HULU TERENGGANU 28 Julai - "Kehidupan saya amat sengsara di sana, pernah juga tidak makan dan paling menyedihkan apabila anak saya juga terpaksa mengikat perut menahan kelaparan."
Itu luahan Ku Faridah Ku Man, 33, wanita dari Kampung Kuala Pueh dekat sini yang berjaya dibawa balik selepas tujuh tahun melarikan diri bersama suaminya ke Mataram, Lombok, Indonesia.
Episod 'cinta Lombok' Ku Faridah bermula apabila dia mengenali seorang lelaki dikenali sebagai Rosman, 35, pada tahun 2000 ketika dia ke Johor untuk menetap bersama seorang adiknya yang bekerja di negeri itu.
Setelah tiga tahun mengenali lelaki itu, dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pemuda berkenaan walaupun mendapat bantahan keluarga dan kemudian terus melarikan diri ke Lombok bersama pemuda tersebut yang ketika itu telah menjadi suaminya.
Namun kebahagiaan yang diharapkan berpanjangan tidak tercapai apabila dia yang mempunyai tiga anak bersama lelaki terbabit ditinggalkan dua tahun bermula 2008 di perkampungan itu sebelum diceraikan kira-kira empat bulan lalu.
Menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, wanita itu yang bercucuran air mata mengakui kehidupannya amat sengsara di Lombok hingga menyebabkan dia membuat keputusan nekad mahu pulang ke Malaysia.
Tambahan pula, jelasnya, dia tidak dapat menahan kesedihan setiap kali memandang wajah anaknya yang sering kelaparan.
"Saya bekerja di sebuah kilang tembakau dengan pendapatan 20,000 rupiah atau RM6 sehari dan saya tidak mampu tanggung tiga orang anak setelah ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurutnya, paling menyedihkan apabila dia dihalau dari rumah keluarga mertua dan terpaksa menumpang di rumah jiran sehingga anak-anak sering kelaparan.
"Setiap kali waktu makan, anak akan bertanya lauk apa yang ada hari ini dan saya menggeleng kepada tanda tiada lauk.
"Ekoran itu anak sulung saya mula berjalan di kampung-kampung berdekatan untuk mencari majlis kenduri bagi membolehkannya mendapat makanan percuma untuk dibawa pulang," katanya.
Katanya, akibat kesempitan hidup, dia dan anaknya terpaksa menumpang di sebuah rumah milik ibu angkatnya yang tiada bekalan elektrik serta air sebaliknya menggunakan pelita menerangi rumah itu setiap malam.
Jelasnya, dia dan anak-anaknya juga pernah tidak mandi berhari-hari kerana tiada bekalan air memandangkan tempat mengambil air terlalu jauh dari rumahnya.
"Rumah kami hanya diterangi dengan pelita dan ia juga diguna secara terhad manakala untuk mandi saya perlu menumpang di rumah jiran atau terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk mandi.
"Saya juga pernah bekerja dari awal pagi hingga awal pagi keesokan harinya bagi membolehkan saya mendapat wang lebih bagi menampung perbelanjaan seharian," ujarnya.
Mengenai layanan keluarga mertuanya, dia berkata, dua tahun pertama di sana mereka melayannya dengan baik namun berubah selepas difitnah oleh iparnya sehingga menyebabkan hubungan keluarga retak, lalu dia dan anaknya dihalau dari rumah.
"Selepas kejadian tersebut, suami juga berubah dan kemudian terus meninggalkan saya ketika sedang mengandungkan anak ketiga.
"Selepas dua tahun ditinggalkan saya nekad bercerai dan mahu pulang ke Malaysia.
"Sebelum ini saya tidak dapat berbuat demikian kerana suami tidak membenarkan saya menghubungi keluarga di Malaysia selain merampas telefon bimbit," katanya.
Ku Faridah yang sebak ketika ditanya mengenai tiga anaknya yang tidak dapat pulang bersamanya, memberitahu, dia berjanji akan mengambil ketiga-tiga anaknya itu kelak.
"Saya sudah serik ke sana lagi dan tidak mahu menyusahkan keluarga di sini namun saya tetap akan membawa pulang anak saya itu," ujarnya.
Tiga cahaya matanya bersama Rosman iaitu Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4, dan Dewi Helen Fiona,2, kini diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta.
Ku Faridah juga mempunyai dua anak lagi iaitu Wan Mohd. Haiman Harit Wan Mohd. Hilmi, 13, dan Wan Mohd. Hazwan, 11, hasil perkahwinan terdahulunya dengan rakyat tempatan.
No comments:
Post a Comment