Pages

Tuesday, August 24, 2010

Berazam bersihkan rezeki


berniaga di bulan Ramadan bukan sahaja boleh mengaut keuntungan tetapi pada masa sama jalan mudah untuk bersedekah. - Gambar hiasan


KERANA merebaknya kes-kes rasuah, yakni kes yang melibatkan pengumpulan perolehan secara menyalahi hukum adat dan hukum agama, maka negara terpaksa menyediakan peruntukkan khas bagi kewujudan agensi khusus iaitu; Biro Pencegahan Rasuah (BPR) yang kini dikenali dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sepatutnya di sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, agensi seperti BPR/SPRM tidak perlu wujud kerana larangan mengaut perolehan secara tidak halal telah termaktub dalam hukum hakam. Misalnya melalui ayat 172 surah Al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang Kami kurniakan kepada kamu.
Bukan sahaja kita umat Islam dilarang memakan dan meminum makanan dan minuman yang tidak halal, malah para rasul sendiri juga dilarang sama. Ini terbukti melalui ayat 51 Surat Al-Mukminin, mafhumnya: Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada makanan yang baik (halal) dan lakukanlah amalan saleh.
Rasulullah SAW pula bersabda, bermaksud: "Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya." (riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)
Mengutamakan kehalalan dalam mengumpul sumber perolehan dan juga dalam pelbagai urusan penting kerana sehebat mana pun kita beribadat kalau apa yang kita makan dan memberi makan kepada isteri dan anak cucu kita bukan daripada punca yang halal, maka ketaatan serta ketakwaan kita akan ada cacatnya, doa kita tidak akan makbul.
Hanya sebutir kurma demikian jadinya kepada Ibrahim Ibnu Ibrahim. Macam mana dengan kita yang menyalahgunakan kuasa mendapatkan kawasan balak atau mengumpul kekayaan secara tidak betul.
Bagaimana dengan kita yang ponteng kerja, yang datang lambat tetapi balik awal sebagai pekerja, yang membuat tuntutan palsu dan sebagainya?
Sempena Ramadan kali ini, marilah sama-sama kita membaiki diri, sama-sama kita berazam untuk nantinya BPR/SPRM tidak perlu wujud kerana tidak ada kerja yang perlu dilakukan kerana kita semua patuh pada hukum hakam dalam mengaut perolehan.

No comments:

Post a Comment