Pages

Thursday, June 10, 2010

Rindu urus jenazah

RUTIN hariannya memandi, mengafan dan menyembahyangkan jenazah. Malah, semua jenis mayat diuruskannya — daripada mayat hancur, reput, berulat, putus kepala, tangan dan kaki hingga kepada penghidap Aids.
Justeru, tidak hairan lelaki berusia 24 tahun itu berasa seperti ada kekurangan jika tidak dapat melakukan tugasnya pada hari tertentu. Itulah keistimewaan Imam Masjid Aminah Al-Muhairi, Petaling Jaya Mohamad Hazli Halim.
Selain bertugas sebagai imam muda, pemuda berasal dari Kampung Tanjung Musang, Langgar, Kedah itu, memilih kerjaya menguruskan jenazah sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.

Menurut Mohamad Hazli, dia memilih melakukan pekerjaan itu atas dasar minat, suka membantu orang, sekali gus memenuhi tuntutan fardu kifayah.

“Pada usia 15 tahun, saya mula menguruskan jenazah dengan membantu imam masjid di kampung saya. Ketika berusia 18 tahun, saya mula serius melakukan pekerjaan itu di kampung hingga pada usia 21 tahun. Ketika bertugas sebagai imam di Petaling Jaya, saya memilih untuk membantu menguruskan jenazah di sebuah hospital yang memerlukan saya sentiasa bersedia 24 jam sehari.

“Disebabkan setiap hari memandikan jenazah, saya berasa seperti ada kekurangan dalam menjalani rutin harian jika tidak melakukan pekerjaan itu, malah ada perasaan rindu dan berasa kosong jika tidak menguruskan jenazah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad baru-baru ini.

Secara purata, Mohamad Hazli menguruskan 20 jenazah sebulan sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh berkenaan dia menguruskan lebih 500 jenazah.

Selain mengendalikan mayat di hospital, Mohamad Hazli melaksanakan tugas menguruskan jenazah di syarikat pengurusan jenazah Bumiputera, Darul Jenazah yang beroperasi di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Antara kes sukar dilupakan sepanjang tiga tahun lalu ialah mayat warga asing yang hancur selepas dihempap konkrit tahun lalu.

“Menguruskan mayat seperti itu umpama membersihkan daging yang dipotong-potong. Perasaan ngeri memang ada, tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk menyempurnakannya dengan sebaik mungkin.

“Selain mayat hancur, saya biasa memandikan mayat reput, berulat dan berbau busuk manakala dagingnya lembik. Saya perlu berhati-hati memandikan mayat seperti itu. Kadangkala apabila disiram air, kulit mayat tertanggal. Ia perlu dikutip dan disempurnakan,” katanya.

Hazli mengakui sudah lali dengan bau busuk mayat, malah tidak menggunakan topeng penutup mulut ketika memandikan mayat seperti itu.

“Bau busuk memanglah lumrah, tetapi saya biasakan diri dan tidak terlalu memikirkannya (bau busuk itu). Saya hanya fikir, ini tugas saya dan saya perlu melaksanakannya,” katanya.

Tugas menguruskan jenazah turut memerlukan dia memastikan jenazah yang diuruskan sempurna. Kadangkala ada mayat yang darahnya tidak berhenti mengalir.

“Saya akan berusaha memastikan ketika dikafankan keadaannya sempurna tanpa ada darah lagi. Begitu juga mayat yang tidak sempurna seperti muka hancur dan putus anggota badan, saya akan pastikan apabila dikafan, jenazah itu elok keadaannya.

“Ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang bukan saja diperoleh menerusi pengalaman tetapi juga pengetahuan daripada individu lain yang melakukan kerja seperti saya,” katanya.

Mohamad Hazli berkata, sepanjang bertugas memandikan jenazah, dia tidak berdepan kejadian aneh, walaupun kadangkala terpaksa melakukan tugas itu pada tengah malam atau awal pagi seorang diri.

“Sebelum menguruskan jenazah, saya sentiasa berdoa dipermudahkan segala urusan dan seterusnya bertawakal. Alhamdulillah, tiada apa berlaku.

“Tiada juga masalah bau mayat lekat di badan atau baju. Apabila pulang ke rumah, saya dan isteri tidak berdepan apa-apa yang aneh,” katanya.

Ditanya mengenai kejadian aneh yang berlaku kepada mayat ketika menguruskan jenazah, terutama ketika memandikan mayat, Mohamad Hazli enggan mengulas lanjut.

“Saya serahkan kepada Allah SWT. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Di akhir perbualan, Mohamad Hazli turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi semasa ketika ini.

“Sekarang, hal berkaitan pengurusan jenazah, terutama memandikan mayat, kebanyakannya dilakukan ‘orang tua’. Bagaimana jika mereka tiada? “Di kampung misalnya, pernah berlaku penduduk kampung lain terpaksa dipanggil kerana tiada siapa boleh melakukan tugas itu. Justeru, hal berkaitan pengurusan jenazah perlu diambil berat supaya tidak timbul masalah besar kelak,” katanya.

Sementara itu, bagi petugas Darul Jenazah, Ropeah Pandak Oden, 73, dia yang berpengalaman 30 tahun menguruskan jenazah mengakui seronok melakukan pekerjaan itu dan turut berasa kekurangan jika tidak melakukannya.

“Apabila sudah biasa memandikan... mengafankan jenazah dan jika dalam tempoh beberapa hari tidak melakukannya, rasa rindu pula. Seronok dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah dan membantu orang lain.

“Ia juga satu anugerah daripada Allah SWT sebab bukan semua orang sanggup melakukan pekerjaan seperti itu,” katanya.

Ropeah mengakui, sepanjang 30 tahun melakukan pekerjaan berkenaan, dia tidak berdepan sebarang masalah, termasuk apa yang selalu disebut ‘badi mayat’.

“Saya tidak ingat jumlah jenazah yang saya uruskan sebab ramai sangat. Sepanjang menguruskan jenazah, Alhamdulillah saya tidak berdepan masalah.

“Tidak pernah pula saya terkena badi mayat. Apapun, sebelum melakukan tugas itu saya sentiasa memohon kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment