Pages

Friday, July 16, 2010

Bapa saman tiga anak lelaki RM2 juta




BAHAROM menunjukkan dokumen saman terhadap tiga orang anak lelakinya di Mahkamah Sivil Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Perebutan harta pusaka antara anak-beranak menyebabkan tiga bersaudara didakwa sanggup menipu dan mengurung bapa kandung mereka bagi memaksa warga emas itu menandatangani surat akuan menyerahkan dua lot tanah tiga tahun lalu.
Trauma dengan kejadian itu, bapa malang itu, seorang bekas pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyaman ketiga-tiga anak lelakinya dan menuntut ganti rugi RM2 juta demi menuntut kembali haknya selain membela nasib dirinya.
Plaintif, Baharom Long, 85, hadir memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi peguam Muhd. Azmi Talib.
Dalam writ saman tersebut, Baharom menamakan tiga anak lelakinya iaitu Md. Hanafiah, 55, Zakariah, 52, dan Musa, 50, sebagai defendan.
Plaintif bagaimanapun mempunyai dua orang anak lelaki lain iaitu Roslan, 48, dan Azizan, 44.
Berdasarkan pernyataan saman tersebut, plaintif mendakwa, pada November 2007, dirinya dikurung di salah sebuah rumah defendan dan dipaksa oleh defendan menandatangani surat yang tidak diketahui isi kandungan.
Bagaimanapun, dakwa plaintif lagi, selepas memperoleh salinan surat tersebut, dia mendapati surat itu merupakan surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri, Maimunah Husin yang telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.
Menurut plaintif, dua lot tanah yang menjadi rebutan defendan terletak di Selayang Baru dan Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini.
Plaintif mendakwa, kesemua defendan secara bersama atau berasingan menipu dan memanipulasi kedudukannya sebagai pemilik tanah bagi memaksa dirinya menandatangani surat akuan bertarikh 3 Disember 2007.
Plaintif seterusnya mendakwa, kesan perbuatan kesemua defendan yang merupakan anak-anaknya, dirinya mengalami trauma yang serius, sentiasa dalam ketakutan apabila berada seorang diri malahan menjadikan dirinya seorang yang prejudis.

No comments:

Post a Comment