Oleh Shaarani Ismail
2010/08/26
Pasangan tinggalkan 9 anak janji pulang pada Aidilfitri
KUALA LUMPUR: Kepada anak-anak, harap maafkan papa serta mama dan bersabarlah menunggu kami pulang pada Aidilfitri nanti. Saya memang sentiasa teringatkan mereka setiap masa. Bapa mana yang tak sayangkan anak, tapi ramai yang tidak tahu, malah tidak faham masalah yang saya hadapi hingga terpaksa meninggalkan mereka.
Selepas mengetahui cerita mengenai saya melalui akhbar Ahad lalu, saya diselubungi rasa bersalah dan malu tetapi mereka tidak faham apa yang berlaku kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan.Saya tahu ramai yang menyalahkan saya, tapi pada hari dan bulan baik ini, saya sanggup melupakan semua sengketa seperti mentua yang berjanji melakukan perkara sama dan sangat berharap anak-anak dan keluarga maafkan saya, kata Mahadi Che Mansor, 31, yang meninggalkan sembilan anak bersama bapa mentuanya, Kassim Mat Diah, di Kuala Krai, Kelantan kerana perselisihan faham sejak tahun lalu.Mahadi yang ditemui di bengkal tempat beliau bekerja di Bukit Angkasa, di sini sejak sebulan lalu sebak ketika mengakui terlalu rindukan semua anak dan menyesali perbuatannya yang terlalu mengikut kata hati selepas perselisihan faham dengan isteri dan keluarga mentua.
Pada Ahad lalu, Berita Harian menyiarkan gambar anaknya bersama kad raya yang merayu Mahadi dan isterinya Kasmaliza Kassim, 29, kembali menjenguk mereka diikuti beberapa berita lain selepas itu, Semalam seorang pembaca yang enggan namanya disiarkan menghubungi pejabat akhbar ini di Kota Bahru bagi memaklumkan lokasi Mahadi dan isterinya.
Berikutan itu, wakil Berita Harian menjejaki Mahadi dan dengan bantuan beberapa rakannya, berjaya memujuknya untuk menemui wartawan dan menemubualnya.
Sejak setahun lalu, pasangan berkenaan meninggalkan anak mereka, Nor Hidayah Mahadi, 13; Amirul Rizal, 11; Afiq Asyraf, 10; Natasha Emilia, sembilan; pasangan kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, empat; Naqiuddin, tiga; dan Nia Khalisa, dua tahun. Tujuh daripada mereka menumpang kasih datuk mereka, Kassim,55; dan moyang, Ehsah Hashim, 74; kerana dua lagi dijaga ibu saudara di Seremban dan Kota Bharu.
Mahadi kini tinggal bersama isterinya menumpang sementara di rumah majikan di Bukit Angkasa dan dikurniakan anak ke-10, seorang lelaki yang dilahirkan pada 17 Julai lalu. Beliau berjanji pulang ke Kelantan seminggu sebelum raya dan sedang membuat persiapan menyediakan pakaian baru untuk semua anaknya dan tidak sabar berjumpa mereka.
Saya juga sedang berusaha mencari rumah sewa yang termampu dan merancang membawa mereka tinggal bersama apabila simpanan mencukupi bagi memastikan kami tidak lagi terpisah. Buat masa ini, keadaan tidak mengizinkan tetapi sedang berusaha ke arah itu, katanya.
Mahadi bagaimanapun bertuah kerana lebih 30 rakan bersimpati dengan kisah hidupnya dan mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membolehkan Mahadi serta isteri meraikan Aidilfitri bersama anak dan keluarga di Kelantan.
Seorang rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, berkata ada antara mereka yang sanggup meminjamkan kereta kepada Mahadi bagi membolehkannya pulang berhari raya dan membuat kutipan derma bagi menyediakan pakaian baru untuk semua 10 anak Mahadi bagi menyambut Aidilfitri.
tak perlu pertikai siapa salah siapa benar dalam hal ini. Apapun krisis dalam keluarga, jgn sampai lari dari tanggungjawab. Jawab di akhirat nanti. Itu lebih 'mudah'
ReplyDelete