Pages

Tuesday, August 24, 2010

4 Madu


A. Razak melayani barisan pelakon 4 Madu di kediamannya baru-baru ini.


IKA diimbas kembali filem-filem berkisarkan poligami ketika di era hitam putih, pasti ramai yang terkenangkan filem komedi lakonan Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga.
Elemen lucu ditambah babak suka dan duka yang diketengahkan dalam filem yang turut dibintangi oleh tiga seniwati terkenal, Sarimah (Rohani), Zaharah Agus (Latifah) dan Jah Mahadi (Hasnah) cukup membuatkan filem itu diingati sehingga ke hari ini.
Meneruskan kelangsungan komedi berpaksikan kisah poligami, pengarah yang tidak asing lagi, Profesor Madya A. Razak Mohaideen, pula mengenengahkan bukan dua tetapi Empat Madu (4 Madu).
Dibintangi oleh pelakon komedi terkenal, Saiful Apek, filem dengan kos penerbitan sebanyak RM1.5 juta itu mengetengahkan lelaki kembar seiras bernama Azlan dan Azrul yang masing-masing mempunyai empat orang isteri.
Dijadualkan menemui peminat di pawagam pada 1 Syawal, A. Razak ketika ditemui di majlis meraikan barisan pelakon 4 Madu di kediamannya baru-baru ini menjangkakan filem tersebut bakal mendapat perhatian dan kutipan yang memberangsangkan.
Apatah lagi, senarai pelakonnya yang cukup popular antaranya Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Sazzy Falak, Almy Nadia, Ayu Raudhah, Rosnah Mat Aris, Marsha dan Bienda.
"Filem ini telah disiapkan setahun yang lalu dan sasaran kita memang untuk tayangan pada hari raya. Apa yang menarik tentang filem ini, selain mengetengahkan konsep bermadu, jalan ceritanya ibarat Amazing Race.
"Saiful Apek melakonkan dua karakter kembar seiras iaitu Azlan dan Azrul. Mereka berasal daripada keluarga kaya namun, tidak tahu bahawa mereka kembar.
"Mereka bertemu di sebuah pejabat guaman apabila dipanggil untuk berbincang tentang harta warisan RM50 juta milik ayah mereka. Namun, untuk memiliki harta tersebut, ada syarat yang ditetapkan iaitu mereka harus mengahwini empat wanita yang mempunyai pelbagai latar masalah kehidupan," katanya.
Biarpun disogok dengan elemen komedi dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini termasuklah dalam membina ikatan perkahwinan, nasib wanita-wanita yang mempunyai masalah tersendiri terbela dan tidak diabaikan.
Bagaimanakah wanita-wanita ini mampu berpoligami mengikut konteks Islam yang cuba dipaparkan?
"Kita menjangkakan filem ini akan menjadi antara filem yang tinggi kutipannya memandangkan jumlah pawagam di Malaysia sudah bertambah menjadi 104 buah.
"Setakat ini yang kami tahu 4 Madu akan ditayangkan antara 64 hingga 70 buah pawagam namun, semakin banyak pawagam semakin tinggi peluang untuk pecah panggung," kata A. Razak.
Syawal ini bukan hanya 4 Madu tetapi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) iaitu Senario Asam Garam juga bakal beradu nasib.
Tidak melihat Senario Asam Garam sebagai saingan, jelas A. Razak lebih banyak filem yang dikeluarkan pada hari raya lebih meriah dan ini dapat membantu meningkatkan produktiviti dunia perfileman.
Katanya, dengan pelbagai filem yang ada penonton juga lebih banyak peluang untuk memilih.
"Bagi filem ini, kombinasi pelakon, jalan cerita, lakonan serta situasi komedi itu sendiri salah satu cara untuk menarik minat penonton.
"Selain itu, kita juga ada Saiful Apek yang saya kira salah seorang pelakon komedi yang paling berjaya," kata A. Razak.
Dalam merangka strageti mempromosikan 4 Madu, kes penahanan Saiful Apek yang pernah menggegarkan negara tiga bulan lalu adakah memberi impak kepada filem berkenaan?
Mengulas hal berkenaan kata A. Razak: "Bagi saya itu perkara yang tidak harus dicampuradukkan dalam kualiti lakonan Apek. Apa pun yang terjadi saya cuma berharap agar penonton bijak menilai kerana setakat ini dia tidak lagi disabitkan dengan kesalahan.
"Dia merupakan pelakon komedi yang saya kira paling berjaya setakat ini. Malah, ketika membuat tayangan promosi di universiti, memang sambutan terhadap Apek cukup memberangsangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment