Pages

Thursday, August 26, 2010

Najihah & Nurul: Kebatilan insan Oleh - Elviza Michele Kamal



Semasa membaca perihal kejadian tetak dan simbah asid (di dua lokasi berbeza baru-baru ini) hati saya rasa kelat. Namun, pahit di hati saya, tiada kaitan dengan dua fakta ini: 

� Najihah Mohd Natri, 13, akan meneruskan hidup tanpa jari manis, hantu dan kelengkeng. Najihah dan adiknya, Nazuwa, 10, juga sekarang yatim piatu; 

� Nurul Dahyatul Fazlina, 8, dan adiknya Mohd Irfan, 2, akan membesar dengan parut simbahan asid di muka. 

Apa yang tertulis itu adalah fakta. Tiada siapa boleh sangkal. Kalau anda tukang bedah plastik, mungkin boleh ubah rupa paras Nurul dan Irfan. Itu sahaja, tetapi mereka akan membesar dengan stigma dan trauma. 

Jika dua Ahad lepas, imej Najihah bermandi darah telah menggegarkan pagi minggu negara, Ahad lalu pula memaparkan wajah Irfan yang berparut simbahan asid sedang merenung sayu ke lensa kamera. 

Hati saya persis disiat-siat.Serangan tiada perikemanusiaan itu, bukan angkara penjenayah. Itu hasil tangan bapa mereka sendiri. Bapa Najihah dilaporkan sakit jiwa, bapa Nurul pula penagih dadah tegar. 

Binatang! Itu seranah pertama yang muncul di kepala. Tunggu sebentar, pembaca budiman, setelah ditimbangkan semula, saya pohon untuk menukar kenyataan: hatta binatang pun sayangkan anak-anaknya, apalagi kita insan berakal. Jadi, ini kerja syaitan bertuhankan emosi dan amarah. Hanya syaitan yang gagal membezakan antara halal dan haram; antara hak dan batil. 

Sekarang ini bulan puasa, dan saya dikekang dari marah-marah, jadi saya cari punca kejadian melalui cara saya sendiri. Tidak betah rasanya menyemak buku dan laman web perihal psikologi. Saya bukannya pakar sakit jiwa, saya perempuan dan ibu yang geram dan kesal apa terjadi. 

Saya dail nombor telefon penganalisis jenayah negara, Kamal Affendi Hashim, untuk bertanyakan pendapat beliau. Fikir saya, mungkin Kamal lebih arif tentang bentuk jenayah sebegini. Selama15 minit kami bercakap, dan setelah letak semula gagang telefon, saya terkedu mengimbas kembali apa yang baru kami bincangkan. 

Pendapat Kamal, enteng sahaja, tidak serabut dengan alasan-alasan sains psikologi dan tabiat manusia: dua tragedi itu berlaku kerana kita, masyarakat sejagat, secara subconscious telah ‘membenarkan’ perkara itu. 

Secara tersirat kita ‘bersalah’ kerana lazimnya tidak mahu mengaku, atau mencari pertolongan sekiranya ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang mengalami gangguan mental. Takut dituduh kita ada ahli keluarga yang gila, bukan begitu? 

Ada juga apabila menyaksikan atau mendengar jenayah berlaku, ambil keputusan untuk tidak masuk campur. Itu hal keluarga mereka, buat apa kita peduli? Senang sahaja kita lepaskan diri dari tanggungjawab. 

Saya titipkan di ruangan minggu ini dengan lantang: sekiranya anda atau saya mendengar atau menyaksikan jenayah atau deraan domestik, sila hubungi pihak berkuasa. Segera! Dosa kita menjadi orang yang menjaga tepi kain orang, tidak setara dengan dosa membiarkan kanak-kanak dan wanita disimbah asid, ditetak dan dibunuh. Tanggungjawab ini kolektif, tiada siapa terkecuali. 

Seperti kata Kamal, jenayah terbesar apabila kita berpeluk tubuh dan mengunci mulut tatkala berhadapan mangsa dera. 

Bapa Najihah dan Nurul juga, tidak boleh sembunyi di sebalik alasan, konon penagih dadah tegar atau menderita sakit mental, kerana ketika mereka mengangkat parang dan memegang botol asid di tangan, mereka sedar tindakan itu boleh mencederakan mangsa. Tidak timbul soal sakit jiwa atau ketagihan di sini. Apa yang jelas, amarah itu meragut kehidupan normal kanak-kanak tersebut. 

Ibu Najihah juga berkata, “ini semua takdir, sudah suratan.” Maaf, saya tidak setuju. Bukannya saya menentang ketentuan Ilahi, tetapi tragedi itu boleh dielak. 

Akhir kalam, pasangkan pendengaran anda selebar telinga gajah sekalipun, dan jadilah insan yang peka. Jika hati anda tidak senang, terus dail talian 999, kerana panggilan anda mungkin akan menyelamatkan satu nyawa. 

Elviza kadang-kadang merasakan dunia ini sudah gila. Temui beliau di laman http://twitter.com/elviza

No comments:

Post a Comment