Pages

Thursday, September 9, 2010

Hidayah lihat ‘ibu’ solat



KUALA LUMPUR: Tertarik dengan cara umat Islam mengerjakan solat, seorang gadis Jerman terbuka hati memeluk Islam walaupun pada mulanya perubahan itu ditentang bapa yang beragama Kristian.
Nur Yana Petersen, 24, dari Hamburg, Jerman tertarik dengan Islam selepas melihat ibu angkatnya menunaikan solat ketika mengikuti program pertukaran pelajar peringkat antarabangsa, AFS Antarabudaya Malaysia (AFS) pada 2003.
Pada mulanya, saya bertanya ibu angkat pelbagai soalan mengenai cara hidup Islam seperti solat dan puasa. Entah kenapa, semakin mendapat jawapan, saya semakin tertarik mengenali Islam.
Sebaik pulang ke Jerman setahun kemudian, saya mula mendekati rakan beragama Islam dari Turki dan Bosnia untuk bertanyakan lebih lanjut berkaitan agama ini sehingga bertambah yakin kebenaran Islam, katanya yang ditemui di kediaman ibu angkatnya, Fauziah Mohd Thani untuk menyambut Ramadan di sini, baru-baru ini.
Nur Yana kemudian kembali ke Malaysia dan cuba berpuasa di rumah Fauziah.
Selepas yakin menemui jalan kebenaran, saya pulang ke Jerman dan mengucap dua kalimah syahadah di sebuah surau di Hamburg sehari sebelum Aidilfitri pada 2006.
Saya memaklumkan ibu yang menerima pegangan baru saya asalkan saya gembira, cuma bapa bimbang kerana disogok laporan media yang mengaitkan Islam dengan keganasan, katanya.
Katanya, dia perlahan-lahan menjelaskan kepada keluarganya mengenai Islam dan tidak keterlaluan menunjukkan perubahan diri.
Apabila saya tidak tergesa-gesa, mereka boleh menerima, contohnya buat permulaan solat secara sembunyi. Pasti berbeza jika saya memakai hijab sehari selepas memeluk Islam, katanya.
Katanya, kini ibu bapa dan rakan menerima cara hidup barunya.
Alhamdulillah, mereka memahami, malah berusaha memastikan saya selesa, misalnya jika sukar mendapat daging atau ayam halal, ibu memasak ikan untuk saya.
Rakan yang menjemput saya menghadiri majlis juga menyediakan jus, kerana biasanya mereka menyediakan minuman beralkohol, katanya.
Katanya, ada kalanya sukar beribadat di negara asal.
Bagaimanapun, jiwa saya tenang kerana saya percaya apa yang berlaku sama ada baik atau buruk sudah ditentukan Allah, katanya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment