Pages

Tuesday, September 14, 2010

Bakar al-Quran: Bantahan di seluruh dunia


Penyokong-penyokong Parti Jamaat-i-Islami Pakistan membawa sepanduk anti-Amerika sambil melaungkan slogan anti-Amerika semasa mengadakan tunjuk perasaan di Karachi sebagai membantah tindakan golongan radikal di Amerika membakar naskah al-Quran di Amerika Syarikat , kelmarin. - AFP


SRINAGAR 13 Sept. - Umat Islam di seluruh dunia terus mengadakan bantahan terhadap tindakan segelintir individu dan kumpulan tidak bertanggungjawab di Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran.
Di Srinagar, beratus-ratus penduduk Islam mengingkari perintah berkurung di Kashmir hari ini bagi melancarkan tunjuk perasaan membantah tindakan sekumpulan penganut Kristian mengoyak naskah kitab suci Islam itu di Washington.
Selain melaungkan 'Kematian kepada AS!' dan 'Kematian kepada individu yang mencemarkan al-Quran!', kumpulan penunjuk perasaan turut membakar sebuah sekolah mubaligh Kristian, Tyndale Biscoe, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Bantahan itu tercetus selepas televisyen tempatan menyiarkan tindakan sekumpulan aktivis mengoyakkan naskah kitab al-Quran di hadapan White House, kelmarin ketika sambutan memperingati serangan 11 September.
Polis dan saksi berkata, demonstrasi sepanjang malam turut diadakan di daerah berhampiran iaitu di Budgam dan Baramulla, di mana penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan raya dan membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Di Teheran, Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki menyifatkan, rancangan membakar kitab al-Quran sebagai satu komplot yang diatur pihak Zionis.
"Rancangan membakar al-Quran merupakan satu tindakan tidak malu dan memecahbelah yang disokong Zionis," katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Malawi, Etta Banda.
Di Indonesia, Organisasi Islam terbesar, Nahdlatul Ulama (NU) meminta umat Islam bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan membakar kitab suci Islam itu yang dilakukan beberapa kumpulan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agungnya, Malik Madani berkata, pihaknya mengutuk perbuatan tersebut kerana ia adalah perbuatan keji yang menyakiti hari umat Islam, namun katanya, penganut Islam perlu bersabar. - AFP

No comments:

Post a Comment