Pages

Wednesday, August 4, 2010

Mat Salleh pun minum teh Melayu






DALAM suasana pagi yang masih sejuk menggigit, Safinah Yaakob yang ketika itu berusia enam tahun bingkas bangun daripada tidurnya. Walaupun matanya masih terasa kelat untuk dibuka, hatinya girang.
Dia ingin mengikut emaknya memetik daun-daun herba seperti dukung anak, suluh lalang dan daun hati-hati untuk dijadikan minuman teh herba. Itulah rutin hariannya setiap pagi.
"Mak memang minum air teh herba setiap hari. Kebiasaannya daun- daun itu direbus dan dicampurkan dengan manjakani. Katanya, air rebusan daripada daun-daun herba banyak khasiatnya. Bila saya kata mahu rasa, mak tidak izinkan kerana saya masih kecil. Mak hanya membancuhkan saya setiap pagi dengan air teh yang dicampur dengan gula," katanya yang mengimbau kembali memori 33 tahun yang masih abadi di fikirannya sehingga ke hari ini.
Sambil membancuh dan mengacau teh pegaga yang dicampurkan dengan madu, Safinah meneruskan ceritanya. Sesekali dia mengangkat cawan dan menghirup teh yang separa panas itu. Wajah wanita berusia 39 tahun itu tampak berseri tatkala dia bercerita dan mengimbau kembali memori zaman kanak-kanaknya mengenali teh herba.
"Orang dulu-dulu menganggap air rebusan daun adalah teh tetapi lebih dikenali dengan teh herba atau teh hijau. Sebabnya, cara penyediaannya adalah sama dengan teh cuma ia berwarna hijau mengikut warna daun tersebut," katanya yang kini mengusahakan dua cawangan kedai teh herba Melayu iaitu, Malay Tea House sejak tahun 2006.
Pelbagai khasiat teh
Pemilik syarikat Warisan Asal Sdn. Bhd. yang merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan teh Melayu di Malaysia itu memberitahu dia paling kurangpun akan menikmati dua cawan teh herba setiap hari.
Baginya, teh herba yang sempurna seperti pegaga mempunyai rasa yang pekat dan tidak pahit malah, rasanya kekal di kerongkong walaupun selepas habis dihirup. Satu lagi rahsia teh herba yang diusahakan Safinah ialah setiap minuman teh herbanya tidak dicampurkan dengan gula sebaliknya, menggunakan madu yang akan menambahkan khasiat di dalamnya, memberikan rasa lebih enak dan aroma yang menyegarkan.

PATTINSON (kanan) bersama rakannya Mandy Kularatna menyukai teh herba Melayu kerana rasa dan khasiatnya.


"Selain obses terhadap teh, amalan mak dan petua-petua yang diberi daripada mak saudara yang merupakan seorang bidan kampung, memberi inspirasi kepada saya untuk mengusahakan peniagaan teh herba Melayu di Malaysia.
"Orang hanya mengenali teh Cina tetapi tidak sedar yang Melayu juga kaya dengan teh-teh herba dari pelbagai jenis daun," katanya yang memulakan perniagaan teh herba dengan menggunakan tiga jenis daun iaitu serai, misai kucing dan daun limau purut.
Kini, terdapat sebanyak 17 perisa teh herba di kedai Malay Tea Housenya termasuk mas cotek, roselle, dukung anak, ulam raja, lemuni, peria, selasih hitam, hempedu bumi dan daun jambu.
Menurutnya, sebelum memulakan perniagaan teh herba Melayu itu, pelbagai kajian di universiti dan pusat-pusat penyelidikan telah dilakukannya, sama ada dari segi ujian makmal, ujian kimia mahupun ujian mikro bakteria.
Ada sesetengah orang mengatakan amalan minum teh memberi banyak kesan yang tidak baik kerana dikatakan boleh menyebabkan sembelit, insomnia, ketagihan, pereputan tulang, gigi dan sebagainya.
Namun begitu, teh herba adalah sebaliknya. Ia mempunyai pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.
Safinah sendiri sebelum ini menghadapi penyakit migrain yang teruk, namun selepas mempraktikkan minuman teh herba setiap hari sakitnya kini semakin berkurangan.
Jelas Safinah, daun pegaga misalnya memberikan banyak manfaat terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi.
Selain itu, teh hijau atau teh yang belum difermentasi adalah teh yang terbaik kerana mempunyai kandungan polifenol dan katekin (catechin) yang paling tinggi.
Catechin adalah bahan larut air, tidak berwarna dan memberi rasa pahit atau kelat pada teh. Dalam masa yang sama, ia mengandungi peratusan polifenol 40 hingga 50 peratus lebih tinggi.
"Lantaran itu, hasil beberapa penyelidikan merumuskan kombinasi nutrien dalam teh dapat merendahkan risiko beberapa penyakit seperti kanser termasuklah kulit, payu dara, paru-paru, kolon dan pundi kencing," katanya.
Teh untuk semua
Teh herba Melayu bukan hanya dinikmati oleh kaum Melayu sahaja tetapi juga kaum yang lain.
Bagi Eksekutif Kewangan, Komplek Dayabumi, Kuala Lumpur, C. Sarsilaa, 30, amalan minum teh herba Melayu bermula sejak setahun lalu.
"Kebetulan setahun yang lepas, saya bersama rakan datang ke Pasar Seni, Kuala Lumpur. Sedang berjalan-jalan saya ternampak sebuah kedai klasik Malay Tea House yang menjual pelbagai jenis teh dihasilkan menggunakan aneka jenis daun.
PENGAMBILAN herba yang mempunyai khasiat tersendiri untuk kesihatan diamalkan oleh nenek moyang kita sejak sekian lama.


"Selepas menikmati teh herba itu saya terus jatuh cinta. Pada mula saya menganggap rasa teh herba pahit tetapi sebenarnya tidak. Rasanya manis dan beraroma, tambahan pula baunya wangi.
"Mungkin disebabkan madu yang digantikan dengan gula dan tambahan perisa seperti limau dan sebagainya," katanya yang setiap hari pasti ke kedai Malay Tea House untuk menikmati teh herba.
Sebelum ini, Sarsilaa sememangnya merupakan penggemar teh. Jelasnya, dalam sehari dia akan menikmati teh pada sebelah pagi dan petang. Disebabkan itu, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencuba teh herba pula.
"Sebelum menikmati teh herba Melayu, saya pernah mencuba minum teh Cina dan teh hijau. Tetapi, saya lebih suka teh Melayu kerana rasanya manis dan menyegarkan," katanya menyukai teh halia, pegaga, selasih dan serai.
Bagi rakan Sarsilaa pula, V. Vanitha, 33, dia menyukai teh herba selepas diberitahu rakannya Sarsilaa.
"Sebelum ini, saya tidak terlalu menyukai minuman teh tetapi, selepas mencuba dan tahu akan khasiat teh herba, saya mula menyukainya.
"Teh herba mempunyai rasa yang manis tetapi bukan disebabkan manis gula. Ia manis disebabkan daun herba dan penambahan madu ke dalamnya. Walaupun harganya agak mahal, tetapi ia berbaloi kerana ia bukan sahaja memberikan kesegaran pada saya tetapi juga mengandungi khasiat yang tinggi," katanya.
Sementara itu, menurut pemuda Inggeris dari London, Tim Pattinson, 30, sebelum ini dia hanya mengenali teh hijau dan teh Cina sahaja.
"Saya tidak tahu orang Melayu juga mempunyai teh yang pelbagai. Sememangnya, saya lebih suka minum teh berbanding kopi. Rasanya lebih lembut dan ia juga memberi kesegaran.
"Pertama kali datang ke Malaysia dan menjejak kaki ke Malay Tea House saya diperkenalkan dengan 17 jenis teh yang diperbuat daripada variasi daun.
"Ia menarik minat saya mencubanya selepas saya membaca risalah yang mengandungi jenis-jenis daun yang boleh dijadikan minuman serta khasiat yang terdapat padanya," kata Pattinson yang menyukai perisa teh daun jambu.
Sejarah teh di Cina dan India
Jika mengikut sejarah, sememangnya teh Cina terlebih dahulu dikenali. Menurut mitos penduduk China, teh dijumpai kira-kira 5,000 tahun dahulu oleh seorang maharaja China yang dikenali sebagai Shennong.
MALAY Tea House juga menyediakan teh herba yang sudah siap dibungkus di dalam tin.


Maharaja itu menemui teh secara tidak sengaja apabila beberapa helai daun teh diterbangkan angin ke dalam secawan air panas yang diminumnya.
Minuman berkenaan seterusnya berkembang menjadi satu minuman tradisi masyarakat di China sebelum disebarkan ke Eropah pada kurun ke-17.
Legenda dari India pula mengaitkan penemuan teh dengan biarawan Bodhidharma. Semasa bertapa, dia mengunyah beberapa daun yang tumbuh berdekatan yang menyegarkannya kembali.
Walaupun India hari ini merupakan penghasil teh terbesar di dunia, tetapi tidak ada catatan sejarah mengenai minuman teh di negara itu sebelum abad ke-19. Di Jepun, teh mula dikenali pada awal abad ke-9, apabila seorang biarawan yang baru pulang dari pengembaraannya, bernama Dengyo Daishi membawa biji tanaman teh dari China.

No comments:

Post a Comment