Pages

Monday, August 9, 2010

Menyanggah Syi’ah: Peristiwa Pembunuhan Malik Bin Nuwairah




Di antara peristiwa sejarah yang sering ditimbulkan oleh golongan Syi’ah untuk memburukkan sahabat-sahabat r.a. serta mengelirukan Ahlus Sunnah ialah kisah kononnya Khalid bin al-Walid telah membunuh Malik bin Nuwairah dalam keadaan Islam kemudian berzina dengan isterinya. Kesannya bukan hanya Khalid yang diburuk-burukkan oleh Syi’ah tetapi Sayyidina Abu Bakar r.a. yang memegang jawatan khalifah pada ketika itu turut menerima nasib yang sama.

Namun begitu apakah benar segalanya sebagaimana yang diwar-warkan oleh mereka itu atau setakat manakah yang menepati kebenaran dan manakah yang merupakan tambahan fitnah golongan pembenci sahabat Nabi s.a.w. ini.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar peristiwa tersebut maka semestinya kita semua meneliti semula lembaran sejarah yang terpahat di dalam catatan ulama silam. Kalau diteliti kepada riwayat-riwayat berkenaan peristiwa ini di dalam kitab-kitab sejarah maka akan ditemui percanggahan antara satu sama lain. Tetapi bagi golongan Ahl as-Sunnah Wa al-Jamaah yang meletakkan kepercayaan dan sangka baik kepada golongan sahabat r.a. kerana berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah akan menjadikan riwayat-riwayat yang menyebut baik tentang mereka dan mengenepikan yang sebaliknya. Namun begitu bagi golongan yang busuk hatinya kerana berminat terhadap perkara-perkara yang busuk dan sentiasa menjadikan keutamaan mereka adalah bencikan golongan sahabat r.a. (iaitu golongan Syi’ah), riwayat-riwayat yang menampakkan kekurangan dan kerendahan sahabat akan menjadi santapan serta hidangan lazat mereka walaupun riwayat tersebut tersangat lemah dan langsung tidak boleh dijadikan sandaran.


Masalah Pertama Yang Ditimbulkan Syiah Daripada Peristiwa Ini.

Di antara masalah yang ditimbulkan oleh Syi’ah berkenaan peristiwa ini ialah mengapa Khalid bin al-Walid r.a. membunuh Malik bin Nuwairah sedangkan dia masih memeluk agama Islam. Untuk mengetahui perkara sebenar berkenaannya maka terlebih dahulu mestilah kita mengetahui beberapa fakta sejarah berkenaan latar belakang peristiwa pembunuhan Malik bin Nuwairah. Di antaranya ialah:

Pertama: Pembunuhan Malik bin Nuwairah adalah disebabkan oleh salah faham di antara Khalid dengan penjaga tawanan. Salah faham tersebut berlaku kerana perbezaan makna yang terdapat pada perkataan ‘adfiuu’ (ادفئوا) yang digunakan oleh Khalid di dalam arahannya kepada Dhirar bin al-Azwar di mana Khalid bermaksud supaya Dhirar memberikan sesuatu pakaian atau kain untuk memanaskan tawanan tetapi Dhirar memahaminya berdasarkan bahasa Bani Kinanah yang memberi makna membunuh. Di antara riwayat tersebut ialah:

فجاءت السرية حي مالك، وكان في السرية أبو قتادة الأنصاري، وكان ممن شهد أنهم أذنوا وأقاموا وصلوا، فقبض عليهم خالد وكانت ليلة باردة، فأمر خالد منادياً ينادي " ادفئوا أسراكم " وكان لغة كنانة إذا قالوا " ادفئوا الرجل " يعنون اقتلوه، فقتل ضرار بن الأزور مالكاً، وسمع خالد الواعية فخرج وقد فرغوا منهم، فقال: إذا أراد الله أمراً أصابه

Lalu tentera itu (Khalid) sampai ke perkampungan Malik. Abu Qatadah al-Ansari r.a. turut sama dengan tentera tersebut dan ia di antara orang yang bersaksi bahawa mereka (Malik dan tenteranya) azan, iqamat dan bersembahyang. Lalu Khalid menahan mereka (untuk membuat keputusan keesokannya) dan pada malam itu cuaca bersangatan sejuk. Maka Khalid memerintahkan supaya penyeru berseru ‘ادفئوا أسراكم’ dengan maksud supaya memanaskan mereka (dengan memberikan kain dan sebagainya) sedangkan di dalam bahasa Bani Kinanah bila mereka kata ‘ادفئوا الرجل’ mereka maksudkan supaya membunuhnya. Maka Dhirar pun membunuh Malik dan Khalid mendengar teriakan lalu keluar dan mereka telahpun selesai membunuh mereka (tawanan-tawanan). Kerana itu Khalid hanya mampu berkata: “Apa yang telah ditakdirkan, pasti berlaku”.[i]

Kisah ini juga dikemukakan oleh pengarang-pengarang kitab sejarah yang lain dengan sedikit perbezaan antara mereka. Umpamanya Imam at-Thabari menukilkan riwayat bahawa setelah angkatan tentera Khalid bin al-Walid berselisih pendapat tentang islamnya Malik bin Nuwairah bersama rakan-rakannya maka Khalid telah menangguhkan untuk membuat keputusan pada keesokan harinya dan beliau memerintahkan supaya Malik bin Nuwairah dan rakan-rakannya ditahan pada malam itu. Kebetulan cuaca pada malam itu terlalu sejuk. Kerana itu Khalid terfikir tentang orang-orang tawanan tersebut dan memerintahkan kepada penjaga- penjaga dengan kata-katanya “adfiuu asraakum”. Menurut bahasa ayat ini bererti perintah supaya penjaga-penjaga tawanan itu memberikan pakaian dan seumpamanya untuk menghilangkan kesejukan orang-orang tawanan itu. Tetapi penjaga-penjaga memahami ayat Khalid itu berlainan daripada yang dikehendaki oleh Khalid, iaitu mereka memahami perkataan “adfiuu” itu menurut bahasa Bani Kinanah yang memberi erti membunuh. Setelah itu kedengaranlah teriakan dan tempikan. Maka Khalid pun bertanya: “Apa yang berlaku?” Setelah beliau mendapat tahu bahawa orang tawanan dibunuh, beliau berasa amat kesal di atas kejadian yang berlaku itu. Walaubagaimanapun beliau hanya berkata: “Apa yang telah ditakdirkan, pasti berlaku”.[ii]

Di dalam setengah riwayat terdapat perbezaan pada perkataan yang digunakan oleh Khalid ketika menyuruh penjaga-penjaga tawanan supaya menutup atau menyelimuti tawanan supaya mereka tidak kesejukan iaitu perkataan ‘idfinu’ (ادفنوا). Yang dimaksudkan oleh Khalid ialah sebagaimana makna di atas tetapi penjaga-penjaga tawanan tersilap faham dengan menyangka bahawa Khalid memerintahkan mereka supaya menguburkan iaitu membunuh tawanan-tawanan tersebut.[iii]

Kedua: Pembunuhan Malik bin Nuwairah berlaku setelah Khalid bin al-Walid memastikan bahawa Malik sememangnya telah murtad. Ini dilakukan oleh Khalid dengan cara memanggil Malik bin Nuwairah sendiri dan bercakap dengannya. Di antara dialog mereka berdua ialah:

وقال له كيف ترتد عن الإسلام وتمنع الزكاة ألم تعلم أن الزكاة قرينة الصلاة فقال كان صاحبكم يزعم ذلك فقال له هو صاحبنا وليس هو بصاحبك يا ضرارا اضرب عنقه

Bermaksud: Dan ia (Khalid) berkata kepadanya: “Mengapa engkau (Malik) murtad daripada Islam dan menegah daripada pembayaran zakat? Bukankah engkau mengetahui bahawa zakat mempunyai pertaliannya dengan sembahyang”? Lalu dia (Malik) menjawab: “Sesungguhnya sahabatmu (Rasulullah s.a.w.) yang mendakwa sedemikian”. Maka Khalid berkata kepadanya: “Dia adalah sahabat kami dan bukan sahabatmu”. Wahai Dhirar! Penggallah lehernya”.[iv]

Di dalam riwayat yang lain terdapat sedikit perbezaan. Imam at-Thabari menukilkan perbincangan antara keduanya di mana Malik berkata: “Pada pendapat saya sahabatmu berkata begini……,begini……..”. “Sahabatmu” yang dimaksudkan di dalam kata-kata Malik bin an-Nuawairah ialah Rasulullah s.a.w. Maka Khalid Bin Walid bertanya Malik: “Adakah kamu tidak menganggap baginda sebagai sahabatmu juga?”. Setelah itu Khalid memutuskan supaya dipancung Malik bin Nuwairah dan rakan-rakannya.[v]

Ketiga: Pembunuhan berlaku setelah Khalid yakin bahawa Malik sudah tidak Islam lagi bila ia enggan mengeluarkan zakat. Ahli-ahli sejarah menukilkan tentang keengganan golongan murtad ini untuk mengeluarkan zakat termasuklah Malik bin Nuwairah. Di antara mereka Ibnu Khallikan yang menukilkan di dalam kitabnya bahawa Khalid bin al-Walid dan Malik bin Nuwairah berbincang dengan panjang lebar. Di dalam perbincangan itu Malik berkata: “Aku bersembahyang tetapi tidak mahu mengeluarkan zakat”. Maka Khalid berkata kepadanya: “Adakah engkau tidak tahu bahawa sembahyang dan zakat kedua-duanya fardhu dan tidak diterima salah satu dari keduanya tanpa yang satu lagi?” Malik bin Nuwairah pun berkata dengan mengisyaratkan kepada Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Sahabatmu berkata begini………begini……….”. Daripada kata-kata Malik itu, Khalid yakin bahawa Malik tidak Islam lagi. Kerana itu Khalid bertanya Malik, “Adakah engkau tidak menganggapnya sahabatmu juga?” Dan Khalid bin Walid berkata: “Aku akan memenggal kepala engkau”. Kemudian pertikaian di antara mereka berdua menjadi semakin hebat. Malik bin Nuwairah berkali-kali menyebutkan “Sahabatmu….sahabatmu….”. Akhir sekali Khalid bin Walid memutuskan Malik bin Nuwairah dibunuh.[vi]

Keempat: Yaaqut al-Hamawi telah mengemukakan kisah yang agak berbeza dari apa yang dikemukakan di atas ketika ia menukilkan bahawa angkatan tentera Khalid yang dipimpin oleh Dhirar bin al-Azwar bertempur dengan angkatan tentera Malik bin Nuwairah. Di dalam pertempuran itu Dhirar telah membunuh Malik”.[vii]

Kelima: Muhammad bin Syakir mengemukakan pendapatnya dengan berkata:

ومما يؤيد خالد وأن مالكاً مات مرتداً أن متمماً لما أنشد عمر مراثيه في مالك قال له عمر: والله لوددت أني أحسن الشعر فأرثي أخي زيداً بمثل ما رثيت أخاك، فقال متمم: لو أن أخي مات على ما مات عليه أخوك ما رثيته، فقال عمر رضي الله عنه ما عزاني أحد عن أخي بأحسن مما عزاني به متمم.

Bermaksud: Di antara perkara yang menyokong Khalid bahawa Malik bin Nuwairah mati dalam keadaan murtad ialah sesungguhnya Mutammim (saudara Malik bin Nuwairah) telah memperdengarkan syair ratapannya kerana kematian Malik di hadapan Sayyidina ‘Umar r.a. lalu Sayyidina ‘Umar r.a berkata kepadanya: “Demi Allah! Seandainya aku seorang penyair yang baik, aku juga akan mengucapkan syair ratapan di atas kematian saudaraku Zaid”. Lalu Mutammim bin Nuwairah berkata: “Sekiranya saudara saya meninggal dunia sebagaimana saudara tuan (mati dalam keadaan Islam), tentulah saya bersyair meratapinya”. Lalu Sayyidina ‘Umar r.a. berkata: “Tidak ada seorangpun menyampaikan ucapan takziah kepadaku kerana kematian saudaraku lebih baik daripada apa yang diucapkan oleh Mutammim”.[viii]

Jelas daripada apa yang dikemukakan ini menunjukkan bahawa saudara Malik bin Nuwairah iaitu Mutammim meratapi Malik kerana ia mati dalam keadaan murtad.


[i] Fawaat al-Wafayaat jil. 3 hal. 23
[ii] Ath-Thabari  jil. 2 hal. 502, Al-Bidayah wa an-Nihayah jil. 6 hal. 354, Tarikh Ibnu Khaldun jil. 2 hal. 73, Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah jil. 5 hal. 754
[iii] As-Sirah al-Halabiyyah fi Sirah al-Amin Wa al-Ma’mun jil. 3 hal. 212
[iv] As-Sirah al-Halabiyyah fi Sirah al-Amin Wa al-Ma’mun jil. 3 hal. 212, Usd al-Ghabah jil. 2 hal. 469, Al-Bidayah wa an-Nihayah jil. 6 hal. 354
[v] Tarikh Ibnu Khaldun jil. 2 hal. 73, Tarikh at-Thabari jil. 2 hal. 503.
[vi] Ibnu Khallikaan Wafayat al-A’yaan jil. 5 hal. 66. Lihat juga al-Mukhtasar fi Akhbar Khair al-Basyar jil. 1 hal. 108. Tarikh Abi al-Fida’ jil. 1 hal. 242, As-Sirah al-Halabiyyah fi Sirah al-Amin Wa al-Ma’mun jil. 3 hal. 212
[vii] Mu’jam al-Buldaan jil. 1 hal. 661
[viii] Fawaat al-Wafayaat jil. 3 hal. 23. Syair dan kisah dialog antara Sayyidina ‘Umar r.a. dan Mutammim tersebut dinukilkan oleh Abu Bakr Ahmad bin Marwan ad-Dinwari melalui beberapa sanad di dalam kitabnya Al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm jil. 7 hal. 226, jil. 5 hal. 188 dan jil. 3 hal. 72. Riwayat yang sama juga terdapat di dalam kitab Bulugh al-Arab jil. 2 hal. 172

No comments:

Post a Comment