Pages

Wednesday, September 22, 2010

6 perompak menyamar pengemis diberkas

DUBAI: Polis Dubai menahan sekumpulan penjenayah terancang yang berpura-pura menjadi pengemis sebelum merompak barang kemas dan barang berharga lain dari kediaman yang ditinggal pemiliknya.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Brigadier Khalil Ebrahim Al Mansouri berkata, pihak polis menerima aduan pada 23 Ogos lalu mengenai kediaman yang dipecah masuk. Barangan kemas bernilai jutaan dolar dilarikan dari sebuah vila di Nad Al Hamer. Aduan itu keempat dibuat sepanjang Ramadan lalu dengan dua kejadian turut berlaku di Al Qusais dan satu di Jumeirah.
“Suspek memasuki sebuah vila melalui pintu belakang kediaman itu. Mereka mencuri barang kemas dan barangan elektrik sebelum melarikan diri menggunakan laluan sama,” kata Leftenan Kolonel Ahmad Humaid Al Merri, Pengarah Unit Siasatan Jenayah, Polis Dubai.

Menurut kenyataan saksi, mereka melihat beberapa individu yang mencurigakan berkeliaran di kawasan vila berkenaan sebelum kejadian pecah masuk itu berlaku. “Saksi memberitahu terdapat beberapa pengemis dilihat berkeliaran di vila itu. Pengemis berkenaan enggan menerima makanan apabila ditawarkan, malah meminta wang. Saksi tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa kerana tidak mengesyaki kumpulan pengemis terbabit,” kata Ahmad Humaid.

Bagaimanapun, polis berjaya memberkas anggota kumpulan penjenayah yang menyamar pengemis itu selepas siasatan dilakukan.

“Kumpulan penjenayah itu terdiri daripada enam individu, tiga daripadanya dari Tanzania, manakala tiga lagi dari Rwanda. Mereka berpura-pura menjadi pengemis bagi meninjau kediaman yang tiada penghuni untuk melakukan jenayah,” tambah Ahmad Humaid lagi. - Agensi

No comments:

Post a Comment