Pages

Wednesday, August 18, 2010

Kisah tiga generasi juruterbang MAS





MENETAP dan membesar di kalangan masyarakat Melayu yang mengamalkan cara hidup sederhana di Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu menyebabkan lelaki ini kurang dipengaruhi dunia luar.
Anak kepada peniaga yang tinggal di persekitaran sawah padi itu hanya bergaul dengan rakan-rakan sekampung. Namun, jauh di sudut hatinya dia memasang impian untuk menjadi seorang arkitek bila dewasa kelak.
Kini anak kampung itu menjadikan hampir 30 negara di dunia ini sebagai tempat persinggahannya saban hari. Dia bukan pereka bangunan seperti yang pernah dicita-citakan, tetapi seorang peneraju pesawat penumpang.
Kapten Mohd. Radzi Mohamad Alias, 40, yang pernah menerbangkan pesawat jenis Fokker F50, Boeing 737-400, Boeing 747-400 dan Boeing 777-200 sepanjang berkhidmat selama dua dekad cukup serasi memberi khidmat sebagai seorang juruterbang di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Bertitik tolak daripada mengikuti rakan-rakannya mendaftar dalam bidang ini ketika menamatkan pengajiannya pada peringkat A-Level di Maktab Sains Mara (MSM) Cheras, Kuala Lumpur, dia tidak menoleh ke belakang walaupun pengajiannya di MSM adalah sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di luar negara.
"Saya mula menyedari bahawa kerjaya ini adalah sesuatu yang murni ketika menerbangkan pesawat penumpang Fokker F50 di Sarawak hampir dua dekad lalu.
"Setelah pesawat itu meredah perjalanan selama 30 minit dari Bintulu ke Miri, saya didatangi seorang wanitawarga emas yang mengikuti penerbangan tersebut untuk mendapatkan rawatan di hospital.
"Ucapan terima kasih yang terpacul dari mulutnya membuatkan hati saya tersentap kerana anak matanya jelas menggambarkan keikhlasan hatinya. Dia juga sangat menghargai perjalanannya bersama saya," jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.
Mohd. Radzi yang ketika itu baru setahun bertugas selepas mendapat Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara (ATPL) menjelaskan, jika masyarakat beranggapan kerjaya sebagai seorang juruterbang memberi peluang kepada mereka menjelajah ke banyak negara, sebaliknya beliau puas kerana dapat membantu membawa orang ramai ke merata-rata tempat.
DARI kiri: Mohd. Radzi, Jin Yen dan Sanjay gembira dengan kerjaya pilihan mereka.


"Kerjaya ini sangat menarik, selain saya dapat bertemu pelbagai jenis dan ragam manusia, saya juga dapat membawa penumpang-penumpang yang mempunyai pelbagai latar belakang," kata lelaki yang turut meminati sukan pemotoran itu lagi.
Dulu jurutera kini juruterbang
Kon Jin Yen, 30, yang sebelum ini pernah berkhidmat di sebuah firma kejuruteraan swasta pernah mengimpikan untuk bergelar seorang juruterbang ketika di bangku sekolah.
Namun, akibat tidak terdedah dan tidak berpeluang mengikuti kursus penerbangan beliau melanjutkan pengajian ijazahnya dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Merasai jiwanya kurang serasi dengan kerjaya tersebut setelah bekerja hampir tiga tahun setengah sebagai jurutera elektrik, beliau memohon mengikuti kursus penerbangan apabila terbaca iklan mengenainya secara tidak sengaja di sebuah akhbar tempatan.
"Kerjaya ini menuntut pengorbanan yang besar kerana nyawa penumpang di atas bahu saya. Seperti juga memandu bas atau kenderaan lain semuanya bermatlamat ingin menghubungkan manusia kepada dua tempat.
"Sambil berkhidmat untuk masyarakat saya memperoleh pengalaman berharga kerana dapat merasai suasana di negara orang," jelas lelaki bujang yang menyimpan impian memiliki jentera penumpang model Audi A4 itu.
Kini Jin Yen menerbangkan pesawat MAS dari jenis Airbus A330 ke negara-negara seperti China, India, Jepun, Australia dan Dubai.
"Saya sangat bertuah kerana akhirnya cita-cita tercapai setelah memulakan kerjaya dalam bidang lain, tetapi peluang itu hadir tanpa terjangka," tambahnya.
Bagaimanakah rutinnya sebagai juruterbang pegawai pertama? Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu pelbagai aspek perlu diberi perhatian tidak kira ia kecil atau besar.
"Saya akan mengemaskini e-mel, dokumen penerbangan seperti keadaan cuaca dan destinasi yang akan dituju, melaporkan jumlah bahan bakar yang diperlukan serta memastikan tiada masalah pada bahagian luar badan pesawat.
"Banyak aspek perlu diambil kira sebelum memulakan penerbangan. Ia penting bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang sepanjang perjalanan terutamanya perjalanan jarak jauh.
"Kerjaya ini menjamin masa depan yang cerah kerana pendapatan memungkinkan saya menyara kehidupan di kota", luah Jin Yen yang sudah lima tahun berkhidmat bersama MAS.
Pendedahan sejak kecil
Berbeza pula dengan Sanjay Thaker, 22, seorang juruterbang kadet. Pendedahan yang diterima sejak kecil menyebabkan Sanjay menyimpan impian untuk menjadi seorang juruterbang pesawat penumpang.

SISTEM Penerbangan Malaysia (MAS) memberi peluang kepada anak-anak muda merealisasikan impian mereka.


Anak bongsu daripada dua orang adik beradik itu menjelaskan, kerjaya bapanya sebagai seorang krew kabin dalam pesawat MAS telah menjadi inspirasi kepadanya menyimpan cita-cita untuk mengemudi pesawat.
"Saya sentiasa mengikuti bapa menaiki pesawat sejak kecil sama ada ketika beliau bekerja mahupun percutian bersama keluarga di dalam dan luar negara,"ujarnya yang membesar dengan pesawat sejak umurnya setahun.
Bapa sentiasa memberi kata-kata perangsang untuk berjaya dalam bidang tersebut. Beliau telah saya jadikan sebagai semangat untuk terus maju," ujar remaja yang meminati buku-buku berbentuk autobiografi itu.
Saat ditanya mengenai rutin beliau sebelum menerbangkan pesawat ringan ketika berada di akademi penerbangan HM Aerospace Langkawi, Sanjay menjelaskan bahawa beliau sentiasa membuat persediaan yang banyak.
"Sebelum menerbangkan pesawat ringan dari jenis Diamond 40 atau Diamond 42 saya akan membuat persediaan awal tiga jam sebelum menerbangkan pesawat itu agar saya bersedia dan dapat menerbangkannya tampa masalah," jelas bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Kelang itu.
"Antaranya saya akan menyemak peta dan carta yang berkaitan. Setiap negara mempunyai syarat-syarat dan undang-undang sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab seorang juru terbang untuk meneliti undang-undang tersebut sebelum memulakan penerbangan," jelasnya lagi.
Setelah tamat pengajiannya di akademi penerbangan, Sanjay kini mengikuti kelas menggunakan pesawat simulasi dari jenis Boeing 737-400 di Kompleks A, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

No comments:

Post a Comment