Pages

Sunday, August 1, 2010

Imam Muda Asyraf, Hizbur



Asyraf dan Hizbur mahu menghidupkan nama Nabi junjungan supaya terus mekar di hati umat manusia.


WALAUPUN Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, sudah dinobatkan sebagai juara sulung Imam Muda, hakikatnya seorang lagi finalis, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, juga sudah menjuarai hati khalayak.
Malah, buat penonton, keberanian kesemua 10 peserta program terbitan Astro Oasis itu telah mencapai matlamat dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka.
Mereka umpama pengembala seperti yang disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim: "Pemimpin adalah pengembala. Dia akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya."
Gaya dan jiwa yang mereka bawakan telah meresap jauh ke dalam pemikiran penonton setia Imam Muda yang berakhir Jumaat lalu.
Banyak pengalaman yang mereka peroleh sepanjang tiga bulan menyertai program tersebut. Tidak menunjukkan kelibat imam yang hanya berkopiah dan berjubah, imam muda zaman moden ini muncul dengan gaya yang tidak klise.
Asyraf dan Hizbur mahu menawarkan bakti dan bakat bergelar imam sekali gus mengingatkan kembali nama Rasulullah s.a.w. di hati manusia yang mudah terleka.
Bagi mereka, Nabi junjungan itu perlu terus mekar di hati umat Islam. Itu ganjaran yang lebih bermakna buat mereka selain ditawarkan status juara sulung Imam Muda serta mendapat sebuah kereta dan biasiswa melanjutkan pelajaran di Universiti Antarabangsa Al-Madinah.
Impak yang diterima umum juga bukan sedikit. Ibu-ibu di rumah yang dahulunya meminati program realiti hiburan sudah beralih arah dan mula berfikir tentang kriteria menantu pilihan.
Imam Muda adalah satu tanda aras yang jika boleh dicapai, mampu menyejukkan perut ibu yang mengandung. Mujurlah Asyraf mahupun Hiz sudah bergelar suami orang.
Namun, perwatakan mereka telah menjadi contoh budi pekerti dan iman seorang lelaki.
Lebih daripada itu, pengaruh program serta perjalanan imam muda ini juga telah memikat hati masyarakat antarabangsa.
Sebuah laman blog di Indonesia mempersoalkan bilakah agaknya stesen televisyen di negara itu mampu mengilhamkam program berunsur Islam seperti Imam Muda.
Media Jerman dan Switzerland turut memberikan laporan secara meluas di negara bukan Islam itu.
Bagi mereka, pada saat kebanyakan negara Barat dilambakkan dengan program realiti mencari bintang hiburan, Malaysia pula memilih untuk menonjolkan kredibiliti seorang imam.
Akhbar harian Jerman yang diterbitkan di Berlin, Taggespiegel menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pasti akan dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mentua.
Malah, program ini turut diuar-uarkan melalui media seperti Reuters, AP, AFP, Wall Street Journal, The Daily Telegraph, New Straits Times Singapura, Der Spigel (majalah Jerman) dan Daily Tribune.
GELARAN imam muda terunggul telah dinobatkan kepada Mohd. Asyraf (kanan) pada Jumaat lalu setelah 10 minggu dalam program Imam Muda.


Program ini juga dapat disaksikan penonton di Tokyo, Jepun, seluruh Eropah, Amerika Syarikat, Taiwan dan India.
Seperti kata Asyraf Isnin lalu: "Saya melihat kedudukan sekarang adalah jalan terbaik untuk saya sampaikan sesuatu kepada masyarakat kelak."
Sambung Hizbur: "Gambaran awal saya tentang program ini adalah ia platform terbaik buat saya mencapai misi menjadi imam.
"Kalau tidak di masjid besar, jadi imam surau pun jadilah. Pengalaman dan ilmu yang saya kutip di sini lebih daripada imaginasi saya. Ia cukup besar dan luas.
"Saya bersyukur kerana mampu bertahan untuk terus mencari ilmu daripada semua yang terlibat dalam program ini."
Sekadar peringatan buat peminat Imam Muda, renungilah maksud surah An-Nahr, ayat 125: "Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan contoh pengajaran yang baik dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." - SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

No comments:

Post a Comment