Pages

Sunday, September 12, 2010

Kesedihan Lebaran




M.Rajoli yang sunyi
KALI terakhir saya bertemu M.Rajoli pada bulan Ramadan lima tahun lalu di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Masih jelas terbayang di mata bagaimana ramah dan cerianya pelakon penuh karakter kelahiran Kampung Kasar, Pasir Mas, Kelantan ini.
Bekas bilal ini hadir menaiki kereta Satria GTi, siap memakai jaket dan seluar kulit serta but hitam melaiki kereta bernombor pendaftaran 27 dan tercatat nama M. RAJOLI. Gayanya memang sporty mengalahkan orang muda.
Selepas itu, M.Rajoli merubah penampilan dengan bergaya pula dengan pakaian berjubah dan serban.
Sesekali orang ramai yang lalu-lalang menegurnya dan dia membalas setiap sapaan itu. Ada juga yang ingin bergambar dengannya dan dia langsung tidak menolak permintaan tersebut.
Penghunjung Ramadan lalu kami bertemu lagi. Namun suasananya tidak sama seperti pertemuan yang lalu. Berkunjung ke rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur, M.Rajoli hanya mampu terlantar di katil, sekadar memandang sayu tetamu yang datang, tanpa suara, tiada respons.
Hembusan nafasnya kekadang berbunyi agak kuat sekali gus memecah sunyi suasana rumah.
Itulah realiti pelakon yang berusia 65 tahun pada hari ini apabila terkujur sepi selepas menjalani pembedahan penyakit limfoma (kanser kelenjar di otak).
Pembedahan dilakukan pada 11 November 2007 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, selepas pembedahan terdapat komplikasi lain sehingga menyebabkan M. Rajoli tidak boleh berjalan lagi.
Bertanya khabar dengan isteri yang setia menemaninya, Hassemah Mohd. Din, 55, wanita ini cukup tabah berkongsi derita bersama suami tersayang.
Kata ibu kepada empat orang anak itu, keadaan M.Rajoli yang tidak lagi rajin bercakap dan asyik tidur berubah sejak dua bulan lalu.
Disebabkan itu, pelakon tersebut tidak dapat menjalani puasa pada tahun ini dan hanya mampu diberi makan makanan lembut seperti roti dan susu.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia kehilangan M.Rajoli pada masa akan datang, Hassemah reda dengan perjalanan hidupnya dan suami pada hari ini.
“Saya sudah bersedia dan reda dengan apa yang bakal berlaku. Semua ini ketentuan yang diberikan Allah S.W.T.
“Begitu juga dengan anak-anak. Selagi hayat dikandung badan, kami akan memberikan kasih-sayang yang tiada nilai buat dirinya,” katanya sambil memberitahu M.Rajoli menjalani rawatan fisioterapi pada Selasa atau Rabu.
Bayu tidak berharap lagi
Berkunjung pula ke rumah Seri Bayu di Seri Kembangan, Selangor, keadaan penulis lirik ini tidak berubah seperti lima tahun lalu apabila masih lumpuh dan berkerusi roda kerana mengidap penyakit saraf motoneuron.
Kedua belah tangan dan kaki penulis lirik lagu Kau Lilin Cintaku nyanyian Francissca Peter dan Cintamu Muzik Di Hatiku (Anita Sarawak) itu tidak boleh digerakkan.
Saya hanya dapat berkomunikasi dengan Seri Bayu menerusi pertolongan seorang pembantunya, Musavi Abdul Razak.
Bagi menguruskan kehidupan seharian seperti makan, minum, mandi dan sebagainya, anak muda berusia 21 tahun itu yang menjaga Seri Bayu sejak empat bulan lalu.
Kata Musavi, penulis lirik itu tetap menjalani ibadah puasa tahun biarpun makan dan minumnya perlu disuap.
“Abang (Seri Bayu) suka sangat makan asam pedas ikan ketika berbuka puasa. Waktu bersahur pula, abang makan awal sekitar pukul 2 pagi.
“Sekarang kesihatan abang ada perubahan sikit. Badan sudah berisi kerana dia kuat makan,’’ katanya tersenyum sambil memandang Seri Bayu.
Berkongsi persediaan menyambut 1 Syawal ini, Musavi berkata, suami kepada penyanyi Erema itu akan meraikan hari lebaran di Seri Kembangan sahaja dan tidak bercadang pulang ke kampungnya di Gelang Patah, Johor.
Sempat mengusik soalan nakal kepada Seri Bayu sama ada Erema datang melawat atau bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), penulis lirik memberi senyuman tawar sambil berkata sesuatu kepada Musavi.
Jelas anak muda itu, Seri Bayu ada menerima SMS daripada penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pelita Di Bawah Purnama itu yang meminta suami melepaskan dirinya dari ikatan perkahwinan mereka.
