Pages

Thursday, August 12, 2010

Manusia yang terlalu menderita tetapi tetap berhati mulia



Bagaimana insan yang sudah terlalu banyak menderita dan tidak pernah merasai keamanan masih dapat memberikan layanan yang sangat baik kepada orang lain? 

Pertanyaan itulah yang berlegar di kepala sejak menjejakkan kaki di bumi Gaza. 

Baru setengah hari di Gaza, konvoi Misi Darat ke Gaza sudah merasai keramahan dan keprihatinan penduduk Gaza terhadap tetamu mereka. 

Mereka yang setiap hari dihurung kebimbangan mengenai kemungkinan menjadi mangsa bangsa terkutuk Israel, melayan kami seperti saudara sendiri, malah mungkin lebih baik daripada itu, bagaikan tiada masalah dalam hidup mereka. 

Bandingkan dengan kita yang ada segala-galanya, tetapi sering merungut dan berprasangka buruk terhadap orang lain. 

Boleh dilihat melalui sisa-sisa bangunan dan keadaan persekitaran bahawa Genting Gaza mampu menjadi kawasan membangun tanpa kehadiran Israel yang memusnahkan kehidupan penduduk Palestin di sini. 

Mereka mungkin mempunyai bekalan barangan keperluan asas hasil penyeludupan terowong bawah tanah di sempadan Gaza dan Mesir, tetapi penduduk di sini hidup serba sederhana. 

Sebaik tiba di Gaza, selepas mendaftar masuk ke tempat penginapan, kami dibawa melawat sekitar Bandar Gaza bersama beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan Palestin, Persatuan Kanak-kanak Perempuan Islam (MGS). 

Di sepanjang perjalanan, kelihatan sisa bangunan yang musnah akibat serangan Israel semasa perang tahun lalu, termasuk bangunan pentadbiran kerajaan yang menempatkan pejabat kementerian-kementerian. 

Terdapat juga tanah kosong dengan lubang yang dalam, dan penterjemah kami memaklumkan tapak itu adalah rumah pangsapuri yang musnah sama sekali dalam serangan Israel. 

Di Gaza, tanah kosong dapat dilihat di banyak tempat, iaitu tanah yang suatu masa dulu pernah dibina bangunan di atasnya atau dihuni orang, tetapi akhirnya musnah dan dibiarkan kosong selepas serangan rejim tidak berhati perut itu. 

Kami juga dibawa melawat jalan raya di mana pemimpin Hamas, Sheikh Ahmad Yassin, terbunuh dalam serangan bom Israel semasa beliau dalam perjalanan pulang daripada solat Subuh di masjid. 

Konvoi berhenti seketika bagi menunaikan solat Maghrib bersama penduduk Gaza di Masjid Abdul Azzam, yang terletak di kawasan bernama Zaitun. 

Jemaah wanita kemudian dikerumuni beberapa kanak-kanak lelaki yang tiba di masjid bagi menghadiri kelas mengaji al-Quran. 

Hiba bercampur gembira apabila salah seorang daripada mereka, Hamzah, mengambil al-Quran dan membacakan ayat-ayat suci kepada kami. 

Kekentalan jiwa kanak-kanak tidak berdosa ini, dan adab sopan mereka yang sentiasa bersalaman dengan tetamu luar menambah kesedihan di hati apabila memikirkan masa depan kanak-kanak cerdik ini yang mungkin musnah di tangan Israel. 

Suasana menjadi kecoh dan meriah apabila konvoi mengagihkan gula-gula kepada kanak-kanak di Zaitun, yang akhirnya menjadi seakan pesta apabila semua penduduk kampung keluar melihat apa yang berlaku. 

Agak terkilan kerana tidak dapat meluangkan lebuh masa dengan mereka, dan kami berharap kesempatan berada di Gaza selama lima atau enam hari dapat digunakan sebaik mungkin bagi mengenali penduduk Gaza. 

Dalam perjalanan untuk menunaikan solat terawih di Masjid Umary, kami sempat menyaksikan kemeriahan bazar yang diadakan di tengah-tengah Bandar Gaza sempena Ramadan. Umpama pasar malam di Malaysia. 

Ramadan kali ini amat bermakna apabila kami menunaikan solat terawih malam pertama di masjid terbesar di Gaza yang terletak di Jalan Umar Al Mukhtar. 

Walaupun berasa sangat gembira dapat menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk Palestin di Gaza, namun hati menjadi hiba saat imam membacakan doa yang meminta Allah menyelamatkan Genting Gaza. 

Pembacaan doa yang penuh emosi itu, diikuti dengan tangisan jemaah rakyat Palestin, adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana ia datang daripada jiwa insan yang merasai sendiri keperitan hidup tanpa henti. 

Hati kembali gembira apabila melihat kanak-kanak comel turut sama bersolat dengan wajah terpinga-pinga kerana tidak pasti bagaimana untuk menunaikan sembahyang. 

Pengalaman hari pertama di Gaza ini membuatkan kami sedar bahawa Gaza sebenarnya adalah bumi bertuah, dikurniakan dengan tanah subur, dan rakyat bersemangat tinggi dan sopan pada masa sama. 

Mereka selalu menegaskan, rakyat Palestin tidak membenci sesiapa dan menghormati semua agama di dunia ini, tetapi mereka hanya mahukan hak mereka dikembalikan, iaitu hak kepada kehidupan yang dirampas rejim Yahudi. 

Dan selepas berada di bumi Gaza, kami meyakini kata-kata itu.

No comments:

Post a Comment