Pages

Sunday, August 22, 2010

Masjid dan fobia 11 September


Kontroversi pembinaan masjid dan pusat Islam di sebelah tapak World Trade Center atau Ground Zero menunjukkan Barat sengaja tidak mahu memahami Islam. Barat melihat Islam itu adalah al-Qaeda, Taliban dan Parti Baath di Iraq sebelum kejatuhan Saddam Hussein. Maka apabila ada rancangan membina masjid di sebelah World Trade Center yang menjadi abu diserang oleh puak radikal pada 11 September 2001, ini dianggap sebagai monumen "kejayaan" Islam membunuh lebih 3,000 mangsa yang berada di bawah runtuhan itu.
Amerika Syarikat (AS) menjaja keterbukaan mereka kepada kebebasan beragama, tidak kira Islam, Kristian dan sebagainya. Semua penganut mendapat hak yang sama dan ini termaktub dalam perlembagaan negara itu. Tetapi keterbukaan itu ditutup dengan prejudis dan salah tanggapan terhadap Islam apabila sebuah masjid mahu didirikan bersebelahan Ground Zero. Ini menunjukkan Barat yakni AS tidak memahami Islam dan wujudnya pihak mengaut keuntungan politik seolah-olah bersimpati dengan keluarga mangsa tragedi 11 September 2001. Kontroversi yang berlaku ini bukan disebabkan reaksi marah menjelang ulang tahun kesembilan leburnya World Trade Center. Sebaliknya ini indikator kepada prejudis Barat terhadap Islam.
Penentangan pembinaan masjid ini memperlihatkan senario sosio-politik yang sangat bahaya sekaligus boleh mencetuskan ketegangan AS dengan dunia Islam. Barat tidak berusaha untuk memahami kompleksiti, kepelbagaian dan nuansa dalam dunia Islam. Ini adalah kegagalan Barat yang sangat besar dan lebih teruk lagi apabila menyekutukan puak radikal itu sebagai tindakan Islam yang sebenar. Kalau situasi ini diletakkan dalam dunia Kristian, adakah wajar untuk melabelkan Boston Roman Katholik misalnya sebagai puak radikal yang membuat bom untuk Tentera Republikan Irish (IRA)? Atau adakah wajar penganut Kristian Ortodoks semuanya dituduh terlibat dalam jenayah perang di Serbia atau semua Southern Baptist terlibat dengan pembunuhan doktor-doktor yang melakukan pengguguran?
Tokoh di sebalik rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam ini adalah Feisal Abdul Rauf yang memimpin Cordoba Initiative. Beliau seorang sarjana dan pemikir sufi. Barat mesti memahami bahawa seorang sufi sentiasa menentang sebarang bentuk keganasan. Malah Barat juga perlu tahu bahawa dalam banyak gerakan radikal dalam Islam, golongan sufi yang sering menjadi sasaran kerana mereka menolak keganasan dan menyintai keamanan tanpa mengira warna kulit dan agama. Maka tindakan calon gabenor New York dari Republikan, Rick Lazio menuduh Faesal Abdul Rauf mempunyai hubungan dengan organisasi radikal sebagai modal politik untuk menangani hati penyokong yang majoriti bukan Islam.
Isu pembinaan masjid dan pusat Islam yang menelan belanja AS$100 juta itu juga menjadi gelanggang "tinju" bagi parti Demokrat dan Republikan meraih sokongan pada pilihan raya akan datang. Penentangan pembinaan masjid ini juga membuktikan wujudnya penindasan terhadap Islam di AS. Lebih teruk lagi apabila mengaitkan penyerang World Trade Centre dengan masyarakat Islam di AS dan seluruh dunia.
Peluru
Kontroversi ini dinyalakan oleh Republikan kerana mempunyai peluru untuk menyerang Presiden Barack Obama dari parti Demokrat. Golongan pembangkang yang bertanggungjawab membina persepsi serong rakyat terhadap Islam. Merekalah yang menggambarkan seolah-olah masjid itu sebagai satu monumen Islam dan menghina keluarga mangsa runtuhan World Trade Centre. Ini adalah kesengajaan untuk mengaitkan Islam dengan puak-puak radikal yang kebetulan beragama Islam. Pada masa yang sama apa yang berlaku ini adalah rentetan prejudis lampau Barat terhadap apa saja yang dilabelkan Islam adalah radikal, teroris dan perosak tamadun manusia.
