Pages

Tuesday, July 27, 2010

Duch dihukum penjara 30 tahun


PHNOM PENH 26 Julai - Sebuah mahkamah jenayah perang Kemboja, tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas bekas ketua penjara Khmer Rouge atas peranannya dalam kekejaman 'Padang Pembunuhan' semasa era rejim komunis itu pada akhir 1970-an.
Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch ialah kader Khmer Rouge pertama yang didapati bersalah oleh tribunal antarabangsa berhubung kematian lebih dua juta penduduk negara ini akibat kebuluran, dikerah bekerja terlalu teruk dan hukuman mati di tangan rejim tersebut.
Duch, 67, pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 35 tahun tetapi mahkamah mengurangkannya selepas memutuskan dia telah ditahan secara haram selama lima tahun sebelum tribunal tajaan PBB itu ditubuhkan.
Lelaki itu memohon maaf semasa perbicaraannya di Phnom Penh kerana menyelia pembunuhan kira-kira 15,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak di penjara Tuol Seng, juga dikenali sebagai S-21, tetapi menggemparkan mahkamah pada November lalu dengan meminta dibebaskan.
Bekas guru matematik itu didapati bersalah atas beberapa tuduhan termasuk jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
"Peranan tertuduh sebagai ketua S-21 disahkan oleh pengakuan tertuduh sendiri, keterangan saksi dan pihak-pihak awam," kata ketua hakim, Nil Nonn semasa membacakan keputusan.
Katanya, setiap individu yang ditahan di S-21 sudah diputuskan akan menjalani hukuman mati mengikut dasar Parti Komunis Kampuchea untuk menghapuskan semua musuh.
Tuol Seng menjadi pusat jentera keselamatan Khmer Rouge dan beribu-ribu tahanan dibawa dari situ untuk menjalani hukuman mati di sebuah dusun berhampiran yang dijadikan 'Ladang Pembunuhan'.
Ramai penduduk Kemboja termasuk mangsa yang terselamat dan sami Buddha hadir di mahkamah khas di pinggir Phnom Penh itu, dengan harapan untuk melihat keadilan dilaksanakan bagi jenayah Khmer Rouge semasa pemerintahannya pada 1975-1979.
Pendakwa raya sebelum itu meminta mahkamah yang tidak ada kuasa untuk mengenakan hukuman mati menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun ke atas Duch. - AFP

No comments:

Post a Comment