Pages

Monday, August 9, 2010

Al-Quran berusia 300 tahun





2010/08/09

   ROKIAH   bersama ahli jawatankuasa melihat naskhah al-Quran di Masjid al-Khairiyah, Seberang Perak, kelmarin.
ROKIAH bersama ahli jawatankuasa melihat naskhah al-Quran di Masjid al-Khairiyah, Seberang Perak, kelmarin.
SEBERANG PERAK: Senashkah al-Quran bertulisan tangan dipercayai berusia 300 tahun menjadi kebanggaan Kampung Teluk Baharu di sini dan 300 penduduk kampung berkenaan kerana memiliki khazanah bernilai tinggi. 

Kitab suci itu tersimpan dalam kotak kaca di Masjid al-Khairiyah di kampung berkenaan, berukuran 32 sentimeter (sm) panjang dan 25 sm lebar manakala tebalnya 7 sm.
Dengan gaya penulisan khat raqa'ah ditulis dengan lidi kabung atas kertas separuh licin menggunakan dakwat Cina, kitab suci itu ditulis seorang ulama berasal dari Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh yang hanya dikenali sebagai Sheikh al-Mansor.
Allahyarham yang juga guru agama dan pendakwah dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Allahyarham Datuk Ghazali Arshad, seorang ulama yang juga bekas Mudir Madrasah al-Ghazali Batu 26, Bagan Datoh. 

Allahyarham Sheikh al-Mansor yang menetap di Kampung Teluk Baharu menjadi imam masjid dan guru agama mewakafkan kitab suci tulisan tangannya itu kepada Masjid al-Khairiyah sebelum meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung itu. 

lmam Masjid al-Khairiyah, Nasir Hussein, 71, yang juga generasi kelima keturunan Allahyarham berkata, kitab suci yang lengkap 30 juzuk itu masih boleh dibaca kerana tulisannya masih terang dan jelas selain terdapat keterangan hukum tajwid dalam muqadimmahnya. 

“Kami anggap al-Quran tulisan tangan ini sebagai harta warisan paling berharga kerana sukar diperoleh dan tidak ramai yang ada menyimpan naskhah al-Quran tulisan tangan,” katanya ketika ditemui semalam. 
Nasir berkata, sesiapa saja orang luar yang singgah menunaikan solat di masjid itu akan berpeluang melihat naskhah al-Quran itu yang diletakkan dalam kotak cermin, dan pihak masjid serta penduduk kampung tidak bercadang menyerahkannya kepada Muzium Negara, Arkib Negara atau Jabatan Agama lslam kerana mematuhi wasiat Allahyarham. 

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Badan Amal dan Usaha lsteri Wakil Rakyat (BAIDURI) Parlimen Pasir Salak, Datin Rokiah Abdul Samat bersama ahli jawatankuasanya melihat naskhah al-Quran itu selepas menyampaikan bantuan makanan kepada ibu tunggal di masjid itu, kelmarin.

No comments:

Post a Comment