Pages

Thursday, August 12, 2010

Pulau ais ancam laluan kapal



Gambar yang diambil pada 2009 dan dikeluarkan oleh Greenpeace pada 7 Ogos 2010 merakamkan pecahan glasier yang hanyut di lembangan Kane di selatan glasier Petermann di barat daya pantai Greenland. – AFP


STOCKHOLM 11 Ogos – Sebuah pulau ais yang empat kali lebih besar daripada Pulau Manhattan di New York kini sedang hanyut merentasi Lautan Artik selepas berpecah dari sebuah glasier di Greenland.
Pelantar minyak dan laluan perkapalan berpotensi berada di laluan glasier raksasa itu yang tidak boleh disekat dan sebarang pelanggaran boleh membawa kerosakan yang teruk.
Dalam senario kes terburuk, ketulan-ketulan ais besar yang pecah dari pulau hanyut itu boleh memasuki perairan sibuk seperti yang menjadi punca kapal Titanic karam pada 1912 akibat berlanggar dengan ketulan ais Greenland.
Musim panas ini menyaksikan beberapa bencana besar disebabkan perubahan iklim di seluruh planet, termasuk kebakaran hutan, gelombang cuaca panas dan jerebu di Rusia dan banjir besar di Asia.
Namun, detik glasier Petermann pecah minggu lepas, sekali gus mewujudkan pulau ais Artik yang terbesar dalam setengah abad, mungkin menjadi simbol paling jelas bagi menggambarkan suhu dunia yang semakin panas.
“Pulau ais itu begitu besar tidak ada sesiapa boleh menghalangnya daripada hanyut. Tiada sesiapa boleh menyekatnya,” kata pakar glasier di Universiti Oslo, Jon-Ove Methlie Hagen.
Tidak banyak imej yang boleh menggambarkan ancaman perubahan iklim dunia dengan lebih jelas daripada imej sekeping ais seluas 260 kilometer persegi berpecah dari kepingan ais Greenland yang terbentang luas.
Penyelidik sedang giat berusaha untuk mengenal pasti laluan yang mungkin diambil oleh pulau ais terapung yang sedang bergerak ke Selat Nares antara pantai barat laut Greenland dan Pulau Ellsemere di Kanada.
Jika pulau hanyut itu memasuki selat tersebut sebelum musim sejuk yang dijadual bermula minggu depan, ia dijangka dibawa arus laut ke selatan, menyusuri pantai timur Kanada sebelum memasuki perairan yang sibuk dengan aktiviti cari gali minyak dan perkapalan dekat Newfoundland.
“Di situlah kepingan itu akan mula menjadi berbahaya,” kata Mark Drinkwater daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA). – AP

No comments:

Post a Comment