Pages

Sunday, August 8, 2010

Kahwin muda atau berzina?



MINGGUAN: Bagaimana timbulnya cadangan mewujudkan sekolah hamil dan membenarkan perkahwinan bawah umur?
MOHD. ALI: Di Melaka kita telah menganjurkan dua seminar sosial iaitu bagi peringkat negeri dan kebangsaan. Di dalam kedua-dua seminar itu para peserta menyatakan kebimbangan yang amat sangat tentang gejala sosial termasuk kes buang bayi, hamil luar nikah, rogol dan sebagainya. Lebih menyedihkan kebanyakan kes melibatkan orang Islam.
Lalu diakhir seminar itu disarankan supaya diadakan pelbagai program untuk mengatasi gejala sosial termasuk mengadakan ceramah motivasi dan seminar pendidikan. Paling mustahak sekali jalan penyelesaian yang dicadangkan adalah balik kepada ajaran agama. Kita dah cuba banyak bidang tetapi sehingga hari ini statistik kes-kes tersebut bukannya menurun sebaliknya makin meningkat.
Di Melaka kita perkenalkan program Rumahku Syurgaku, kita beri pegawai tambahan, kita adakan ceramah tambahan di semua peringkat, tapi jumlah kes sosial semakin meningkat malah perceraian pun makin meningkat. Ini bermakna pendekatan yang lepas kurang berkesan. Apa yang kita lihat anak-anak muda banyak terlibat dalam kes buang bayi, hampir setiap bulan ada kes tersebut tidak kira di Melaka atau pun negeri-negeri lain. Semuanya berlaku.
Kita lihat kes buang bayi di negeri Melaka. Pada 2001 ada satu kes, tahun ini pula tiga kes buang bayi. Bagi kes bayi lahir luar nikah pula pada 2009 ada 391 kes dan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 174 kes dicatatkan. Ini amat merunsingkan. Bagi tahun lepas kes lahir bawah umur 16 tahun adalah sebanyak 33 orang, manakala 114 kes pula (17-20 tahun), 123 kes (21-24 tahun), 57 kes (25-30 tahun), 3 kes (31-40 tahun) dan satu kes (41 tahun ke atas).
Maknanya hampir 78 peratus yang terlibat dalam kes hamil luar nikah adalah remaja bawah umur 24 tahun.
Jadi apa punca yang sebenar?
MOHD. ALI: Saya melihat isu yang sebenar adalah budak-budak muda ini hendak berkahwin tapi tidak dibenarkan, jadi mereka berzina. Bila berzina mereka takut ibu bapa marah, takut kena halau maka untuk elak itu semua jadilah kes buang bayi.
Mengapa kita biarkan mereka berzina? Bukankah elok kita bagi mereka kahwin pasal itu yang mereka hendak. Kita tak bagi kahwin sebab mereka muda, kerja pun tak ada, ada yang masih bersekolah. Jadi saya berpendapat cadangan seminar adalah berbalik kepada agama, jadi apakah yang terbaik selain mengahwinkan mereka? Kalau kita tak mengahwinkan mereka, mereka akan bersekedudukan, ada hubungan seks sehingga mendapat anak luar nikah.
Sedangkan walaupun mereka bawah umur 16 tahun, tetapi sudah akil baligh dan tidak dapat menahan nafsu. Sama ada ibu bapa tahan, ustaz tahan, Ketua Menteri tahan mereka tidak peduli, mereka nak kahwin juga. Jadi daripada buat maksiat bukankah lebih baik mereka dikahwinkan.
Persoalannya sekarang, mengahwinkan pasangan muda selesai timbul pula masalah lain, mereka tidak bekerja dan masih bersekolah, apa masa depan mereka?
MOHD. ALI: Lepas dikahwinkan kerajaan negeri akan bimbing mereka. Ada yang bertanya bagaimanapun pula kalau mereka dah kahwin sedangkan mereka budak sekolah, siapa nak tanggung. Bagi saya benda itu semua tidak sepatutnya timbul. Daripada ibu bapa tanggung malu, nak kena jaga anak luar nikah lagi baik jaga cucu yang halal kerana anak mereka sudah berkahwin. Cumanya ada ibu bapa yang miskin, ada juga remaja daripada keluarga bermasalah maka kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk membiayai perkahwinan mereka dengan perbelanjaan RM500 majlis yang cukup untuk upah nikah, saksi dan sebagainya. Mas kahwin boleh hutang.
Selepas menjadi suami isteri kalau ibu bapa tidak mahu jaga, kerajaan negeri akan ambil tanggungjawab untuk jaga pasangan yang halal bernikah ini. Saya percaya daripada jaga pasangan yang berzina elok kita jaga pasangan halal bernikah. Kalau mereka masih bersekolah, biarkan mereka terus pergi sekolah, tetapi rupa-rupanya budak sekolah salah, mengandung kena berhenti.
Maka saya cadangkan tubuh sekolah untuk remaja hamil bernikah. Timbul pula persoalan siapa nak tubuhkan sekolah itu. Kita bersetuju JAIM akan tubuhkan sekolah seumpama itu supaya pasangan remaja yang bernikah, kemudian mengandung dapat meneruskan persekolahan mereka di situ. Mereka akan diajar dengan mata pelajaran agama, dididik bagaimana mahu menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan juga perancang keluarga.
Selepas bersalin, kalau ibu bapa remaja masih tak mahu jaga anak dan cucu mereka, maka kerajaan negeri akan jaga. Lebih daripada itu, kita akan usaha mencari keluarga angkat untuk bayi yang dilahirkan oleh gadis remaja ini. Saya percaya ramai yang nak jadi keluarga angkat kepada bayi yang dilahirkan menerusi pernikahan yang halal. Kalau keluarga nak jaga lagi kami alu-alukan. Bukankah menjaga yang halal lebih mudah daripada menjaga yang haram. Kerajaan negeri dapat pahala, saya dapat pahala, tak ada orang kata anak luar nikah.
Mereka juga akan diajar perancang keluarga, oleh itu mereka tahu sama ada nak tambah anak lagi atau nak tangguh dulu supaya dapat meneruskan persekolahan. Kalau belum kahwin nak ajar perancang keluarga seperti dalam pendidikan seks mana boleh, dia orang nak buat apa, dia orang belum kahwin belum nikah tapi kalau dah kahwin apa nak ajar pun boleh.
Datuk Seri tidak nampak sebarang masalah untuk laksanakan semua ini?
