Pages

Saturday, July 31, 2010

Penduduk Pakistan anggap Amerika musuh



WASHINGTON 30 Julai - Majoriti rakyat Pakistan melihat Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh, menentang kempen perang yang diketuai oleh AS di Afghanistan dan kurang bimbang mengenai ancaman Taliban dan al-Qaeda berbanding setahun lalu.
Walaupun Washington menyalurkan bantuan ekonomi dan ketenteraan berjumlah berbilion-bilion dolar kepada Islamabad, imej AS di Pakistan adalah yang paling negatif di kalangan 22 negara, yang tersenarai dalam tinjauan yang dibuat Pew Global Attitudes Survey 2010.
Tinjauan itu dijalankan dari 13 hingga 28 April lalu dengan meminta 2,000 rakyat Pakistan memberikan pandangan mereka mengenai 22 negara terlibat serta beberapa isu lain.
Sebanyak 59 peratus responden menggambarkan AS sebagai musuh, hanya 17 mempunyai tanggapan positif terhadap AS dan cuma 11 peratus menganggap Washington sebagai rakan, menurut hasil tinjauan yang disiarkan semalam.
Hanya lapan peratus yang mempercayai Presiden AS, Barack Obama akan mengambil langkah yang betul berhubung hal-ehwal dunia, peratusan terendah dalam tinjauan itu, manakala hanya 20 peratus berpandangan positif terhadap Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, merosot daripada 64 peratus dua tahun lalu.
Kebanyakan rakyat Pakistan juga menentang campur tangan AS di Afghanistan, dengan 65 peratus responden mahu tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diundurkan dari negara jiran itu secepat mungkin, dan tidak ramai yang menganggap Taliban dan al-Qaeda sebagai ancaman serius terhadap negara mereka sendiri. - AFP
Hanya 25 peratus berpendapat Pakistan akan menerima kesan buruk jika Taliban kembali berkuasa di Afghanistan, manakala 18 peratus menganggapnya sebagai sesuatu yang positif dan 57 peratus lagi tidak mempunyai pandangan atau menganggapnya tidak membawa apa-apa kesan.
Responden tidak begitu bimbang mengenai kemungkinan Taliban dan al-Qaeda mengambil alih kuasa di Pakistan.
Hanya 54 peratus melihat Taliban sebagai ancaman besar, berbanding 73 peratus pada tahun lepas, sementara cuma 38 peratus menganggap al-Qaeda sebagai ancaman, menurun daripada 61 peratus setahun lalu.
Sebanyak 65 peratus responden mempunyai tanggapan negatif terhadap Taliban dan 53 peratus berpandangan negatif terhadap al-Qaeda.
Majoriti responden juga melihat India sebagai ancaman lebih besar berbanding Taliban atau al-Qaeda. - AFP

No comments:

Post a Comment