Pages

Monday, July 19, 2010

Penantian 7 tahun berbaloi

JITRA: Penantian sepasang suami isteri dari Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan apabila dikurniakan bayi perempuan kembar empat di Hospital Pulau Pinang (HPP), Mei lalu.



BAHAGIA...Mohd Rizal dan Norhayu memangku (dari kanan) Putri Nur Adlina, Putri Nur Adriana, Putri Nur Afina dan Putri Nur Aina.
BAHAGIA...Mohd Rizal dan Norhayu memangku (dari kanan) Putri Nur Adlina, Putri Nur Adriana, Putri Nur Afina dan Putri Nur Aina.


Bagi pasangan Mohd Rizal Shaari, 33, dan Norhayu Mat Hanafi, 29, kelahiran bayi kembar empat itu memang tidak dijangka dan bersyukur kerana dikurniakan empat cahaya mata sekali gus.

Mereka terharu dengan anugerah tidak ternilai itu kerana sudah lama berusaha mendapat zuriat sendiri.

Mohd Rizal yang ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Baru Asun, dekat sini, berkata, mereka terkejut apabila doktor yang melakukan pemeriksaan ketika permulaan isterinya hamil memberitahu bakal mendapat kembar tiga.

“Kami sudah membuat persiapan menyambut ketiga-tiga cahaya mata termasuk membeli pakaian dan peralatan mereka.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila isteri bersalin pada 4 Mei lalu anak kembar empat, namun amat bersyukur dengan anugerah itu.
“Keempat-empat bayi dilahirkan itu tidak cukup bulan menyebabkan mereka ditahan di HPP, tetapi isteri dibenarkan pulang pada 28 Jun lalu manakala semua anak kami dibenarkan keluar pada 1 Julai lalu.

“Kami bersyukur semua kembar sihat dan tidak menang tangan melayan kerenah mereka,” katanya.
Mohd Rizal, juruteknik di sebuah kilang plastik di Pulau Pinang berkata, keempat-empat anak kembar seiras itu diberi nama Putri Nur Adlina seberat 1.2 kilogram (kg), Putri Nur Adriana (900 gram), Putri Nur Afina (1kg) dan Putri Nur Aina (1.1kg).

Sementara itu, Norhayu, suri rumah sepenuh masa berkata, suaminya terpaksa membeli barangan dan keperluan untuk seorang lagi kerana sebelum ini hanya membuat persiapan untuk tiga bayi.

Katanya, mereka berdua puas berusaha mendapatkan zuriat sebelum ini termasuk menggunakan kaedah rawatan moden dan tradisional selain berdoa.

“Pada peringkat awal kehamilan, saya amat risau kerana mengalami alahan serius termasuk kerap muntah dan tiada selera makan.

“Namun, saya bersyukur keempat-empat bayi kami selamat dilahirkan dan sihat.

“Penantian kami selama tujuh tahun untuk mendapat zuriat berbaloi apabila dikurniakan empat anak kembar perempuan yang comel,” katanya yang mahu menambah lagi zuriat pada masa depan.

No comments:

Post a Comment