“Abang kata, Erema cakap dia juga tidak ada duit lagi untuk membayar peguam,” katanya sambil diangguk tanda setuju oleh Seri Bayu.
Sambung Musavi lagi, penulis lirik itu tetap bertegas mahu Erema memohon maaf secara terbuka kepada dirinya manakala segala kes berkaitan isu peribadi diuruskan oleh peguam Seri Bayu.
Cuba menguji perasaan Seri Bayu sama ada berharap isterinya akan pulang ke pangkuan pada Hari Raya ini, lelaki yang bertubuh kurus kering itu jelas bersikap rasional.
“Terserah kepada Erema kerana dia masih isteri abang,’’ kata Seri Bayu yang disampaikan Musavi.
Mengakhiri pertemuan itu, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik memberitahu, dia masih meneruskan rawatan secara tradisional dan moden mengikut kelapangan waktu.
Seri Bayu dan Erema bernikah pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa di ibu negara.
Erema menuntut cerai fasakh di Mahkamah Syariah Petaling Jaya pada November 2008 apabila memberi alasan tiada persefahaman, tidak diberi nafkah zahir batin dan mengalami tekanan emosi sejak Seri Bayu sakit teruk.
Ahmad Busu tetap Mat Deris
Ahmad Busu menyambut kehadiran kami penuh ramah di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang. Dari jauh, sudah nampak dia boleh berjalan perlahan-lahan tetapi dalam keadaan berhati-hati.
Kata pelawak itu, jika berjalan jauh dia perlu menggunakan tongkat kerana masih terasa bisa di lututnya.
Cerita bapa kepada empat orang anak itu, apa yang penting dia dapat menunaikan sembahyang terawih di masjid berdekatan dengan menggunakan kerusi lipat.
“Rugi tidak pergi sembahyang terawih. Bukan selalu dapat peluang sebegini kerana hanya sebulan dalam setahun.
“Lagi pun, abang masih terkenang peristiwa diserang strok pada Ramadan tahun lalu sebelum enam hari menyambut Hari Raya," katanya mula bicara sambil terserlah karekter lucu dalam dirinya.
Tanggal 10 September tahun lalu pasti menjadi kenangan pahit dalam hidup Ahamd Busu apabila dimasukkan ke hospital setelah tidak boleh berdiri dan berjalan gara-gara diserang strok.
Seminggu dia terlantar di hospital menerima pelbagai rawatan termasuk rawatan imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG).
Pelakon yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam siri sitkom popular yang pernah bersiaran di TV3, Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berkata, tiada apa perkataan yang mampu diucapkan pada hari ini iaitu bersyukur kepada Allah S.W.T.
Ini kerana kata bekas kakitangan Lembaga Pelabuhan Klang itu, merasai nikmat kesakitan dan nikmat mula kembali pulih adalah anugerah yang tidak terhingga buat dirinya.
“Orang lain apabila sakit diserang strok ada yang meninggal dunia tetapi saya diberi peluang kembali pulih.
“Serangan yang saya alami itu tidak boleh digambarkan kerana paling menyakitkan sepanjang hidup saya. Ketika serangan, mata saya nampak pemandangan dua imej, tidak boleh bercakap dan lidah jadi pelat.
“Saya fikir ketika itu saya sudah hendak meninggal dunia. Tetapi alhamdulillah apabila mula kembali pulih sebanyak 70 peratus walaupun pernah tidak boleh berjalan selama sebulan,’’ katanya yang rancak bercerita pengalaman pahitnya itu.
Mengalih topik perbualan kepada sambutan Hari Raya nanti, Ahmad Busu menyifatkan 1 Syawal pada tahun ini paling bermakna dalam hidup.
Jelasnya, tahun lalu dia terpaksa beraya di katil hospital menyebabkan rancangan untuk pulang ke kampung di Taiping, Perak terbantut.
“Memang tidak sabar rasanya nak sambut Hari Raya kerana ingin melunas semua janji dengan ahli keluarga untuk pulang ke kampung selepas sembahyang Raya.
“Apatah lagi apabila 1 Syawal tahun ini disambut pada 10 September lalu yang kebetulan jatuh pada hari jadi saya yang ke-57," katanya cukup seronok.
Sebelum meninggalkan Ahmad Busu, pelakon itu berterima kasih dengan semua pihak yang memberi bantuan dan mendoakan kesejahteraan dirinya hingga dapat kembali pulih seperti hari ini.
Beginilah perjalanan hidup anak-anak seni dalam mengharungi saat-saat getir. Selepas tidak berkira menceriakan hati masyarakat sebelum ini, mereka kini kembali semula kepada ahli keluarga tersayang untuk berkongsi menanggung penderitaan.

No comments:

Post a Comment