Pages

Tuesday, July 27, 2010

Israel musnahkan terowong Palestin


GAZA CITY 26 Julai - Pesawat pejuang Israel melancarkan peluru berpandu ke arah beberapa sasaran di Genting Gaza hari ini, merosakkan rangkaian terowong di sepanjang sempadan antara wilayah Palestin itu dengan Mesir.
Pegawai keselamatan Palestin berkata, Israel melancarkan empat serangan awal pagi ini iaitu dua di kawasan sempadan, satu di tengah Gaza dan satu lagi di utara.
Tiga terowong penyeludupan rosak teruk dalam serangan itu, walaupun tiada sesiapa cedera dalam bedilan tersebut, kata pegawai keselamatan Hamas.
Pesawat pejuang Israel turut membedil sebuah rumah kosong di Beit Hanun, utara Gaza serta sebuah kawasan lapang di Nusseirat, ke selatan bandar ini.
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, serangan-serangan itu ditujukan ke atas sebuah bengkel membuat senjata di utara Gaza dan dua terowong penyeludupan senjata di selatan wilayah itu.
Serangan tersebut dilancarkan selepas pejuang Palestin di Gaza melancarkan empat roket ke arah selatan Israel pada hujung minggu lalu.
Angka yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan lebih 100 roket atau tembakan mortar dilepaskan ke arah wilayah Israel sejak awal tahun ini.
Pada Disember 2008, Israel melancarkan perang selama 22 hari ke atas Gaza dalam usaha menyekat tembakan roket Hamas dari wilayah itu. Perang itu meragut nyawa 1,400 penduduk Palestin dan 13 rakyat Israel.
Sejak perang itu berakhir, pejuang Palestin telah melancarkan lebih 350 roket atau peluru mortar ke Israel, menurut tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment