Pages

Friday, July 16, 2010

Dibuang tepi jalan

KANGAR: Nasib seorang remaja berusia 13 tahun tidak ubah seperti kucing kurap apabila dibuang abang angkatnya dalam kegelapan malam di tepi jalan di Tambun Tulang, dekat sini.

MAKLUMAT...Ku Chik (kanan) menyoal Zulkarnain.
MAKLUMAT...Ku Chik (kanan) menyoal Zulkarnain.
Remaja yang dipanggil dengan nama Zulkarnain oleh keluarga angkatnya berkata, dia buntu dan hilang arah tuju selepas diperlakukan sedemikian kerana itu kali pertama melihat dunia luar kerana selama ini dia tidak dibenarkan keluar rumah serta tidak bersekolah.

“Abang angkat membuang saya di tepi jalan dan dalam keadaan gelap, saya terpandang cahaya lampu di sebuah rumah sebelum mengejutkan pemiliknya untuk tumpang bermalam di situ,” katanya pada sidang media di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengarah JKM negeri, Ku Chik Ku Md Esa.

Menurutnya, kejadian berlaku pada malam 20 Mei lalu dan selepas diberi kebenaran menumpang tidur di rumah berkenaan, keesokannya tuan rumah itu membawanya ke balai polis sebelum dia diserahkan kepada JKM.

Bercerita lebih lanjut mengenai kejadian malam berkenaan, Zulkarnain berkata abang angkat yang memeliharanya sejak kecil memberitahu mahu membawanya keluar bersiar-siar menaiki kenderaan pikap.

Menurutnya, abang angkatnya berhenti di satu kawasan gelap di tepi jalan dan memaklumkan tayar kenderaannya pancit sebelum mengarahkannya keluar untuk sementara.
“Sebaik keluar, abang angkat terus memecut kenderaan meninggalkan saya seorang diri di kawasan itu. Itu kali pertama saya melihat dunia luar selepas terkurung dalam rumah keluarga abang angkat dan saya tidak mengetahui lokasi rumah itu sejak kecil,” kata remaja yang boleh dianggap misteri itu.

Zulkarnain bukan saja tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, malah turut gagal memberi maklumat mengenai identiti keluarga angkatnya termasuk lokasi kediaman keluarga berkenaan walaupun sudah 13 tahun menetap di sana.
Katanya, keadaan itu disebabkan sepanjang menginap di rumah keluarga angkatnya, dia tidak pernah belajar atau bersekolah, sebaliknya hanya disuruh melakukan kerja rumah selain tidak dibenarkan keluar atau bergaul orang luar kecuali dengan lima beranak yang tinggal di rumah itu yang juga tidak diketahui nama mereka.

Menurutnya, dia langsung tidak mempunyai maklumat mengenai keluarga angkatnya itu termasuk alamat atau nama pasangan yang memeliharanya yang hanya dikenali dengan panggilan pak cik dan mak cik.

Malah, dua anak lelaki pasangan terbabit juga hanya dikenali dengan panggilan ‘abang nombor satu’ dan ‘abang nombor dua’ manakala anak perempuannya pula bernama Noriza.

“Apa yang saya tahu, semua mereka bertutur dalam bahasa Siam dan hanya menggunakan bahasa Melayu ketika bercakap dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Ku Chik berkata, Zulkarnain kini ditempatkan di bawah jagaan JKM sejak dua bulan lalu melalui perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Jagaan Kanak-kanak 2001 sementara menunggu tindakan lanjut.

“Kami sukar mengesan keluarga angkat Zulkarnain kerana ketiadaan pengenalan diri dan kanak-kanak ini juga gagal memberikan sebarang maklumat untuk membantu usaha berkenaan.

“Justeru, kami minta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu terutama keluarga angkat Zulkarnain untuk membolehkan JKM menguruskan tindakan sewajarnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment