Pages

Sunday, July 25, 2010

Korea Utara ancam guna nuklear


SEOUL 24 Julai - Korea Utara hari ini mengancam untuk menggunakan 'pencegahan nuklear berkuasa tinggi' sebagai respons kepada latihan bersama tentera laut Korea Selatan-Amerika Syarikat (AS) ketika ketegangan semakin meningkat berikutan insiden kapal perang Seoul yang karam Mac lalu.
"Korea Utara bersedia untuk satu tindakan balas perang," kata Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan (NDC) yang dipengerusikan oleh pemimpin tertinggi, Kim Jong-Il dalam satu kenyataan yang dilaporkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
AS dan Korea Selatan mengumumkan satu latihan bersama tentera laut yang bermula esok, dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai cubaan mencegah perlakuan agresif Korea Utara.
"Semua tindakan ini tidak bermaksud apa-apa kecuali provokasi bertujuan menyekat Korea Utara menggunakan tentera bagi pelbagai tujuan dan maksud.
"Tentera dan rakyat Korea Utara akan menggunakan pencegahan nuklear berkuasa tinggi untuk membalas latihan perang nuklear terbesar yang akan dijalankan AS serta tentera boneka Korea Selatan," lapor NDC.
Ulasan itu dibuat selepas Korea Utara semalam mengancam untuk melaksanakan satu 'respons fizikal' terhadap latihan ketenteraan itu ketika AS menuduh Pyongyang melancarkan kempen provokasi.
Topik berkaitan perang menguasai forum sidang kemuncak keselamatan Asia Pasifik di Hanoi yang dihadiri Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Menteri Luar Korea Utara, Pak Ui-Chun semalam.
Ketegangan kian memuncak di semenanjung Korea berhubung kejadian kapal perang Korea Selatan yang karam Mac lalu, meragut 46 nyawa.
Korea Selatan dan AS menuduh Korea Utara melancarkan torpedo, mengakibatkan kapal perang itu karam berhampiran sempadan Laut Kuning yang menjadi pertikaian.
Dalam satu pertunjukan kekuatan, dua negara sekutu itu mengumumkan satu latihan tentera laut bersama bermula esok melibatkan 200 pesawat dan 20 kapal termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat di Laut Jepun.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan ia adalah yang pertama dalam kira-kira 10 siri latihan tentera laut yang akan berlangsung selama beberapa bulan.
Pyongyang menafikan pembabitan dalam insiden kapal perang Cheonan yang karam dan telah memberi amaran perang sekiranya ia dihukum, memetik kenyataan Majlis Keselamatan PBB pada 9 Julai lalu yang mengutuk serangan tersebut namun tidak menyatakan dalangnya.
China selaku sekutu kuat Korea Utara juga menentang latihan ketenteraan tersebut dan meminta semua pihak bertenang.
Jepun bagaimanapun memberi sokongan malah menghantar empat pemantau tentera.
AS turut mengumumkan lebih banyak sekatan bagi menghalang Korea Utara dari menjual senjata nuklearnya atau sebarang bahan berkaitan. - AFP

No comments:

Post a Comment