Pages

Saturday, September 25, 2010

Kenali Syiah Secara Ringkas



PENGENALAN RINGKAS SYI'AH IMAMIYYAH

Ajaran Syi'ah pada hakikatnya adalah merupakan ciptaan musuh-musuh Islam yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan Majusi. Untuk kita mengetahui lebih lanjut lagi tentang kelahiran Syi'ah ini marilah kita merenung sejenak sejarah silam iaitu sejarah zaman Khalifah ketiga umat Islam iaitu Khalifah Uthman bin Affan r.a.

Zaman permulaan Islam iaitu pada zaman Khulafa ur-Rasyidin, Islam begitu kuat sehingga tidak mampu diganggu gugat oleh musuh secara berdepan. Sehingga dua kuasa besar pada ketika itupun iaitu kerajaan Rom dan Farsi pun terpaksa tunduk kepada kekuasaan kerajaan Islam. Kerana itu kita melihat pada zaman Sayyidina Umar r.a. lagi sudah nampak pakatan musuh Islam untuk menghancurkan kekuasaan Islam ketika itu dan antara perancangan yang dilakukan mereka adalah dengan membunuh khalifah Umar r.a.

Seterusnya pada zaman Sayyidina Uthman r.a. musuh-musuh Islam ini masih lagi tidak mampu untuk menghadapi umat Islam secara berdepan maka mereka telah membuat perancangan untuk menghancurkan Islam dari dalam, maka hasil dari perancangan tersebut muncul lah seorang yang bernama Ibnu Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam tetapi sebenarnya adalah bertujuan untuk menghancurkan Islam dari dalam. Taktik yang digunakan oleh Ibnu Saba' adalah dengan memecah-belahkan kesatuan umat Islam dengan cara menyebarkan ajaran yang bukan berasal dari Islam tapi atas nama Islam.

Ajaran Ibnu Saba’ yang kemudiannya diterima oleh golongan Syi'ah sebenarnya adalah berasal dari Yahudi, Nasrani serta Majusi. Di zaman Sayyidina Uthman r.a. Ibnu Saba’ telah berjaya menaburkan racunnya kepada golongan-golongan yang baru memeluk agama Islam, tidak kuat keislamannya serta berada jauh dari kalangan sahabat-sahabat r.a.

Namun begitu golongan Syi'ah cuba untuk menafikan kewujudan Ibnu Saba’ ini dan mereka mengatakan ianya adalah manusia khayalan yang direka-reka kewujudannya oleh golongan yang memusuhi Syi'ah. Tetapi jika diperhatikan kepada kitab-kitab sejarah samaada dari kalangan Ahlus Sunnah mahupun Syi'ah maka kewujudan Ibnu Saba’ ini tidak dapt dinafikan lagi.

Umpamanya di dalam kitab rijal yang paling utama di sisi Syi'ah iaitu Ikhtiyaru Ma'rifatir Rijal yang lebih dikenali dengan Rijal Kasyi pengarangnya Abu Ja’far Muhammad bin Al-Hasan Bin Ali At-Thusi telah menukilkan riwayat daripada Imam Ja'far As-Sadiq yang berbunyi:

عن ابن سنان، قال، قال أبوعبدالله عليه السلام: انا أهل بيت صادقون، لانخلو من كذاب يكذب علينا، فيسقط صدقنا بكذبه علينا عند الناس، كان رسول الله صلى الله عليه وآله أصدق البرية لهجة، وكان مسيلمة يكذب عليه. وكان أمير المؤمنين عليه السلام أصدق من برأ الله من بعد رسول الله صلى الله عليه وآله، وكان الذي يكذب عليه ويعمل في تكذيب صدقه بما يفتري عليه من الكذب عبدالله بن سبا لعنه الله

Daripada Ibnu Sinan katanya, Abu Abdillah a.s. berkata, "Sesungguhnya kami Ahlul Bait adalah orang-orang yang benar, kami tidak sunyi daripada pendusta-pendusta yang berdusta atas nama kami lalu gugurlah kebenaran kami di sisi manusia disebabkan oleh pendustaan yang dilakukan atas nama kami. Nabi s.a.w. adalah orang yang paling benar ucapannya dan Musailamah telah berdusta atas namanya. Amirul mukminin (Ali) a.s. adalah orang yang paling benar diciptakan oleh Allah selepas Rasulullah s.a.w. dan orang yang berdusta atas namanya serta berusaha dalam mendustakan kebenarannya dengan mengadakan dusta atas nama beliau adalah Abdullah bin Saba' semoga Allah melaknatnya". (Rijal Kasyi juz 4 hal 305)
Di antara tokoh-tokoh Syi'ah yang lain yang menyebutkan perkara sama ialah an-Naubakhti dalam “Firaq asy-Syi'ah” (hal: 43-44), al-Hulli dalam “Kitab al-Rijal” (hal: 469), Mamaqami seorang tokoh ulamak mutaakhir Syi'ah tentang Rijal dalam kitabnya “Tanqihu al-Maqal” Jilid 2 hal: 184), al-Ustarabadi dalam kitab “Manhaju al-Maqal” (hal: 203), Ibnu Abi al-Hadid dalam “Syarah Nahju al-Balaghah” (Jilid 2 hal: 309), Syeikh Abbas al-Qummi dalam kitabnya “Tuhfatu al-Ahbab” (hal: 184) dan lain-lain.
Begitu juga di kalangan tokoh-tokoh ahli Sunnah yang menyebutkan berkenaan ajaran Ibnu Saba’ ini dan peranannya dalam memecahbelahkan umat Islam ialah Abu Hasan al-Asyaari dalam “Maqalat al-Islamiyin” (Jilid 1 hal:50), Abdul Qahir al-Baghdadi dalam “al-Farqu Baina al-Firaq” (hal: 233-235), al-Isfiraini dalam “at-Tabsir fi ad-Din” (hal: 108-109), Syahrastani dalam “al-Milal wa an-Nihal” (Jilid 2 hal: 11), at-Tabari dalam “Tarikh al-Umam wa al-Muluk” (Jilid 5 hal 90), Ibnu Kathir dalam “al-Bidayah wa an-Nihayah” (Jilid 7 Hal: 167), Hafiz Ibnu Hajar dalam “Lisan al-Mizan” (Jilid 3 hal: 289), Yaqut Al-Hamawi dalam Mu'jamul Buldan (Jilid 2 hal. 306) dan lain-lain.
Antara ajaran Syi'ah yang bertentangan dengan Islam.
1. Aqidah al-Imamah dan al-Walayah
Iaitu kepercayaan bahawa Imam-Imam Dua Belas itu dilantik berdasarkan nas dari pihak Allah dan mereka adalah maksum terpelihara dari dosa kecil dan besar serta dari lupa dan lalai.
Kepercayaan ini begitu penting di dalam ajaran Syi’ah, sehingga ia merupakan salah satu syarat keimanan dan dianggap terpenting dari antara rukun-rukun Islam yang lain. Setiap Nabi yang datang telah mengakui keimaman dan walayah Ali dan seseorang yang tidak mengenal Imam-Imamnya dianggap tidak mengenal Allah. Kepercayaan ini terdapat dalam mana-mana kitab Syi'ah terutamanya kitab al-Kafi. Antaranya:
عن فضيل بن يسار، عن أبي جعفر عليه السلام قال: بني الاسلام على خمس: على الصلاة والزكاة والصوم والحج والولاية ولم يناد بشئ كما نودي بالولاية، فأخذ الناس بأربع وتركواهذه يعني الولاية.
Al-Kulaini meriwayatkan dari Fudhail dari Abi Jaafar a.s. Kata beliau: “Islam ditegakkan di atas lima perkara; sembahyang, zakat, puasa, haji dan walayah. Tidak ada satu pun daripada rukun-rukun yang tersebut yang diseru sebagaimana seruan yang diberikan kepada al-Walayah. Lalu manusia mengambil keempat-empatnya dan meninggalkan yang ini, iaitu walayah.” (al-Usul Min al-Kafi – jilid 2 halaman 20)
Khomeini juga menyebutkan berkenaan dengan kepercayaan kepada imam-imam ini yang antaranya berbunyi:

ان للامام مقاما محمودا لا يبلغه ملك مقرب ولا نبى مرسل.
Bermaksud: "Sesungguhnya imam itu mempunyai kedudukan yang terpuji yang tidak sampai kepadanya malaikat yang hampir kepada Allah dan nabi lagi rasul". (al-Hukumah al-Islamiah – hal 52)
2. Aqidah Takfir as-Sahabah (Aqidah Mengkafirkan Sahabat)

Iaitu akidah tentang majoriti para sahabat telah murtad yang tidak tersembunyi kepada sesiapa sahaja yang pernah membaca kitab-kitab Syi’ah, sehingga bolehlah dikatakan tidak ada sebuah kitab Syi’ah yang muktabar terutamanya yang ditulis oleh ulamak-ulamak mereka yang lalu melainkan pasti tersebut di dalamnya riwayat-riwayat yang mengkafirkan atau memurtadkan para sahabat atau melaknat, memaki hamun dan melakukan tabarri (tabarra – yakni menyatakan sikap berlepas diri dan tidak mempunyai hubungan kasih sayang) terhadap mereka. Tidak terlepas daripada tuduhan-tuduhan mereka sahabat-sahabat besar Rasullullah s.a.w sekalipun seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman bin ‘Auf, isteri-isteri Rasullullah s.a.w dan lain-lain.
Al-Kulaini meriwayatkan dari Abu Jaafar a.s. kata beliau: “Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah s.a.w kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi – jilid 8 hal 245)

Bahkan mereka mengatakan bahawa imam Ja'far As-Sadiq mejadikan laknat beberapa orang sahabat sebagai wirid selepas sembahyangnya sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Kulaini:

عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ ثُوَيْرٍ وَ أَبِي سَلَمَةَ السَّرَّاجِ قَالَا سَمِعْنَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ (ع) وَ هُوَ يَلْعَنُ فِي دُبُرِ كُلِّ مَكْتُوبَةٍ أَرْبَعَةً مِنَ الرِّجَالِ وَ أَرْبَعاً مِنَ النِّسَاءِ فُلَانٌ وَ فُلَانٌ وَ فُلَانٌ وَ مُعَاوِيَةُ وَ يُسَمِّيهِمْ وَ فُلَانَةُ وَ فُلَانَةُ وَ هِنْدٌ وَ أُمُّ الْحَكَمِ أُخْتُ مُعَاوِيَةَ

Daripada Husain dan Abi Salamah katanya, "Kami mendengar Abu Abdillah a.s. melaknat selepas setiap sembahyang fardhu empat orang lelaki dan empat orang perempuan iaitu si-fulan,si-fulan,si-fulan dan Mu'awiyah serta ia menyebut nama mereka dan si-fulanah,si-fulanah, Hindun dan Ummul Hakam saudara perempuan Mu'awiyah. (Al-Kafi jilid 3 hal. 343)

Yang dimaksudkan dengan "si-fulan" di dalam kitab-kitab Syi'ah adalah yang pertama Abu Bakar r.a., kedua Umar r.a. dan ketiga Uthman r.a. sementara "si-fulanah" adalah yang pertama Aisyah r.a. dan kedua Hafsah r.a.

3. Aqidah ar-Raj’ah
Iaitu salah satu aqidah Syi’ah yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam iaitu kepercayaan tentang akan dibangkitkan para Imam sebelum qiamat untuk menuntut bela atau menghukum orang-orang zalim yang telah merampas hak-hak mereka. Kepercayaan ini merupakan perkara yang telah diijmakkan oleh para ulamak Syi’ah. Antaranya Syeikh Mufid menyebutkan:
"واتفقت الإمامية على وجوب رجعة كثير من الأموات"
Bermaksud: “Golongan Imamiah sependapat tentang wajibnya raj’ah (kembali) sebahagian besar dari orang-orang mati ke dunia sebelum qiamat.”( Awaailu al-Maqaalat, halaman 52)

4. Tahrif al-Quran.

Iaitu kepercayaan bahawa al-Quran yang di tangan umat Islam kini sudah berlaku tokok tambah, pengurangan, penambahan dan penyelewengan padanya. Akidah ini juga merupakan satu akidah yang sangat penting di sisi Syiah sehingga ulamak-ulamak mereka menganggap ianya adalah merupakan dharuriat ajaran Syiah sebagaimana yang dikatakan oleh seorang ulamak tafsir terkemuka Syiah Sayyid Hashim al-Bahrani di dalam kitabnya Tafsir al-Burhan di dalam Muqaddimah Fasal 4,halaman 49. Di antara ulamak Syiah yang mengakui berlakunya tahrif kepada al-Quran adalah Allamah Husain bin Muhammad Taqiy an-Nuuri at-Thabarsi bilamana beliau menukilkan kata-kata Sayyid Ni'matullah al-Jazaairi di dalam kitabnya Al-Anwar An-Nu'maniyyah yang berbunyi:

أن الأصحاب قد أطبقوا على صحة الأخبار المستفيضة بل المتواترة الدالة بصريحها على وقوع التحريف في القرآن
Bermaksud: "Sesungguhnya tokoh-tokoh Syi’ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan terhadap al-Quran.” (Fashlul Khitab Fi Tahrif Kitabi Rabbil Arbab m.s. 31).

Kitab-kitab utama Syiah juga tidak sunyi daripada mengemukakan riwayat-riwayat daripada imam-imam maksum mereka berkenaan aqidah ini. Antaranya apa yang dikemukakan oleh al-Kulaini di dalam kitabnya yang berbunyi:

عن جابر قال: سمعت أبا جعفر عليه السلام يقول: ما ادعى أحد من الناس أنه جمع القرآن كله كما أنزل إلا كذاب، وما جمعه وحفظه كما نزله الله تعالى إلا علي بن أبي طالب عليه السلام والائمة من بعده عليهم السلام

Bermaksud: Daripada Jabir katanya, aku mendengar Abu Ja'far a.s. berkata: "Tidaklah seseorang itu mendakwa bahawa ia telah mengumpulkan al-Quran kesemuanya sebagaimana diturunkan melainkan ia adalah seorang pendusta, al-Quran tidak dihimpunkan dan dihafal sebagaimana diturunkan oleh Allah Taala kecuali Ali bin Abi Talib a.s. dan imam-imam selepasnya a.s."(Usul Al-Kafi jilid 1 ms. 228).

Dan banyak lagi riwayat-riwayat dari imam-imam maksum di sisi Syi'ah yang menyebutkan berkenaan penyelewengan al-Quran di dalam kitab-kitab utama mereka seperti Tafsir al-'Aiyyasyi, Tafsir al-Qummi, Bashaair ad-Darajat, Al-Anwar An-Nu'maniyyah dan lain-lain lagi.

5. Kahwin mut'ah iaitu kahwin kontrak.

Iaitu perzinaan di atas nama Islam. Satu bentuk perkahwinan yang tidak memerlukan tanggungjawab, nafkah, pusaka dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perkahwinan yang berkekalan. Perkahwinan yang semata-mata berlandaskan nafsu dan untuk berseronok.

Al-Kulaini menukilkan satu riwayat berkenaan mut'ah daripada imam Muhammad al-Baqir:

، عن محمد بن مسلم، عن أبي جعفر (ع في المتعة قال: ليست من الاربع لانها لاتطلق ولاترث وإنما هي مستأجرة

Bermaksud: Daripada Muhammad bin Muslim daripada Abu Ja'far a.s. berkenaan mut'ah katanya, "Mereka-mereka itu (perempuan) bukan dari kalangan empat isteri kerana mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan sewaan". (Furu' al-Kafi jilid 5 hal. 284)

Dalam riwayat yang lain pula Kulaini menukilkan:

عن زرارة، عن أبي عبدالله قال: لا تكون متعة إلا بأمرين أجل مسمى وأجر مسمى
Bermaksud: Daripada Zurarah daripada Abu Abdillah a.s. katanya, "Tidak berlaku mut'ah kecuali dengan dua perkara iaitu tempoh yang ditentukan dan mahar yang ditentukan".(ibid hal. 286)

6. Taqiyyah.

Iaitu menyembunyikan sesuatu yang terdapat dalam hati dan menyatakan yang sebaliknya. Dalam ertikata yang mudah ianya adalah berbohong yang di atasnamakan Islam. Ajaran ini adalah merupakan ajaran yang sangat penting dalam ajaran Syi'ah sehingga sembilan persepuluh dari ajaran Syi'ah terletak pada taqiyyah (al-kafi j.2 hal 217) dan ia merupakan satu senjata yang sangat ampuh bagi ajaran ini.

Untuk menjelaskan hakikat taqiyyah ini Al-Kulaini mengemukakan satu riwayat yang berbunyi:
قال أبوعبدالله عليه السلام: يا معلى اكتم أمرنا ولاتذعه، فإنه من كتم أمرنا ولم يذعه أعزه الله به في الدنيا وجعله نورا بين عينيه في الآخرة، يقوده إلى الجنة، يا معلى من أذاع أمرنا ولم يكتمه أذله الله به في الدنيا ونزع النور من بين عينيه في الآخرة وجعله ظلمة تقوده إلى النار، يا معلى إن التقية من ديني ودين آبائي ولادين لمن لاتقية له

Abu Abdillah a.s. berkata: "Wahai Mu'alla! Sembunyikan urusan (agama) kami dan jangan nyatakannya, kerana sesungguhnya orang yang menyembunyikan agama kami dan tidak menyatakannya akan dimuliakan oleh Allah di dunia dan Allah akan menjadikannya sebagai cahaya di antara dua matanya di akhirat yang akan membawanya ke syurga. Wahai Mu'alla! Orang yang menyatakan agama kami dan tidak menyembunyikannya akan di hina oleh Allah di dunia dan Allah akan membuang cahaya di antara dua matanya di akhirat dan akan menjadikannya kegelapan yang mengheretnya ke neraka. Wahai Mu'alla! Sesungguhnya taqiyyah adalah agamaku dan agama datuk nenekku dan tidak ada agama bagi orang yang tidak bertaqiyyah".(Usul al-Kafi jilid 2 hal 225)
، عن مسعدة ابن صدقة، عن أبي عبدالله عليه السلام قال: ذكرت التقية يوما عند علي بن الحسين عليهما السلام فقال: والله لو علم أبوذر ما في قلب سلمان لقتله
Daripada Mas'adah daripada Abu Abdillah a.s. katanya, "Pada suatu hari disebutkan taqiyyah dekat Ali bin Al-Husain a.s. lalu dia berkata: "Demi Allah kalaulah Abu Zar mengetahui apa yang terdapat di dalam hati Salman tentu dia akan membunuh Salman". (Usul al-Kafi jilid 1 hal 402)

Dua riwayat ini pun sudah cukup untuk menjelaskan hakikat taqiyyah di dalam ajaran Syi'ah. Kerana senjata taqiyyah inilah ajaran Syi'ah dapat menyelinap masuk ke dalam tengah-tengah masyarakat Ahlus Sunnah dan seterusnya memperdaya mereka sehingga akhir sekali dalam keadaan tidak sedar golongan Ahlus Sunnah satu demi satu berjaya di Syi'ahkan dan boleh menerima segala ajaran-ajaran yang tidak masuk akal di dalam ajaran Syi'ah.

6. Pandangan Syi'ah terhadap Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Jika dilihat dalam kitab-kitab Syi'ah banyak sekali penghinaan yang diberikan mereka terhadap golongan Ahlus Sunnah. Di kesempatan ini kita akan kemukakan satu riwayat sahaja.

عَنِ ابْنِ أَبِي يَعْفُورٍ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ (ع) َ قَالَ لَا تَغْتَسِلْ مِنَ الْبِئْرِ الَّتِي تَجْتَمِعُ فِيهَا غُسَالَةُ الْحَمَّامِ فَإِنَّ فِيهَا غُسَالَةَ وَلَدِ الزِّنَا وَ هُوَ لَا يَطْهُرُ إِلَى سَبْعَةِ آبَاءٍ وَ فِيهَا غُسَالَةَ النَّاصِبِ وَ هُوَ شَرُّهُمَا إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَخْلُقْ خَلْقاً شَرّاً مِنَ الْكَلْبِ وَ إِنَّ النَّاصِبَ أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنَ الْكَلْبِ

Daripada Abi Ya'fur daripada Abu Abdillah a.s. katanya, "Jangan mandi dari telaga yang berhimpun padanya air mandian dari bilik mandi kerana padanya terdapat air mandian anak zina dan ia tidak akan bersih sehingga tujuh keturunan dan padanya juga terdapat air mandian 'nasibi' dan ia adalah yang paling buruk diantara keduanya. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan makhluk yang lebih buruk dari anjing dan sesungguhnya orang 'nasibi' adalah lebih hina di sisi Allah daripada anjing". (Furu' al-Kafi jilid 3 hal. 5)

Nasibi adalah gelaran yang diberikan mereka kepada Ahlus Sunnah kerana nasibi bermakna orang yang memusuhi Ahlul Bait di sisi Syi'ah. Orang pertama yang memusuhi Ahlul Bait di sisi Syi'ah adalah Abu Bakar as-Siddiq r.a. serta sahabat-sahabat r.a. dan golongan seterusnya yang memusuhi Ahlul Bait di sisi Syi'ah adalah Ahlus Sunnah. Ini kerana Ahlus Sunnah tidak mempercayai serta menganggap Ahlul Bait sebagaimana pegangan mereka.

Hakikat sebenar ajaran Syi'ah.

Kalau diperhatikan kepada ajaran Syi'ah semua ajaran mereka dihubungkan kepada imam-imam Ahlul Bait. Persoalannya apakah benar ajaran mereka berasal dari imam-imam tersebut atau ianya hanyalah tempelan sahaja? Untuk mengetahui hakikat sebenarnya ajaran mereka marilah kita meneliti sejenak apa yang terkandung dalam kitab-kitab mereka sendiri daripada mulut imam-imam mereka sendiri.

أبوخالد الكابلي سمعت علي بن الحسين عليه السلام يقول: ان اليهود أحبوا عزيزا حتى قالوا فيه ماقالوا فلا عزيز منهم ولاهم من عزيز، وأن النصارى أحبوا عيسى حتى قالوا فيه ماقالوا، فلا عيسى منهم ولاهم من عيسى. وانا على سنة من ذلك ان قوما من شيعتنا سيحبونا حتى يقولوا فينا ماقالت اليهود في عزيز، وماقالت النصارى في عيسى بن مريم، فلاهم منا ولا نحن منهم.(رجال الكشى ج2 ص120)

Abu Khalid al-Kabuli berkata, "Aku mendengar Ali (Zainul Abidin) bin al-Husain a.s. berkata: "Sesungguhnya Yahudi mencintai 'Uzair sehingga mereka telah mengatakan sebagaimana yang mereka katakan terhadapnya sedangkan 'Uzair tiada hubungan dengan mereka dan mereka juga tiada hubungan dengan 'Uzair. Sesungguhnya Nasara mencintai Isa sehingga mereka telah mengatakan sebagaimana yang mereka katakan terhadapnya sedangkan Isa tiada hubungan dengan mereka dan mereka juga tiada hubungan dengan Isa. Sesungguhnya kami seperti mana mereka juga, sesungguhnya satu kaum dari kalangan Syi'ah kami mencintai kami sehingga mereka mengatakan berkenaan kami sebagaimana yang dikatakan oleh Yahudi kepada 'Uzair dan sebagaimana yang dikatakan oleh Nasara kepada Isa bin Maryam, mereka tiada hubungan dengan kami dan kami tiada hubungan dengan mereka". (Rijal Kasyi juz 2 hal 120).

قال أبوعبدالله عليه السلام ما أنزل الله سبحانه آية في المنافقين الا وهي فيمن ينتحل التشيع

Abu Abdillah a.s. berkata: "Tidaklah Allah menurunkan berkenaan munafikin kecuali ianya bertepatan dengan orang yang mendakwa Syi'ah". (Rijal Kasyi juz 2 hal. 589)

Demikianlah dengan serba ringkasnya dibentangkan aqidah-aqidah Syi’ah dari kitab-kitab muktabar mereka. Semoga keterangan-keterangan yang diberikan memberi manfa’at kepada kita semua dan semoga Allah sentiasa membimbing kita di jalan yang lurus Amin ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Post a Comment