Pages

Monday, July 26, 2010

Israel tolak siasatan PBB terhadap serangan flotila


BAITULMAQDIS 25 Julai - Israel hari ini menolak langkah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melancarkan siasatan berhubung serangan komando rejim Zionis Israel ke atas flotila kapal bantuan menuju ke Genting Gaza, pada 31 Mei lalu.
Tel Aviv mendakwa panel itu berat sebelah.
"Panel pakar itu bukan bertujuan mencari kebenaran tetapi untuk memuaskan kehendak negara-negara yang menguasai Majlis Hak Asasi Manusia dan majoritinya anti-Israel," kata seorang pegawai kanan Israel.
Beliau membuat kenyataan tersebut dua hari selepas badan PBB itu melantik panel pakar untuk menyiasat sama ada operasi komando Israel yang berkesudahan dengan sembilan aktivis Turki ditembak mati melanggar undang-undang antarabangsa atau tidak.
Panel yang terdiri daripada bekas pendakwa raya PBB, Desmond de Silva dari Britain, serta Mary Shanthi Dairiam dari Malaysia dan Karl Hudson-Phillips dari Trinidad dan Tobago akan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku semasa serangan pada 31 Mei itu.
"Siasatan ini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk mengenal pasti fakta-fakta kejadian kerana insiden tersebut merupakan tragedi kemanusiaan dan siasatan ini untuk kepentingan semua pihak," kata Presiden Majlis Hak Asasi Manusia, Sihasak Phuangketkeow kelmarin.
Meskipun Israel belum memberi jawapan rasmi terhadap permintaan majlis itu untuk mendapatkan kerjasama, kerajaan rejim Zionis Israel dijangka enggan mengadakan sebarang hubungan dengan panel tersebut.
Israel menolak desakan supaya siasatan bebas antarabangsa dilancarkan mengenai serangan itu dan sebaliknya telah mengadakan dua siasatan dalaman.
Komando yang terlibat dalam serangan itu mendakwa, mereka hanya menggunakan kekerasan selepas diserang oleh aktivis sebaik-baik sahaja mereka terjun dari helikopter ke atas geladak kapal Turki, Mavi Marmara di perairan antarabangsa.
Namun, aktivis pro-Palestin di dalam kapal itu berkata, komando tentera laut Israel melepaskan tembakan sebaik-baik sahaja mereka menaiki kapal itu.
Majlis Hak Asasi Manusia yang terdiri daripada 47 anggota itu mengutuk serangan tersebut dalam sidang tergempar yang diadakan dua hari selepas serangan tersebut dan memutuskan untuk mendirikan sebuah suruhanjaya siasatan.
Panel itu dijadual mengemukakan hasil siasatannya pada pertengahan September ini. - AFP

No comments:

Post a Comment