Pages

Thursday, July 15, 2010

Nyawa panjang: Hidup lepas 2 tahun 'mati'

KOTA BHARU: “Semua ini bagaikan mimpi,” kata Tang Yon Lin, 54, bapa seorang nelayan laut dalam warga China, selepas bertemu anak kandungnya yang terpisah sejak dua tahun lalu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.
Yon Lin yang berasal Wilayah Sichuan, China, bertuah kerana berpeluang menemui semula anaknya, Tang Su Liang, 34, meskipun pemuda berkenaan disahkan kerajaan republik terbabit sudah meninggal dunia.
Difahamkan, dalam kejadian pada 2008 itu, Su Liang yang berkhidmat dengan sebuah syarikat mencari ikan di negaranya dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja mencari ikan di laut dalam.

Berikutan kejadian itu, pelbagai usaha dilakukan syarikat terbabit termasuk melakukan usaha mencarinya di sepanjang perairan Hong Kong hingga ke Taiwan, namun gagal.

Rentetan pengisytiharan pengesahan Su Liang sudah meninggal dunia, seluruh ahli keluarganya mendapat pampasan kira-kira RM50,000 daripada syarikat tempatnya bekerja.

Namun, selepas hampir dua tahun disahkan meninggal dunia, keluarganya mendapat khabar gembira mengenai penemuan Su Liang yang rupanya hampir setahun setengah ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah.

Usaha membawanya keluar dari kawasan terbabit dibuat selepas Jabatan Imigresen Kelantan meminta dua ahli perniagaan membantu mengesan keluarga Su Liang di China.

Yon Lin berkata, dia bagaikan tidak percaya dapat bertemu anaknya yang disahkan meninggal dunia dipercayai lemas ketika mencari ikan di kawasan laut dalam.

“Perasaan saya ketika itu terlalu sedih. Saya terkilan kerana anak disahkan meninggal dunia ketika mencari rezeki di laut dalam. Mahu atau tidak, saya terpaksa menerima hakikat dia sudah tiada.

“Sejak kejadian itu tidak ada sebarang khabar berita diterima daripada syarikat terbabit yang mendakwa gagal mengesannya di kawasan perairan antara Hong Kong dan Taiwan,” katanya.

Menurutnya, selepas anaknya disahkan meninggal dunia, mereka sekeluarga diberikan pampasan bernilai kira-kira 100,000 yuan atau RM50,000 daripada syarikat anaknya bekerja.
“Bagaimanapun, perasaan saya pada hari ini terlalu gembira kerana dapat bertemu kembali anak yang disangka sudah mati dan akan membawanya pulang ke tanah air di Sichuan, China.

“Terima kasih kepada kerajaan negara ini kerana menjaga anak saya dengan baik termasuk memberikan makan yang cukup dan kesihatan sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment