Pages

Saturday, September 25, 2010

Gerabak 7 bilion penumpang






“SAYA sedang tidur apabila terdengar bunyi kuat seperti satu letupan. Saya tercampak dan terjatuh dari katil tapi segera bangun kerana tidak mahu dipijak. Penumpang lain mula terpekik dan keadaan sangat panik.
“Ada penumpang yang bergelimpangan di lantai. Saya tidak pasti mereka hidup atau mati. Di kepala saya sudah terlintas satu perkara yang sememangnya hampir setiap hari saya berdoa untuk tidak melaluinya, biarpun hakikatnya ia bukanlah asing bagi kami yang sering menggunakan kereta api di India.
“Saya bergegas keluar dari gerabak kereta api. Dalam samar-samar kegelapan awal pagi sekitar pukul 2 itu, saya melihat kereta api berwarna biru tersebut sudah terbalik dan tercampak dari trek. Bahagian depan gerabak paling menyayat hati apabila sudah bersatu dengan kereta api lain akibat pertembungan yang kuat itu.”
Demikian cerita Deshraj Sharma mengimbau detik-detik cemas yang dilaluinya Julai lalu apabila kereta api Ekspres Uttar Banga merempuh tren Ekspres Vananchal yang tidak bergerak di Stesen Sainthia, Bengal.
Seramai 61 orang maut, manakala 165 orang lagi cedera dalam nahas itu.
Kejadian tersebut menyebabkan Menteri Pengangkutan Kereta Api, Mamta Banerjee mengumumkan pampasan sebanyak Rs500,000 (RM34,066) untuk kematian dan Rs 100,000 (RM6,813) untuk kecederaan serius kepada mangsa nahas.

SEPANJANG tiga dekad, trek kereta api India menyebabkan kematian lebih 4,000 orang.


Apa yang pasti, belum pun sempat Mamta nyenyak tidur dan melupakan kemalangan besar di antara Uttar Banga dan Vananchal yang juga kemalangan kereta api ke-13 sepanjang tahun ini sahaja, Isnin lalu menteri itu tersentak lagi.
Biarpun sepanjang Ogos lepas, dua kemalangan kecil sudah terjadi yang mengorbankan empat nyawa, tragedi terbaru melibatkan kereta api ekspres antara bandar dengan sebuah kereta api pengangkut barang menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 50 orang lagi cedera.
Punca nahas
Dengan memberikan beberapa alasan dalam setiap kejadian kemalangan kereta api seperti tren dipandu terlalu laju, sabotaj puak pelampau dan kecuaian pemandu, namun Mamta sendiri tidak dapat menafikan di sebalik gelaran negara kelima yang mempunyai jaringan kereta api terbesar di dunia, namun sistem kereta api negara itu masih ketinggalan terutama dari segi signal moden dan sistem komunikasi canggih.
Sebab itulah, jika di kebanyakan negara lain seperti Malaysia penumpang kereta api hanya menjadi penyumbang kecil kepada angka kematian akibat kemalangan melibatkan pengangkutan awam, namun di India trek kereta api telah meragut banyak nyawa penumpangnya.
Dianggarkan sepanjang tiga dekad ini, trek kereta api India menjadi penyebab kematian lebih 4,000 orang dengan beberapa kemalangan paling teruk termasuklah pada tahun 1981 antara sebuah kereta api pengangkut barang dengan kereta api penumpang Ekspres Narmada yang meragut 700 nyawa.

WALAUPUN Kerajaan India berusaha melakukan pelbagai revolusi dalam sistem pengangkutan kereta api negara itu, namun dengan jumlah penumpang melebihi 20 juta orang setiap hari, ia bukanlah satu tugas yang usaha mudah.


Tahun yang sama menjadi tahun ‘hitam’ bagi sistem pengangkutan awam yang sudah mencecah usia 157 tahun di India itu, apabila tren Bihar terhumban ke sebatang sungai dan membunuh lebih 300 orang.
Sementara itu, pada tahun 1995, pertembungan antara Ekspres Purushottam dengan Ekspres Kalindi di Uttar Pradesh membunuh 350 orang penumpang.
Menurut Vivek Sahay selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Indian Railway, kecuaian manusia dan faktor cuaca antara punca utama kebanyakan kemalangan itu.
“Kereta api penumpang tidak sepatutnya dipandu terlalu laju (90 kilometer sejam) dan gagal berhenti apabila lampu merah menyala. Selain itu, cuaca tidak menentu terutama untuk perjalanan tren jarak jauh turut meningkatkan risiko kejadian kemalangan,” katanya.
Majikan terbesar
India mempunyai lebih daripada 64,015 kilometer panjang trek dan 6,909 stesen kereta api. Ia memiliki rangkaian perkhidmatan kereta api kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, Rusia, Kanada dan China.

KECEKAPAN sistem perkhidmatan kereta api di India dipertingkatkan untuk memberi keselesaan dan mengelakkan lebih banyak nahas berlaku.


Menjadi pengangkutan utama bagi golongan kelas rendah dan sederhana kerana harga tiketnya yang murah, tidak hairanlah setiap hari tren di India membawa lebih 20 juta penumpang dan dua juta tan barang setiap hari. Dianggarkan lebih 7 bilion orang menggunakan khidmat tersebut setiap tahun.
Jelas Vivek, dengan populasi penduduk dunia lebih 6 bilion orang, ini bermakna dalam setahun, kereta api di India seolah-olah membawa hampir seluruh penduduk dunia menggunakan jaringan kereta apinya.
Dengan hampir kesemua perkhidmatan kereta api di India dimiliki oleh organisasi milik kerajaan iaitu Indian Railway di bawah Kementerian Pengangkutan Kereta Api, jelas Vivek, Indian Railway memegang satu lagi rekod iaitu sebagai syarikat tunggal di sebuah negara yang mempunyai bilangan pekerja teramai di dunia iaitu mencecah 1.6 juta orang.
Di bawah rancangan kelima India (2007 sehingga 2012), Kementerian Pengangkutan Kereta api bakal membina Koridor Pengangkutan Khusus (DFC) yang meliputi dua laluan jalan sepanjang 2,762 kilometer panjang. Jalan tersebut meliputi koridor timur dari Ludhiana ke Sone Nagar dan koridor barat dari Jawaharlal Nehru di Nhava Sheva, Mumbai ke Tughlakabad.
Teknologi menaik taraf pengangkutan itu akan menaikkan produktiviti dan mengurangkan kos unit pengangkutan. Mengikut anggaran, projek tersebut bakal menelan perbelanjaan sebanyak AS$5 bilion (RM15.5 bilion).
Persoalannya adakah usaha menaik taraf sistem kereta api itu akan dapat mengurangkan jumlah tragedi nahas maus di rel kereta api India.
Di minta mengulas mengenai kekerapan kemalangan kereta api di India, Pengurus Pemasaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Noordin Kimi berpendapat, kejadian tersebut bukanlah bermakna sistem kereta api di sana tidak maju.
“Jaringan sistem pengangkutan di sana sangat luas. Bayangkan jumlah pekerja kereta api di India sahaja sudah mencecah lebih sejuta orang. Dari situ kita dapat menganggarkan berapa banyak pengangkutan tersebut dan berapa kerap ia digunakan oleh masyarakat di sana,” ungkap Noodin.

No comments:

Post a Comment