Kalau tidak masakan sebuah masjid dan pusat Islam di New York ini menjadi isu nasional dan antarabangsa? Isu yang semakin menyala dan bakal meletus sesuatu di luar jangkaan ini mendedahkan sikap tersembunyi Barat terhadap Islam. Golongan penentang menganggap masjid yang akan dibina itu sebagai monumen Islam sekaligus "kejayaan" menyerang AS. Pemimpin pembangkang dari Republikan, Newt Gingrich misalnya menganggap Obama cenderung kepada radikal Islam apabila setuju dengan pembinaan masjid itu.
Dalam satu majlis berbuka puasa dengan pemimpin Islam di White House baru-baru ini, Obama menganggap pembinaan masjid itu bawah bidang Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg. Beliau setuju dengan pembinaan masjid itu kerana selaras dengan perlembagaan negara yang memberikan layanan sama rata kepada semua agama. Tetapi kenyataan seorang Presiden dari Demokrat begitu cepat dipintas oleh Republikan untuk menyekutukan Obama dengan radikal Islam seperti al-Qaeda dan Taliban. Tetapi hakikatnya masjid dan pusat Islam diusahakan oleh Cordoba Initiative dan dilabelkan sebagai "harta persendirian" yakni bukan milik kerajaan. Ini adalah daya usaha masyarakat Islam di AS khususnya New York dan tidak ada kaitan dengan tragedi sembilan tahun lalu itu.
Kebebasan
Sama seperti Lazio, Gingrich membina persepsi rakyat khususnya keluarga mangsa tragedi 11 September 2001 bahawa penentangan pembinaan masjid itu adalah sama dengan menentang monumen tentera Jepun di Pearl Harbour dan monumen Nazi di Muzium Holocaust di Washington. Padahal puak radikal yang menyerang itu bukan mewakili Islam dan pembinaan itu pula bukan monumen di tapak yang pernah berlaku tragedi. Ketidakjujuran berpolitik seperti ini memberikan implikasi sangat buruk kepada generasi masa kini dan masa depan di AS.
Pemimpin politik AS perlu melihat bahawa kelulusan kepada Cordoba Initiative sebagai bukti amalan kebebasan beragama dilaksanakan seperti dalam dalam perlembagaan. AS merupakan antara negara yang paling banyak menonjolkan diri sebagai wira hak kebebasan beragama dan bersuara. Di AS seolah-olah semua orang tidak kira agama dilindungi oleh hak asasi mereka. Tetapi kenapa apabila tiba kepada pembinaan masjid di sebelah Ground Zero, kebebasan kepada Islam itu diambil balik padahal perlembagaan membenarkan penganut Islam mempunyai rumah ibadat dan pusat masyarakat.
Pemimpin politik dari Republikan sangat tidak bertanggungjawab apabila mempolitikkan isu masjid dan pusat Islam ini. Semua orang tahu senapang mereka mahu dihalakan kepada Obama dan Demokrat tetapi kesannya mewujudkan tembok antara Islam dan Barat. Selain Gingrich dan Lazio, bekas Gabenor Alaska yang juga calon Naib Presiden dari Republikan 2008, Sarah Palin juga mengambil peluang untuk "mengislamkan" Obama dan menakut-nakutkan bukan Islam. Sarah Palin menentang kerana menganggap masjid "tidak sesuai" di sebelah Ground Zero yang tragedinya dilakukan oleh orang Islam. Apakah maknanya kalau tidak melabelkan semua Islam adalah radikal?
Kesimpulan daripada kontroversi masjid dan pusat Islam ini adalah sikap prejudis Barat terhadap apa saja yang dikaitkan dengan Islam. Tragedi serangan World Trade Centre sudah pun dijadikan lesen oleh George W. Bush untuk menyerang negara Islam yang merdeka. Dengan mengaitkan Islam sebagai penyerang, Bush menyerang Afghanistan dan Iraq.

No comments:

Post a Comment