Pages

Saturday, July 24, 2010

Facebook cemar bahasa Thai




2010/07/24

BANGKOK: Laman perkongsian sosial, Facebook dan Twitter dipersalahkan di atas kemerosotan kemahiran bahasa di kalangan pelajar Thailand menyebabkan Kementerian Kebudayaan menyarankan supaya kelompok itu beralih kepada komunikasi tradisional lama iaitu penulisan surat. 

Satu kajian kebangsaan dijalankan kementerian itu mendapati empat daripada 10 remaja Thailand berpendapat bahasa Thailand rasmi hanya perlu digunakan dalam perkara rasmi. Manakala kira-kira satu pertiga daripada remaja di negara itu tidak mengambil kira mengenai salah ejaan, kependekan atau kesalahan tatabahasa yang biasa digunakan dalam teks mesej atau perbualan media sosial.“Kita perlu memelihara bahasa kebangsaan. Jika tiada siapa melihat kepentingannya, kita akan musnah,” kata menteri kebudayaan, Nipit Intarasombut kelmarin ketika mengumumkan keputusan kajian berkenaan.
“Menulis dalam Facebook, Twitter dan mesej telefon bimbit mencemarkan bahasa berkenaan,” katanya yang dipetik akhbar Thai Post. Beliau berkata perlu lebih banyak dilakukan untuk menggalakkan penulisan surat cara lama. 

“Pada masa sekarang, kanak-kanak tidak lagi menulis surat. Mereka lupa cara betul untuk menulis.” 

Kajian pendapat itu membabitkan 6,500 remaja berusia 13 tahun ke atas di seluruh negara. 

Kenyataan beliau itu dibuat sempena hari bahasa kebangsaan Thailand yang diraikan pada 29 Julai setiap tahun. 
“Kadangkala saya tidak memahami apa yang dikatakan remaja Thailand dalam bahasa ibunda mereka sendiri,” kata menteri kebudayaan itu. 

“Tetapi tugas kita sebagai kerajaan adalah untuk memelihara bahasa Thailand.” – AP 

No comments:

Post a Comment