Pages

Wednesday, August 25, 2010

AS bimbang senjata Iran

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan terhadap pendedahan Iran untuk menghasilkan bot laju dan pesawat pengebom tanpa juruterbang, semalam.
Tindakan Iran dianggap hanya akan memakan diri jika negara jirannya bersekutu untuk menentang usaha itu. Iran mengumumkan untuk memulakan pengeluaran dua jenis bot laju dilengkapi peluru berpandu kelmarin, sehari selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad mendedahkan negaranya sudah menghasilkan pesawat pengebom tanpa juruterbang.
“Tindakan Iran itu perlu diberi perhatian bukan saja daripada kami, malah negara jirannya,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Philip Crowley. Menurut Crowley, walaupun setiap negara berhak menyediakan kelengkapan senjata untuk tujuan pertahanan, namun AS prihatin dengan tindakan yang boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara lain di rantau itu.

“Berikutan tindakan Iran yang semakin berani sejak beberapa tahun ini, kami sudah melancarkan kerjasama ketenteraan dengan negara lain di rantau itu,” kata Crowley.

“Sekiranya Iran masih berdegil untuk meneruskan rancangannya itu, tindakannya hanya akan memakan diri kerana negara jiran akan bergabung menentang usahanya,” tambah Crowley.

Menurutnya, AS masih memberi peluang kepada Iran untuk mengadakan rundingan bagi membincangkan mengenai program nuklearnya. “Bagaimanapun, buat sementara waktu, kami akan bekerjasama dengan negara lain di rantau itu bagi memastikan kestabilan dan kemanan di Teluk Parsi,” kata Crowley lagi. - AFP

No comments:

Post a Comment