Pages

Sunday, September 26, 2010

Kriminal: Tikam anak 66 kali

Susunan SHAMRAN SARAHAN

2010/09/12

“SEKURANG-kurangnya anak saya selamat sekarang. Tidak ada orang lain boleh menyakiti mereka.” Itu pengakuan mengejutkan seorang ibu, Rekha Kumari-Baker, 42, selepas membunuh dua anak perempuannya dengan menikam mereka 66 kali ketika tidur.

Barford yang terkejut dengan panggilan telefon daripada Rekha bergegas ke rumah rakan baiknya. Dia menemui anak Rekha, Davina dan Jasmine Barker (masing-masing berusia 16 dan 13 tahun ketika kejadian) berlumuran darah di atas katil mereka.

Ibu kejam ini turut menulis surat mengenai pembunuhannya untuk diserahkan kepada bekas suaminya, David Barker, 44, bagi menyatakan rasa kecewanya terhadap kekasih barunya, seorang ahli perniagaan, Geoff Powell.

Siasatan awal polis Cambridgeshire mendapati, Rekha memang berniat membunuh anaknya lebih awal kerana dua hari sebelum kejadian, dia membeli set pisau dapur baru.

Rekha turut membawa anaknya membeli-belah di sekitar Bandar Essex di London untuk mengambil hati dan mahu menjadikan ia kenangan terakhir bersama mereka.

Bagaimanapun, niat membunuh dua anaknya tertangguh selepas Davina menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana membawa mereka berbelanja.
Ketika kejadian berlaku, Rekha menggunakan pisau dapur yang dibelinya untuk membunuh kedua-dua anaknya di bilik masing-masing, kira-kira jam 2.30 pagi di kediaman mereka di Newmarket, Cambridgeshire.

Rekha menikam Davina 39 kali di dada manakala Jasmine 27 kali ketika mereka tidur.

Pegawai penyiasat, Jim McCrorieof berkata, Rekha membunuh anaknya disebabkan tekanan hidup selepas ditinggalkan kekasih dan cemburu apabila mengetahui bekas suaminya memiliki pasangan baru.

Katanya, suspek turut hilang punca hidup selepas dibuang kerja sebagai pelayan dan tidak tahan dengan kelakuan serta tingkah laku liar anaknya.

“Ia kes paling teruk pernah saya lihat berlaku di sini sejak 25 tahun lalu. Rekha tertekan dengan keadaan hidup yang porak peranda selepas bercerai dengan suami sejak 2003.

“Dia (Rekha) juga marah terhadap anaknya yang suka minum arak, merokok, mencuri dan bergaduh. Itu membuatkan Rekha menghadapi masalah untuk mengawal mereka.

“Seorang daripadanya, rasanya Davina, pernah cuba membunuh diri manakala seorang lagi berdepan masalah pemakanan,” katanya.

Sementara itu, Baker berkata, dia sukar menerima kekejaman dilakukan bekas isterinya dan kejadian itu langsung tidak terlintas di fikirannya.

“Tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan ini. Dia (Rekha) akan dihantui kematian anak saya,” katanya.

Sebelum dihadapkan ke Mahkamah, polis membawa Rekha menjalankan ujian psikiatri sakit untuk pengesahan sama ada wanita ini menghadapi masalah mental, namun ujian itu menunjukkan Rekha masih waras.

Sehingga September 2009, kes ini dibicarakan di Mahkamah Cambridge Crown. Rekha didapati bersalah atas tuduhan membunuh anaknya dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, minimum 31 tahun tanpa parol sehingga 2040.

INFO

SUSPEK: Rekha Kumari-Baker

UMUR: 42 tahun

STATUS: Janda

MANGSA: Davina dan Jasmine Barker (masing-masing berusia 16 dan 13 tahun ketika kejadian)

FAKTA JENAYAH: Rekha membunuh anaknya, Davina dan Jasmine disebabkan tekanan hidup selepas ditinggalkan kekasih dan cemburu apabila mengetahui bekas suaminya memiliki pasangan baru. Dia turut hilang punca hidup selepas dibuang kerja sebagai pelayan dan tidak tahan dengan kelakuan serta tingkah laku liar anaknya. Suspek membunuh mangsa ketika mereka tidur menggunakan pisau dapur dengan masing-masing ditikam 66 kali di dada

FAKTA KES: Mahkamah Cambridge Crown mendapati Rekha bersalah atas tuduhan membunuh anaknya dengan niat. Suspek dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, minimum 31 tahun tanpa parol sehingga 2040

No comments:

Post a Comment