Pages

Thursday, August 5, 2010

Cinta tragis





Barisan pelakon Nur Kasih, (depan) Tiz Zaqyah dan Remy Ishak, (belakang dari kiri) adik Ilyas, Liza Othman, Fizz Fairuz dan adik Miasara.


PENANGAN sentuhan hebat pengarah prolifik, Kabir Bhatia dan tulisan skrip isterinya, Mira Mustaffa menerusi drama Nur Kasih masih terpahat di ingatan setiap penonton setia siri itu.
Tempiasnya, barisan pelakon yang membintangi drama itu seperti Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz dan Ayu Raudhah menerima impak hebat apabila berjaya melonjakkan populariti mereka.
Atas permintaan ramai, siri itu meneruskan kesinambungannya tetapi bukannya di kaca televisyen lagi, bahkan ke layar lebar.
Baru-baru ini, Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) selaku penerbit bersama filem Nur Kasihmengundang wartawan ke Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Kuala Selangor untuk menyaksikan sendiri pembikinan filem itu.
Filem yang menelan kos pembikinan dan pemasaran sebanyak RM2.8 juta itu sudah pun selesai penggambaran pada 24 Julai lalu.
Menurut Kabir, proses penggambaran filem itu berjalan lancar.
Katanya, keadaan cuaca seakan-akan menyebelahi mereka tatkala penggambaran sedang berlangsung.
Penggambaran yang bermula pada 20 Jun itu dimulakan di lokasi tersebut selama empat hari sebelum berangkat ke Jordan selama 12 hari.
Selepasi Jordan, kata Kabir, penggambaran disambung di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sebelum kembali semula ke Tanjung Karang.
Di Jordan katanya, penggambaran berjalan dengan lancar walaupun ada kekangan bahasa di kalangan krew di sana.
"Tidak semua krew di Malaysia mengikuti penggambaran di sana.
"Jadi, ketika di sana, kami menggunakan khidmat krew tempatan. Mujur ada di antara mereka yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris," ujar sutradara itu lagi.
Memandangkan Jordan merupakan sebuah negara padang pasir yang amat jarang turunnya hujan, Kabir menjangkakan ia peluang terbaik untuk menyiapkan penggambaran tanpa menghadapi masalah.
Sambil berseloroh, Kabir memberitahu, walaupun terselamat daripada hujan, dia terlupa dengan kejadian ciptaan tuhan yang dinamakan ribut pasir.
"Bagaimanapun, tiada apa yang serius berlaku ketika ribut pasir melanda. Kami akan berhenti sekejap sementara menunggu ribut tersebut reda.
"Bila keadaan kembali seperti sedia kala, penggambaran diteruskan," katanya berkongsi pengalaman di negara itu.
Dalam filem Nur Kasih, babak kemalangan yang melibatkan pelakon yang dirahsiakan wataknya merupakan antara yang agak mencabar untuk dilakonkan.
Kata Kabir, ia memerlukan kesabaran dan kepakaran yang tinggi. Tidak ada pelagak ngeri digunakan. Pelakon memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan babak itu.
"Namun, babak itu akan dicampurkan dengan bantuan imej janaan komputer (CGI) bagi menambahkan lagi tarikannya," jelasnya.
Filem yang dijangka menjengah pawagam pada Mac 2011 itu akan menampilkan dua pelakon baru iaitu Sarah Ali dan Munif.

1 comment: