Pages

Wednesday, July 28, 2010

AS buru pembocor dokumen


Pendedahan WikiLeaks sukarkan strategi perang Pentagon di Afghanistan

WASHINGTON: Pentagon kelmarin melancarkan usaha mencari dalang yang membocorkan puluhan ribu dokumen rahsia rasmi mengenai peperangan di Afghanistan, salah satu pelanggaran undang-undang keselamatan terbesar dalam sejarah tentera di Amerika Syarikat. 

Pegawai pertahanan AS berkata, dalang di sebalik pengeluaran kira-kira 91,000 dokumen rahsia rasmi itu nampaknya mempunyai kebenaran rahsia dan capaian kepada dokumen sensitif mengenai peperangan Afghanistan.Lebih banyak kebocoran mungkin berlaku, kata pegawai.
Kami akan melakukan apa yang perlu dan cuba menentukan siapa bertanggungjawab bagi kebocoran maklumat ini, kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Geoff Morrell. 

Sehingga kami tahu siapa bertanggungjawab, anda boleh menjangka ada lagi maklumat yang masih belum dikeluarkan, katanya. 

Pentagon berkata kajiannya mengenai dokumen yang disebarkan oleh laman web WikiLeaks akan mengambil masa beberapa hari, mungkin beberapa minggu dan agak terlalu awal untuk menilai kesannya kepada keselamatan nasional. 

Namun, pegawai tentera AS cuba meredakan sebarang pendedahan dokumen itu setakat ini. 
Amaran pihak tentera mengenai kemungkinan misi mereka gagal tahun lalu mendorong Presiden Barack Obama membuat keputusan pada Disember untuk menempatkan 30,000 anggota tambahan di Afghanistan. 

Antara dokumen yang didedahkan mengandungi laporan bahawa pegawai AS di Afghanistan mengesyaki Pakistan memberi sokongan kepada Taliban secara rahsia dan pada masa sama menerima bantuan Amerika. Dokumen itu boleh menyebabkan strategi peperangan Obama di Kongres disangsi ketika meningkatnya angka kematian. 

Pentagon enggan menamakan suspek berhubung pembocoran itu tetapi juga enggan menolak kemungkinan pembabitan seorang pakar ketenteraan yang sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan membocorkan maklumat berkaitan peperangan Iraq kepada WikiLeaks. 

Pakar ketenteraan, Bradley Manning dituduh awal bulan ini berhubung video rahsia yang menunjukkan satu serangan helikopter pada 2007 mengorbankan berpuluh-puluh orang di Iraq, termasuk dua wartawan Reuters. Dia juga dituduh memuat turun kabel Jabatan Negara ke komputer peribadinya. 

Morrell berkata, beliau tidak tahu apa akan berlaku di sini. 

Kita sedang memasuki dunia baru iaitu sebuah pertubuhan yang tidak dimiliki oleh sesiapa, mendapat maklumat daripada orang lain di seluruh dunia dan kemudian menyiarkannya, katanya. Reuters 

No comments:

Post a Comment