Pages

Saturday, July 17, 2010

Malaysia berjaya tanam padi di gurun Nigeria



SERDANG 16 Julai - Persidangan Perniagaan Agro-Bio Antarabangsa Malaysia ke-6 pada 22 hingga 23 Julai ini antara lain akan mempamerkan kejayaan Malaysia melaksanakan tanaman padi dua kali setahun di kawasan gurun di Nigeria.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Marditech Corporation Sdn. Bhd. (Marditech), Anas Ahmad Nasarudin berkata, pihaknya telah membantu kerajaan Nigeria membina jelapang padi di kawasan kekurangan bekalan air di gurun Sahara, Afrika.
Menurut beliau, dalam projek tersebut pihaknya telah berkongsi pengetahuan dan kepakaran sehingga tanaman padi dua kali setahun boleh direalisasikan di negara itu hari ini.
"Projek tiga tahun di Nigeria itu termasuk membina empangan dan skim pengairan serta pemuliharaan air di jelapang padi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Anas turut memberitahu, persidangan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga akan disertai 30 pakar dan antaranya akan membentang kertas kerja dalam bidang teknologi, pemasaran, industri makanan serta pertanian.
Menurut beliau, peserta dari 10 negara yang mengesahkan kehadiran pada persidangan itu termasuk dari Taiwan, India, Nigeria, Indonesia, Thailand dan Australia.
Katanya, pembentangan kertas kerja juga akan dilakukan saintis Malaysia antaranya Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Normah Omar dan Pakar Pembangunan Industri Ternakan dari Marditech, Jamaluddin Abu Bakar.
Anas turut memberitahu, persidangan yang diadakan sempena Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Ke-11 di PWTC pada 22 Jula hingga 24 Julai itu turut membincangkan cara menyelesaikan masalah dan cabaran yang dihadapi dalam bidang produk makanan.
Katanya, wakil Taiwan, Jilbert Wu pula membentang kertas kerja "Inovasi Baru Dalam Pertanian - Perspektif Taiwan" sementara Murray Hunter dari Australia membincangkan mengenai "Produk Asli Kembali Semula di Masa Hadapan."
Anas memberitahu, persidangan bertema mencipta kekayaan menerusi inovasi anjuran bersama MARDI, Marditech, Expomal International dan Mutiara Sigma itu akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

No comments:

Post a Comment