Pages

Monday, July 26, 2010

Tunjuk perasaan anti-Israel di Turki


Penunjuk perasaan membawa sepanduk gambar-gambar aktivis pro-Palestin yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu semasa pasukan bola tampar wanita Israel mengadakan perlawanan dengan pasukan Serbia di Ankara, kelmarin. - AP


ANKARA 25 Julai - Berpuluh-puluh penunjuk perasaan pro-Palestin bergelut dengan polis dekat sebuah dewan di mana pasukan bola tampar wanita Israel bermain dalam perlawanan yang ditutup kepada orang ramai disebabkan ancaman keselamatan.
Pendekatan agak toleran yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap protes itu semalam menggambarkan usaha Turki untuk mengawal kemarahan rakyatnya berhubung kematian sembilan aktivis dalam serangan komando Israel ke atas flotila kapal bantuan Turki ke Genting Gaza pada 31 Mei lalu.
"Jangan jadi anjing Zionis. Kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan," teriak penunjuk perasaan ke arah polis yang menolak mereka dengan menggunakan perisai plastik.
Seorang komander polis cuba memujuk penunjuk perasaan itu menerusi pembesar suara.
"Kawan-kawan, tolong jangan cetuskan kekacauan," katanya.
Turki mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel jika rejim Zionis itu enggan memohon maaf atau mempersetujui siasatan antarabangsa berhubung insiden serangan ke atas flotila itu.
Israel enggan memohon maaf, sebaliknya telah melancarkan siasatannya sendiri.
Polis mengenakan kawalan keselamatan ketat termasuk mendirikan sekatan jalan di sekitar dewan tersebut sepanjang perlawanan yang berakhir dengan kekalahan pasukan Israel kepada Serbia dalam pertandingan Liga Bola Tampar Eropah.
Perlawanan itu hanya disaksikan oleh jurulatih, kakitangan dan sebilangan ahli keluarga pemain setelah polis berjaya mematahkan percubaan aktivis untuk masuk ke dewan dan melaungkan slogan anti-Israel.
Penunjuk perasaan sebaliknya berhimpun dua blok dari dewan, sesetengahnya membawa poster dengan gambar Furkan Dogan, 19, aktivis paling muda yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal Turki, Mavi Marmara itu.
"Mengapa bunuh dan kemudian datang ke sini untuk bermain?" kata seorang penunjuk perasaan, Hanif Sinan. - AP

No comments:

Post a Comment