Pages

Saturday, August 14, 2010

Kisah pencarian Ali difilemkan




MARTIN (dua dari kiri) bersama krunya ketika penggambaran dokumentari mengenai kisah ibu bapanya di Dungun kelmarin.


KUALA TERENGGANU – Kisah pencarian seorang askar Melayu bernama Ali oleh pasangan suami isteri warga Vietnam yang pernah menjadi pelarian di Pulau Bidong dekat sini sekitar tahun 1979 dan 1980 akan dijadikan sebuah filem dokumentari.
Dokumentari bertajuk Tomorrow You Will Leave itu bakal disiarkan tahun depan di Vienna, Austria, negara tempat pasangan bekas pelarian itu tinggal sejak meninggalkan Pulau Bidong 31 tahun lalu.
Pasangan Nguyen Van Quang, 51, dan isterinya, Nguyen Thi Bay, 51, yang kembali ke Vienna semalam tiba di Terengganu sejak 25 Julai lalu untuk menjejaki Ali yang dipercayai banyak membantu mereka semasa mula-mula mendarat di Pantai Merang, Setiu pada April 1979.
Bagaimanapun, usaha murni pasangan suami isteri itu untuk membalas jasa seorang askar Melayu tidak kesampaian walaupun telah menjejaki puluhan kampung dan daerah di sekitar negeri Terengganu dan Pahang.
Anak kepada pasangan itu, Nguyen Martin, 30, yang lahir di Pulau Bidong pada tahun 1980 berkata, pencarian keluarganya ke Terengganu turut ditemani tiga kru dari Austria yang merakamkan setiap usaha yang dilakukan.
Menurutnya, dokumentari Tomorrow You Will Leave itu adalah projek syarikatnya.
Ia mengisahkan tentang kisah hidup ibu bapanya daripada seorang pelarian di Pulau Bidong sehinggalah menjadi warga Austria.
“Kemuncak kepada dokumentari ini adalah kisah bagaimana ayah dan ibu saya kembali ke Pulau Bidong untuk menjejaki seorang askar Melayu dikenali sebagai Ali.
“Setiap usaha yang dilakukan termasuk mencari dari rumah ke rumah telah dirakamkan untuk dokumentari ini. Kami juga sempat merakamkan suasana terkini Pulau Bidong yang pernah menempatkan ribuan pelarian dari Vietnam,” katanya yang bertindak sebagai pengarah ketika ditemui di Dungun dekat sini kelmarin.

No comments:

Post a Comment