Pages

Tuesday, August 3, 2010

AS tidak tinggalkan sepenuhnya Afghanistan



WASHINGTON 2 Ogos - Walaupun kempen perang Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan mendapat tentangan semakin lantang, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates semalam mengingatkan sebilangan besar askar AS akan terus berada di negara itu selepas pengunduran 'terhad' pada Julai tahun depan.
Angka korban askar AS semakin meningkat di Afghanistan dan rakyat Amerika meragui prospek kejayaan kempen tersebut, namun Gates mendakwa tentera AS dan sekutunya mencapai kemajuan dan pemberontak Taliban tidak akan dapat menunggu sehingga tentera Amerika berundur kerana pengunduran besar-besaran tiada dalam perancangan.
"Saya fikir kita perlu menekankan mesej bahawa kita tidak akan meninggalkan Afghanistan pada Julai 2011," kata Gates yang merujuk kepada tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden Barack Obama untuk memulakan pengunduran.
Gates memberitahu rancangan ABCThis Week, beliau menjangka pengunduran pada peringkat awal adalah dalam bilangan yang terhad.
Ditanya sama ada Taliban boleh 'membiarkan masa berlalu' sehingga tarikh sasaran pertengahan 2011 itu, Gates berkata, beliau akan 'mengalu-alukan sikap tersebut kerana AS akan terus berada di sana pada bulan ke-19 dengan bilangan askar yang ramai'.
Kempen perang itu semakin tidak popular di kalangan rakyat Amerika dan ahli Kongres Demokrat, ekoran angka kematian askar AS yang makin meningkat dan ketiadaan kepercayaan terhadap Presiden Afghan, Hamid Karzai.
Washington juga menghadapi persoalan sama ada ia mampu mendapat kembali sokongan rakyat Afghan dan meyakinkan mereka supaya membelakangkan Taliban tanpa mencorakkan semula Afghanistan mengikut program pembangunan negara yang tidak lagi mahu dijalankan oleh pentadbiran AS.
Obama ketika mempertahankan kempen perang AS memberitahu rancangan Early Show diCBS, matlamat Washington 'agak sederhana' dan AS tidak ada rancangan untuk mengubah Afghanistan menjadi sebuah negara demokrasi ala Barat.
"Apa yang hendak kita lakukan adalah sangat sukar tetapi matlamat itu agak sederhana, iaitu tidak membenarkan pengganas beroperasi dari rantau itu," katanya dalam wawancara yang disiarkan semalam.
Obama yakin matlamat tersebut boleh dicapai.
"Kita boleh menstabilkan Afghanistan secukupnya dan kita boleh mendapat kerjasama secukupnya daripada Pakistan bagi memastikan kita tidak meningkatkan ancaman terhadap negara kita," kata Presiden itu. - AFP

No comments:

Post a Comment