Pages

Tuesday, June 15, 2010

Si cilik pintar, terang hati


KUALA LUMPUR: Pertuturannya mungkin kurang sempurna, namun Darwisya Adriana Rozali yang baru berusia tiga tahun lapan bulan sudah mampu menghafaz 30 surah pendek dalam al-Quran.

BIJAK...Darwisya Adriana (kiri) mengajar  Darwish Adrian mengaji.
BIJAK...Darwisya Adriana (kiri) mengajar Darwish Adrian mengaji.
Malah, si comel itu juga adakala mengajar adiknya, Darwish Adrian, 2, mengaji manakala Darwish Adrian sendiri sudah boleh menghafaz surah al-Waqiah walaupun hanya mampu membaca pada hujung ayat.

Menurut ibu dua beradik ini, Mazlina Ramli, lewat 30-an, ketika berusia dua tahun lapan bulan, Darwisya Adriana sudah menghafaz lapan surah pendek dan pada usia tiga tahun dua bulan, dia sudah boleh menghafaz 30 surah pendek.

Kata Mazlina, kelahiran Darwisya tiada beza dengan bayi lain, malah dia sendiri tidak mengalami sebarang alahan atau tanda pelik. Anak sulungnya itu sendiri lambat berjalan dan bertutur.

“Namun, sejak usia enam bulan, saya sudah mendedahkannya ayat al-Quran menerusi cakera padat video (VCD) surah al-Furqan,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Mazlina yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, setiap pagi anaknya diperdengarkan bacaan al-Quran terlebih dulu sebelum mereka mula menonton televisyen.

Pada waktu malam, dia mengambil masa 30 minit sehingga satu jam untuk mengajar anaknya mengaji mengikut kaedah Iqra’.

Baginya, tiada rahsia besar di sebalik keupayaan anak-anaknya itu kerana semua ibu boleh memiliki anak seperti Darwisya Adriana asalkan ia disertai teknik pembelajaran tepat.

“Asalnya saya mahu menghantar anak saya mengaji al-Quran di tempat yang menyediakan perkhidmatan itu, namun tiada seorang pun yang sanggup mengajar Darwisya Adriana yang ketika itu baru berusia setahun.

“Justeru, saya mula mencari kaedah sesuai mengajar anak bermula daripada lahir sehingga usia tiga tahun,” katanya.

Mazlina menggunakan set buku dan VCD Al-Furqan bermula sejak bayi sehingga kedua-dua anaknya mengenal huruf dan boleh membaca.

Selepas set berkenaan habis dibaca, dia menyambung kepada buku Iqra’ jilid satu hingga enam dan untuk hafazan, dia menggunakan kaedah Al-Huffaz iaitu buku hafazan untuk satu juzuk dalam satu set.

“Untuk membiasakan dengan sebutan yang betul dan tajwid sempurna, saya selalu memperdengarkan pada mereka bacaan al-Quran daripada VCD pada setiap pagi dan Maghrib.

“Dia sendiri akan tahu bacaannya salah kerana selalu mendengarnya daripada VCD,” katanya.

Kemampuan Darwisya Adriana turut diuji Akademi Darul Huffaz yang terletak di Kajang serta mendapat sijil hafazan 30 surah terakhir daripada akademi terbabit.

“Tentunya ini satu pencapaian yang amat membanggakan saya. Saya berharap anak saya dapat khatam al-Quran sebelum usianya mencecah empat tahun,” katanya.

Mazlina juga amat mementingkan pemakanan untuk anak-anaknya kerana makanan yang terjamin halal wajib untuk penghafaz al-Quran.

Antara makanan yang biasa diberikan untuk anaknya ialah kacang badam, kismis, kurma, madu, habbatus sauda, buah zaitun dan air yang dibaca dengan surah Taha.

No comments:

Post a Comment