senario terbaiknya adalah kami dapat membuat lubang yang sampai ke tempat mereka terperangkap pada awal November," kata penyelaras usaha menyelamat, Rene Aguilar, sambil menambah kata bahawa apabila lubang itu siap nanti ia perlu digali sekali lagi dan diperbesarkan untuk mengeluarkan mangsa.
Jelasnya, selewat-lewatnya mereka dapat diselamatkan ialah pada awal Disember ini bagi memastikan pelombong yang terperangkap dapat meraikan Krismas bersama keluarga masing-masing.
Kata Aguilar, gerudi terpantas menggunakan mesin T-130 yang dipanggil pilihan 'Plan B', menyambung kerja dua hari lalu selepas jurutera mengeluarkan serpihan gerudi yang memaksanya berhenti beroperasi selama hampir seminggu. Kini ia berada pada kedalaman 368 meter.
Ujarnya, penggerudi Strata 950 yang merupakan sebahagian daripada 'Plan A' juga menggali semakin dalam hingga pada kedalaman 308 meter sebelum dihentikan pada 380 meter untuk penyelenggaraan rutin.
Penyelamat juga akan meneruskan usaha ketiga, 'Plan C' yang membabitkan sebuah gerudi cari gali minyak yang sudah 70 peratus siap dipasang di sebuah kawasan lapang berdekatan dan akan mula digunakan Isnin ini.
Kumpulan pelombong itu menjadi wira negara apabila ditemui masih hidup pada 22 Ogos lalu, 17 hari selepas terperangkap dalam runtuhan di sebuah lombong emas dan gangsa San Jose, di sini.
Semangat mereka membara minggu ini apabila mendapat berita isteri kepada seorang pelombong yang terperangkap selamat melahirkan anak perempuan dua hari lalu dan pelombong itu berpeluang melihat sendiri video kelahiran anaknya itu, semalam. - AFP

No comments:

Post a Comment