Pages

Sunday, July 11, 2010

Lara cinta terlarang



DUA kali hamil, Mazni masih gagal mendapat restu keluarga.


PERKENALAN sejak di tingkatan tiga menjadikan hati Mazni, 21, (bukan nama sebenar) cukup menyayangi Johan, 23, (nama samaran) walaupun teman lelakinya itu bukan datang daripada keluarga yang dilimpahi kesenangan sepertinya.
Mula dengan berkawan, kemesraan kemudian menghayutkan perasaan Mazni ke alam percintaan. Biarpun begitu, Mazni bijak menutup rahsia.
Malah, dia tidak pernah leka dengan pelajaran. Buktinya, bekas penuntut sekolah berasrama penuh ini sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
"Saya mula terlanjur pada usia 18 tahun. Ketika itu saya sedang menuntut di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Johan menempah hotel dan kami melakukannya atas dasar cinta," tutur Mazni memulakan bicara.
Dalam masa setahun, tidak mampu diingat berapa kali mereka terlanjur. Tanpa menggunakan sebarang alat pencegahan, Mazni rela tubuhnya dipugar Johan walaupun dia sedar perbuatan terkutuk itu mampu mengundang risiko kehamilan.
"Kerana cinta, saya terdorong untuk melakukannya. Bukan sekali dua, tetapi banyak kali. Saya mula terngadah apabila mendapati saya hamil pada usia 19 tahun.
Mengamuk
"Macam-macam yang saya fikirkan terutama reaksi dan penerimaan keluarga apabila mengetahui saya mengandung tanpa suami," katanya ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan di Selangor baru-baru ini.
Menurut Mazni, keluarga teman lelakinya nyata kesal dengan apa yang berlaku namun mereka masih boleh menerima hakikat itu.
Malah, untuk mengelak daripada terus terjerumus ke lembah zina, keluarga Johan bersedia menikahkan mereka.
Bagi keluarga Mazni, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ibunya sangat kecewa dan menganggap anaknya itu menconteng arang.
Maruah keluarganya yang berpengaruh dirasakan dipalit dengan lumpur yang tidak boleh dihilangkan baunya.
"Ketika kandungan mencecah empat bulan, saya beritahu emak yang saya mengandungkan anak Johan. Emak tak boleh terima.
"Emak mengamuk besar. Dia malu kerana saya sudah conteng arang ke mukanya.
"Katanya, dek perbuatan saya, maruah keluarga yang sebelum ini disanjung, bagaikan dipijak-pijak," katanya yang mengaku nafsu dan cinta mendorong dia menyerahkan mahkota gadisnya kepada Johan.
Jelas Mazni, walaupun beratus kali mengakui keterlanjurannya dan azamnya mahu berubah, ibunya tetap tidak boleh menerima hakikat anak gadisnya itu mengandung anak luar nikah.
"Untuk menutup aib, Johan dan keluarganya datang meminang saya untuk segera dinikahkan namun emak menolak.
"Emak kata, dia tidak akan kahwinkan saya dengan Johan kerana status keluarga yang berbeza.
"Emak orang yang berpengaruh, Johan pula daripada keluarga nelayan. Puas saya pujuk, tetapi emak tetap kata tak boleh.
"Emak juga kata saya masih terlalu muda untuk menjadi isteri dan ibu," katanya.
Cerita Mazni lagi, sehari selepas Johan meminangnya, ibunya membawanya ke sebuah hospital di Ipoh untuk menggugurkan kandungannya.

MAZNI berteduh di sebuah rumah perlindungan kerana tidak mahu keluarganya mengetahui dia hamil sekali lagi.


Darjat
Mazni hanya mengikut kata ibunya demi menjaga hati dan maruah keluarga. Namun, dalam masa yang sama, Mazni masih berhubung dengan Johan biarpun hubungan mereka dihalang keras.
Akibat keterlanjuran itu, Mazni tidak lagi dipercayai oleh keluarganya. Apa yang dilakukannya semuanya tidak betul pada mata ibu serta kakak-kakaknya.
"Hubungan saya dan keluarga mula renggang selepas itu. Syak wasangka emak tak pernah padam walaupun saya bercakap benar.
"Lain benar jika dibandingkan dengan keluarga Johan yang sering menasihati kami supaya tidak mengulangi kesilapan lama.
"Namun, gelora nafsu saya teruji sekali lagi awal tahun lalu. Selepas dua tahun menggugurkan kandungan, saya sekali lagi didapati mengandung kali kedua, juga hasil hubungan dengan Johan," katanya.
Enggan mengambil risiko dibenci sekali lagi oleh keluarga, Mazni mengambil keputusan untuk menyembunyikan kandungannya daripada pengetahuan mereka. Hanya Johan dan keluarganya yang diberitahu.
"Johan dan keluarga masuk meminang saya untuk kali kedua beberapa bulan lalu, jawapannya masih sama. Emak tetap dengan pendiriannya tidak mahu menerima Johan.
"Untuk mengelak malu, saya meminta cuti tanpa gaji daripada majikan dan kakak Johan menghantar saya ke mari (rumah perlindungan)," ujarnya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu butik di Kuala Lumpur.
Mazni hanya mahu merayu supaya emaknya dapat menerima Johan dan merestui hubungan mereka.
"Johan daripada keluarga sederhana, namun dia mampu membuktikan dia juga boleh bertanggungjawab ke atas saya.
"Dia kini sedang menjalani kursus di luar negara untuk diserapkan ke jawatan tetap dan akan kembali pada Januari 2011.
"Saya sangat berharap emak dan ahli keluarga yang lain dapat menerima hubungan kami.
"Sesungguhnya, saya tekad mahu berubah. Saya tidak mahu lagi terlibat dalam maksiat ini. Namun, saya juga mohon pengertian daripada keluarga.
"Restuilah hubungan kami supaya kami dapat menjalani hubungan halal yang lebih diberkati selepas ini.
"Saya berdoa, Allah lembutkan dan bukakan hati emak dan keluarga. Jangan hanya kerana status Datuk dan Datin itu, mereka sanggup melihat anak mereka terus bergelumang dengan dosa," ujar Mazni penuh mengharap.

No comments:

Post a Comment