MOHD. ALI: Bagi saya memang tidak ada masalah, sebab itu bila kita bawa perkara ini kepada MAIM, semua ahli majlis setuju. Bulan lepas saya jumpa dengan kumpulan amil, di Melaka ada 180 masjid lebih kurang 500 amil datang. Saya terangkan dan mereka bersetuju bahkan ada yang mengemukakan pelbagai cadangan untuk menjaga budak-budak ini dan sekelip mata jawatankuasa yang berkenaan ditubuhkan dan menggerakkan kerja masing-masing.
Perkara ini mendapat perhatian dunia. Reuters pun telefon, saya terangkan antara zina dan kahwin halal, walaupun masih bersekolah saya pilih yang halal. Mereka bawah umur kita ikut undang-undang minta kebenaran mahkamah syariah, bukan kita langgar undang-undang.
Seminar sosial menyarankan supaya kita kembali kepada ajaran agama. Sekarang ini saya ikut ajaran agama tapi ada pula yang kata takut sebab budak-budak belum faham tanggungjawab. Kalau pasal kahwin pun dah faham takkan pula tanggungjawab mereka tidak mahu faham. Dan inilah masanya kita beri mereka tanggungjawab. Ibu saya dulu kahwin umur 14 tahun, ada pula orang kata itu zaman dulu, tapi zaman dulu tak ada video lucah, zaman sekarang video lucah berselerak, patut sekarang umur 8 tahun sudah kena kahwin sebab ‘semangat’ budak-budak sekarang tinggi. Pancaroba lebih kuat daripada dulu. Saya akui jalan terbaik kita kena balik kepada agama walaupun syarat untuk berkahwin belum beberapa cukup, tapi antara zina dengan anak lahir luar nikah, lebih baik kahwin dan lahirkan anak yang sah taraf.
Bagaimana Datuk Seri melihat kesan jangka panjang?
MOHD. ALI: Dalam hal ini kerajaan negeri melaksanakan program sampingan untuk memastikan kesan jangka panjang yang positif. Kerajaan negeri mahu bertanggungjawab sepenuhnya dalam membendung gejala sosial. Kita fikirkan program keluarga angkat kerana yakin anak-anak halal berebut orang nak jaga. Anak luar nikah pun ramai orang nak jadikan anak angkat inikan pula anak yang halal. Apatah lagi jika matlamat menjadikan anak-anak ini anak angkat supaya remaja yang berkahwin muda dapat meneruskan persekolahan. Mengapa nak bagi pandangan negatif, jangan takut untuk jadi positif dan banyak masalah boleh selesai. Kita terlalu terikat dengan itu tak boleh, ini tak boleh dan pada masa yang sama orang beranak luar nikah semakin bertambah.
Sebelum ini kita kata kena didik ibu bapa untuk kurangkan gejala sosial tapi sudah puas ibu bapa dididik menerusi seminar, ceramah agama, program Rumahku Syurgaku tapi anak luar nikah makin banyak. Ada pula yang kata sebab banyak pub sana-sini, ada kerajaan negeri pub pun tak ada tapi anak luar nikah banyak juga. Maka saya yakin jawapannya adalah mengetahui apa sebenarnya kemahuan mereka. Oleh itu kalau ada anak kata ‘Alah mak kahwinkan aku’ maka ibu bapa kena positif fikiran, kalau anak nak kahwin janganlah risau hati. Ibu bapa patut bersyukur dapat cucu lebih awal, jabatan agama nak tolong anak-anak mereka daripada buat maksiat atau lari daripada rumah buat kerja tak senonoh, akhirnya berzina dan melakukan hubungan seks dengan macam-macam orang dan akhirnya lahirkan anak luar nikah, kemudian buang bayi yang tidak berdosa itu.
Datuk Seri tidak percaya pendidikan seks mampu kurangkan kes buang bayi dan hamil luar nikah?
MOHD. ALI :Pendidikan seks tidak akan membantu sama sekali dan tidak perlu pun mata pelajaran tersebut diajar di sekolah. Saya juga melihat tidak ada sebab pun mengapa kita nak ajar dia orang pendidikan seks malah kadang-kadang itu pun punca berlakunya seks bebas. Nak ajar buat apa mereka belum belum kahwin, maka pendidikan seks tak patut diajar disekolah. Nak ajar jaga kesihatan, mata pelajaran kesihatan dah ada, mata pelajaran agama ajar cara mandi junub dan macam-macam lagi maka mata pelajaran pendidikan seks Barat yang menawarkan salah satu bahagian penting bagaimana mencegah hamil adalah sesuatu yang tak patut diajar kepada orang yang belum kahwin.
Saya juga berpendapatan ia akan menggalakkan lagi seks luar nikah sebab itu kita tak setuju, siap buat kempen sekali, apa itu semua. Kita boleh jaga berpuluh ribu orang miskin dan berbelanja RM5 juta untuk bantu mereka, takkan tak boleh tolong remaja supaya mereka berkahwin dan mengadakan seks halal.
Bagaimana Datuk Seri jangkakan sambutan kelak?
MOHD. ALI: Kalau masih nak berzina saya tak tahu nak buat apa lagi. Saya dah adakan ruang, jangan esok mereka kata kerajaan tak buat apa, kerajaan tidur, aku nak kahwin dia tak bagi, ibu bapa pun dikatakan tidur dan tidak buat apa-apa. Sekarang ini kahwinlah kita tak halang hasrat mereka. Makan minum kerajaan tanggung, sekolah disediakan, keluarga angkat boleh dicari, kalau tak tampil juga tak boleh salahkan kerajaan sebab kerajaan dah ambil segala usaha termasuk jaga anak, sekolahkan dia. Tak timbul soal keciciran sekolah, disisih masyarakat dan lain-lain. Sekarang saya minta mereka tampil, saya percaya dalam kita bercakap ini pun ada yang terlanjur lagi.
Sekarang kita sedang mencari bangunan yang sesuai dan minta kerjasama ibu bapa kerana kita tidak mahu nanti ada sekolah tapi tak ada murid. Ahad ini (hari ini) kita akan adakan seminar di MITC berhubung perkara ini, mudah-mudahan mendapat sambutan.
Saya ambil pendekatan ikut kehendak orang, apa yang mereka hendak. Dulu kita lawan kehendak mereka, sekarang ikut apa yang remaja hendak. Hendak kahwin, kita kahwinkan. Masalah lain kerajaan negeri akan bantu, yang penting dapat elak berzina dan kurangkan masalah sosial.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

