Pages

Thursday, August 19, 2010

Dokumentari Islamik Ramadan




DOKUMENTARI Syahadah yang memasuki musim keenam penerbitannya tidak ketinggalan mencuri tumpuan khalayak penonton di saluran TV1.


DOKUMENTARI Islamik memang banyak dipertontonkan kepada khalayak pada bulan Ramadan. Namun, ia tidak hanya menarik perhatian penonton beragama Islam sahaja.
Berdasarkan sambutan yang diterima oleh beberapa stesen televisyen di Malaysia, dokumentari Islamik turut menarik minat penonton yang bukan beragama Islam.
Ia berikutan intipati yang ditonjolkan dalam dokumentari Islamik tidak terhad kepada penghayatan penonton Islam semata-mata, malah turut menampilkan sejarah, isu semasa dan keindahan Islam itu sendiri untuk difahami khalayak bukan Muslim.
Terdapat beberapa dokumentari Islamik popular yang hanya ditayangkan ketika Ramadan. Begitupun, masih ada beberapa program yang disiarkan pada hari biasa masih terus bertahan dan diingati sehingga ke hari ini.
Jejak Rasul
Dokumentari Jejak Rasul boleh dikatakan perintis kepada program dokumentari Islamik yang ada di Malaysia. Mula ditayangkan di TV3 pada tahun 1995, Jejak Rasul mendapat sambutan hangat masyarakat. Sejak itu, waktu siarannya ditunggu-tunggu umpama satu perkara wajib bagi masyarakat Malaysia setiap kali tiba bulan Ramadan.
Program yang cukup sinonim dengan pengacaranya Zainal Ariffin Ismail itu telah menjelajah ke merata dunia antaranya Afrika Utara, Eropah, China, Mesir dan pelbagai tempat lagi dengan satu tujuan iaitu menjejaki dan mengetahui dengan lebih jelas kisah perjuangan dan kehidupan 25 Rasul.
Oleh kerana sambutan hangat yang diterima, Jejak Rasul telah sampai ke musim ke-16. Tahun ini, ia kembali dengan Trilogi Suara Kebenaran yang menyingkap kisah srikandi, jihad, Yahudi dan bani Israel dalam sejarah Islam.
Menemui penonton sepanjang bulan Ramadan ini, bermula 11 Ogos lalu pukul 6 petang setiap Isnin hingga Ahad, Jejak Rasul musim ke-16 telah diberi nafas segar dan kini diterajui oleh pengacara berpengalaman iaitu Ezzah Aziz Fawzy, Mohd. Sidek Majin dan Mohd. Fasil Mohd. Idris.
Syahadah
Dokumentari Syahadah pula, cukup sinonim dengan penonton TV1 dan TV2. Mula disiarkan pada tahun 2005 Syahadah menjadi program tonggak bagi RTM setiap kali menyambut kedatangan bulan Ramadan.

NAMA pengacara Zainal Ariffin Ismail (kiri) begitu sinonim dengan dokumentari kebanggaan Malaysia, Jejak Rasul, sama seperti pengacara bagi musim ke-13 program itu, Norzie Pak Wan Chek.


Memberi penekanan kepada perkembangan dan pembangunan negara dan umat Islam di seluruh pelosok dunia, rancangan ini diterbitkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu untuk tayangan di saluran TV1 dan bahasa Inggeris di TV2.
Rancangan yang berjaya memikat tumpuan penonton itu memaparkan realiti kehidupan komuniti Muslim di negara-negara Balkan dan Eropah serta negara bekas jajahan Soviet Union di Asia Tengah.
Dokumentari Syahadah 2010 musim keenam kini kembali menemui penonton dengan kupasan sejarah dan penemuan artifak yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan beberapa negara Asia lain seperti Indonesia, Kemboja, India, China, Jepun dan Korea Selatan.
Dokumentari yang menjejaki latar belakang dan cara hidup Muslim dunia itu diterbitkan oleh Unit Majalah dan Dokumentari RTM dan disiarkan sepanjang bulan Ramadan bermula 11 Ogos lalu pukul 6.30 petang di TV1.
Ziarah
Program Ziarah yang diterbitkan oleh produksi One To One Sdn. Bhd. telah ditayangkan pada tahun 2006 di Astro Ria juga pada bulan Ramadan.
Penggambaran Ziarah dilakukan ketika kemelut politik negara-negara Arab sedang memuncak menentang gerakan Zionis di bumi Palestin dan ketika peperangan masih meletus di Lebanon.
Ziarah memulakan penggambaran di Asia Selatan (Afghanistan dan Pakistan), Asia Tengah (Jordan, Syria dan Lebanon), Asia Selatan (Uzbezkistan dan Kazakhstan).
Krew Ziarah diketuai oleh Zainal Rashid Ahmad dengan hosnya Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Dang Suria Zainuddin. Mereka merupakan kumpulan pertama wartawan Malaysia yang tiba di lokasi peperangan ketika itu.

No comments:

Post a Comment