Pages

Wednesday, July 14, 2010

Tembok aparteid Zionis

OMAR Hajaj berkata, dia akan terkurung seperti 'haiwan dalam zoo' sedikit masa lagi dengan pagar elektrik mengelilingi rumahnya sementara kampungnya di Tebing Barat terkepung tembok aparteid Israel.
Bunyi jentolak sudah menjadi perkara biasa di sekitar kampung Palestin itu sejak kebelakangan ini. Kerja menggali parit besar yang akan diisi dengan tembok tinggi konkrit giat dijalankan.
Selepas beberapa tahun tertangguh, kerja itu akhirnya dilancarkan April lalu untuk membina sebuah lagi 'tembok keselamatan,' bahagian yang akan melengkapkan kepungan terhadap kampung di selatan Tebing Barat itu.

Buat masa ini, penduduk kampung masih mempunyai laluan untuk ke Baitullaham, bandar paling hampir. Tetapi, kemudahan itu akan berakhir tidak lama lagi.

"Ia satu-satunya kampung di Tebing Barat yang akan terkepung sepenuhnya oleh tembok itu," kata Willow Heske, dari kumpulan hak asasi manusia, Oxfam yang berusaha membantu menyuarakan bantahan penduduk kampung berkenaan.

Sejak Perang Asia Barat 1967 berakhir, separuh daripada Kampung Al-Walajah dijajah oleh Israel sebagai sebahagian daripada majlis perbandaran Baitulmaqdis sementara baki sebahagian lagi dikekalkan di Tebing Barat.

Laluan asal sepatutnya memisahkan kampung itu kepada dua, tetapi dengan campur tangan Mahkamah Tinggi Israel, ia diubah untuk memasukkan keseluruhan kampung itu kecuali satu: keluarga Omar.

Apabila tembok itu dibina, ia akan memisahkan hartanah keluarga itu, menyebabkan separuh daripadanya berada di sebelah Al-Walajah dan bakinya, termasuk rumah Omar dan tanahnya seluas sembilan ekar di sebelah Israel.

Ini akan membolehkannya bergerak bebas untuk ke Baitulmaqdis.

Tetapi minggu lalu, pegawai rejim Israel berkata, hartanah Omar akan dikepung oleh sebuah tembok tambahan - pagar elektrik setinggi lima meter.

Satu-satunya jalan ke kampungnya ialah menerusi pagar pada tembok konkrit itu.

Kebimbangan Omar ketika ini ialah nasibnya mungkin sama dengan haiwan dalam zoo.

"Setiap orang yang melihat rumah saya dalam keadaan terkepung akan beranggapan ia sebuah zoo dengan haiwan di dalamnya," kata Omar.

Heske berkata, pagar elektronik itu juga akan menyebabkan dia terputus hubungan dengan kebun zaitunnya dan sebuah perigi yang akan terletak di sebelah Israel.

"Dia sepatutnya menjadi satu-satunya penduduk yang tidak akan terkepung oleh tembok itu. Tetapi, keadaan kini sudah berubah," kata Heske. Ketika ini, tembok itu belum kelihatan, kecuali parit dalam yang memisahkan kampung itu daripada kebun mereka.

Penduduk kampung berkata, kebimbangan utama mereka ialah bagaimana hendak ke Batullaham, bandar tempat mereka bergantung untuk mencari nafkah, mendapatkan penjagaan kesihatan, pelajaran dan perkhidmatan lain.

Ahmad Saleh Barghout, petani berusia 60-an berkata, dia mengemukakan rayuan untuk laluan ke kebunnya yang juga menjadi tempat ibu, bapa dan neneknya dikebumikan.

"Ia tanah perkuburan keluarga. Kami beragama Islam, tetapi adik saya berkahwin dengan wanita Kristian dan itu adalah satu-satu tempat mereka boleh dikebumikan bersama," katanya.

Bendera biru yang dipacakkan menandakan tempat tembok itu akan dibina. Sepanjang laluan itu, beratus-ratus pokok ditumbangkan oleh rejim Israel, termasuk pokok zaitun.

Al-Walajah adalah antara tempat terletaknya pokok zaitun tertua di dunia, dipercayai berusia kira-kira 7,000 tahun.

Penduduk tempatan bimbang pembinaan tembok itu akan melenyapkan sama sekali kampung mereka.

"Semua golongan muda bercakap mengenai hasrat untuk meninggalkan kampung itu dan berhijrah ke Baitullaham, Mereka tidak mahu terperangkap," kata Saleh Helmi.

Dia yang menjadi kampung berkenaan menolak dakwaan tembok itu akan melindungi Israel daripada serangan rakyat Palestin.

"Keputusan untuk menghentikan serangan berani mati adalah keputusan rakyat Palestin bukan Israel.

"Buktinya? Tembok itu masih belum siap sepenuhnya dan tidak ada serangan dilancarkan," katanya.

Rejim Zionis sudah menyiapkan 413 kilometer tembok konkrit daripada 709 kilometer yang dirancang sejak ia mula membinanya pada 2002 berikutan beberapa serangan bom. Apabila siap kelak, 85 peratus tembok itu akan terletak di Tebing Barat.

Enam tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pembinaan tembok itu haram, tetapi Israel tidak mempedulikannya dan meneruskan pembinaan itu.

Israel mendakwa ia amat penting kepada keselamatannya. Tetapi, penduduk Palestin dan masyarakat antarabangsa tahu ia bertujuan merampas tanah milik rakyat Palestin.

"Secara ringkas, tembok itu adalah sebahagian daripada dasar aparteid rejim Zionis," kata ketua perunding Palestin, Saeb Erakat dalam kenyataan yang dibuatnya sempena ulang tahun keenam keputusan ICJ itu.

No comments:

Post a Comment