2 comments:

  1. Salam..
    saya seorang remaja lelaki berumur 23 tahun yg masih melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda.. ada 2 tahun lg untuk tamat pengajian.. dan ingin sambung buat master.. masalah saya nak kahwin tetapi ayah x restu walaupun sye sudah berdepan dengan ayah manyatakan hasrat sye.. mahu sya tamat belajar dahulu.. sya sudah bercinta 6 tahun dan seringkali terlanjur.. kekasih sye mahu berkahwin dgn sye, keluarganya semua menanti sye.. cuma masalah sye skerang adalah keluarga sye..mereka tidak tau sye rapat dengan kekasih sye... agak buntu di sini.. x tahu nak kongsi dengan sape.. maaf..

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Ramai remaja yang mempunyai masalah yang serupa dengan anda. Anda perlu berterus-terang dengan
    keluarga anda dahulu. jika mereka benar-benar
    menyayangi anak mereka, mereka akan membantu anak
    mereka untuk mengelakkan dari dosa dengan berkahwin. jika mereka mementingkan kerjaya anda
    dikhuatiri anda akan gagal setelah kahwin dan
    melarang dari berkahwin sedangkan anda terdedah
    pada dosa anda mesti utamakan perintah Allah
    daripada perintah ibupaba. kalau boleh berjumpalah orang alim minta bantuan dan nasihat
    mereka lebih arif. kalau diri saya sendiri saya
    elakkan zina dengan berkahwin walaupun masih berlajar. apa sja tindakan kita hanya fikirkan
    adakah Allah redha dengan kita atau tidak.carilah
    yang halal dengan berkahwin.walaupunpun berkahwin kita tak semestinya gagal dalam pelajaran....kalau boleh sampaikan juga hasrat ingin berkahwin itu dengan bakal ibu dan bapa mertua anda mudah-mudahan mereka juga mencari jalan
    membantu anda berdua.insyaallah mudah-mudahan
    saudara dapat menyelesaikan masaalah anda dengan
    baik.

    ReplyDelete